Saturday, December 25, 2010

apabila bangun pagi...


Abah rasa amat bertuah hari ini kerana masih lagi dibangunkan oleh Allah SWT seperti hari-hari sebelumnya. Abah masih bernafas.

Tubuh badan sihat dan segar tanpa ada rasa tanda-tanda nak demam, selsema atau sebagainya. Kaki masih berupaya berjalan dan tangan masih gagah mengangkat. Mata masih jelas melihat, telinga masih mendengar dan mulut masih dapat bersuara.

Kelihatan juga pada wajah isteri dan anak-anak senyuman ceria tanpa ada sebarang keluh-kesah yang diluahkan.

Dapur pun masih kelihatan berasap.

Perhati pula di sekitar rumah yang masih kemas dan tersusun menandakan tidak ada sesiapa yang tidak diingini menceroboh masuk ke dalam. Pastinya tidak ada apa-apa kehilangan dan kerosakan yang boleh mendatangkan kerugian.

Alhamdulillah...
Abah bersyukur dengan sebenar-benar syukur...

Apakah lagi yang masih kita mahukan daripada-Nya...

Sunday, December 19, 2010

kasih kepada-Nya


Di sebuah tempat peranginan, aku melihat seorang pemuda sedang membonceng seorang gadis dengan mengayuh basikal di jalan yang mendaki. Melihat kepada kemesraannya, pada aku mereka adalah pasangan kekasih yang sedang bercinta atau pasangan suami isteri yang sedang berbulan madu. Peluh mengalir ke dahi si pemuda langsung tidak dihiraukan. Nafas tercungap kepenatan namun dia tetap tersenyum dan dikayuhnya juga basikal itu.

Melihatkan peristiwa itu berkatalah aku di dalam hatiku: Kalau hati telah jatuh cinta, yang berat dirasanya ringan, jalan yang berbukit dirasanya mendatar saja. Peluh yang mengalir umpama mutiara. Kepenatan dan kepayahan dijadikan suatu bingkisan kasih kepada si jantung hati...

Patutlah ada ahli-ahli tasauf yang jatuh pengsan seketika apabila mendengar nama kekasihnya disebut orang, “Allah!”

Monday, December 6, 2010

menghirup udara 1432 hijrah


Alhamdulillah... kita masih diberi peluang untuk menghirup udara tahun baru 1432 Hijrah. Samada bersedia ataupun tidak, kita perlu mengharunginya sekali lagi...

Berdoalah: Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Ya Allah, Engkaulah Yang Kekal Abadi, Yang Qadim, Yang Awal dan di atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah, Engkau telah memunculkan tahun baru di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan kepada-Mu di sepanjang tahun ini daripada syaitan yang direjam serta pembantu-pembantu dan tentera-tenteranya.

Ya Allah, Kami juga memohon pertolongan-Mu menjauhkan kami daripada nafsu yang banyak mendorong kami kepada kejahatan dan kami memohon kepada-Mu untuk memberikan kami melakukan usaha yang boleh mendekatkan kami kepada-Mu, wahai Tuhan Yang Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang.

Amin ya Rabbal ‘alamin.

Nota: Sentiasalah berhijrah menuju ke arah yang lebih baik sementara masih berpeluang. Sementara belum dihijrahkan Allah daripada alam fana ke alam baqa, yang tidak mungkin kita berupaya untuk berbuat apa-apa lagi...

Salam Maal Hijrah!

Thursday, December 2, 2010

menyangka diri baik


Sewaktu merebahkan badannya ke tilam, dia mula berbicara dengan dirinya sendiri. Dia berbuat demikian kerana sejak akhir-akhir ini didapati ramai orang memujinya. Pelbagai persoalan diajukan lalu dijawab oleh dirinya. Setelah hampir separuh malam bersidang, dia memutuskan untuk mengakui dirinya baik.

Dia merasakan begitu kerana di sepanjang tempoh kehidupan yang telah dilalui, rekodnya bersih. Seingatnya tidak ada sebarang jenayah yang pernah dilakukan. Tidak pernah minum arak, berjudi, apatah lagi merogol dan melakukan perkara-perkara sumbang yang lain. Jauh sekali meragut, mencuri, apatah lagi merompak. Kalau ada pun sesekali mencuri menghisap rokok sewaktu balik dari sekolah. Ahh... itu kira biasalah. Lagi pun peristiwa itu sudah lama berlaku, di zaman persekolahan dulu. Selepas tersedar bahaya rokok, dia tidak merokok lagi.

Mungkin kerana penampilannya yang baik dan warak membuatkan masyarakat memulia dan memujinya. Dia selalu pergi ke masjid dan surau untuk solat berjemaah. Pernah juga dilantik menjadi imam sembahyang sewaktu ketiadaan imam bertugas. Dia juga bukan kategori pelokek kerana bukan sedikit wang yang telah di dermakan untuk pembangunan surau di tempatnya.

Bersandarkan hujah-hujah yang telah dijawabnya sendiri dengan fasih dan lancar itu bertambah yakinlah dia untuk mengatakan dirinya baik.

Begitulah... apabila mendapat pujian, kita selalu menyangka diri kita baik. Lebih baik daripada apa yang sebenarnya kita tahu tentang diri kita.

Kata Ibn Juraij: Jika kamu telah membuat sesuatu yang baik janganlah kamu katakan ini aku buat.
Kata Zaid bin Aslam: Jangan mendakwa diri sendiri baik kerana itu adalah ‘ujub.

Bisyr bin Mansur termasuk dalam golongan orang yang apabila terlintas dibenak mereka ingat kepada Allah dan hari akhirat, mereka segera menekuni ibadah. Pada suatu hari dia menunaikan sembahyang dengan begitu lama dan seorang lelaki yang berada di belakang sedang memerhatikannya. Bisyr menyedarinya.

Lalu selepas sembahyang, dia berkata: Janganlah engkau berasa hairan melihat aku, sesungguhnya iblis yang dilaknat Allah telah beribadah kepada Allah Ta‘ala bersama dengan Malaikat dalam tempoh masa yang amat lama; kemudian terjadi apa yang telah terjadi padanya.

Ditanyakan kepada ‘Aisyah r.a.: Bilakah orang yang jahat itu dikira jahat?
Jawabnya: Apabila dia menyangka dirinya baik.

Wednesday, November 24, 2010

terapi yang berkesan


Abah bukanlah seorang alim dan jauh sekali dikatakan sebagai ustaz. Abah tergolong dalam kategori orang tua yang masih belajar. Abah mencintai ilmu. Sekolah abah sekarang ialah masjid dan surau-surau. Apa yang abah sampaikan ialah apa yang abah dapat di sekolah abah. Abah teruja untuk berkongsi bersama kekawan melalui tulisan di samping lebih mengingatkan diri apabila abah menulis.

Walaupun begitu abah sebenarnya berasa takut untuk menulis. Abah takut dengan tulisan abah yang pandai menasihati orang lain sedangkan sebenarnya abah sendiri masih memerlukan nasihat. Ia seolah-olah membohongi diri sendiri. Menyampaikan sesuatu ilmu itu biarlah terlebih dahulu kita beramal dengannya. Jangan diumpamakan sebagai seorang jurujual yang bercakap hanya kerana ingin melariskan jualan semata-mata.

Abah suka sekiranya seorang jurujual menjual produk mereka setelah terbukti berkesan ke atas diri mereka sendiri berbanding memberi contoh testimoni orang lain.

Entah kenapa abah suka menulis soal kematian. Sehingga ramai yang meluat dengan tulisan abah, dah takde cerita pasal hidup ke, asyik mati, mati dan mati. Maafkan abah... Mungkin sebab perasaan begini yang selalu bermain di kotak pemikiran seorang yang sudah berada di hujung usia. Bagi abah ia adalah terapi yang berkesan apabila kita terlalu leka dengan urusan dunia. Apabila hati ada keinginan untuk sesuatu, perlulah segera diperingatkan, agar ia menjauhkan diri daripada godaan dunia.

Pada suatu hari Ibn Muti' melihat rumahnya. Dia kagum melihat rumahnya yang cantik, kemudian dia menangis. Katanya:

Demi Allah!
Kalaulah tidak mengingat akan mati
Aku amat suka melihatmu
Kalaulah kami tidak membayangkan kubur yang sempit
Kami mahu kekal hidup di dunia.
Tolonglah kami!

Kemudian dia menangis sekuat-kuatnya.

Sunday, November 7, 2010

bayangkan bila sudah tiada...


Sesuatu yang kita miliki tidak nampak bernilai selagi mana ia masih menjadi milik kita. Sesuatu yang kita miliki tidak nampak berharga selagi mana ia masih berada di dalam genggaman kita.

Ada orang berasa senang dan selesa dengan bentuk fizikal tubuh badannya, kejelitaan, kekacakan, kesihatan dan kemerduan suara yang dimiliki. Ada pula berasa megah dan kagum dengan kekayaan harta, rumah besar, kereta mewah, gedung di darat, kapal di laut, eset luar dan dalam negaranya. Tidak kurang juga yang berasa hebat dan gagah dengan pangkat, bintang kehormat, keilmuan, kebijaksanaan dan empayar pengaruh kekuasaan ciptaannya.

Kita selalunya terlupa bahawa pengurniaan kejadian diri yang menyebabkannya kita berasa selesa, senang, megah, kagum, hebat dan gagah itu adalah nikmat daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Semuanya itu dapat hilang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Sekarang kita masih berupaya senyum kerana semua itu masih ada pada kita. Kita akan menangis apabila nikmat-nikmat itu sudah tiada lagi. Kita pasti akan merasakan suatu kehilangan besar dan terlalu memerlukannya. Kita pasti akan menyesal tidak sudah kerana tidak memanfaatnya semasa kita masih memilikinya dahulu.

Bayangkan apabila sepasang mata yang cantik dan galak tiba-tiba tidak dapat melihat lagi. Sedangkan nikmat melihat masih belum kita terjemah kepada fungsinya yang sebenar. Bayangkan lagi apabila susuk tubuh yang sihat dan segar bugar tiba-tiba lumpuh dan tidak dapat bergerak. Sedangkan nikmat sihat masih belum kita guna untuk memberi khidmat kepada yang memerlukan. Bayangkan pula otak yang cerdik dan pintar tiba-tiba tidak dapat berfikir secara waras dan rasional. Sedangkan nikmat keilmuan dan kepandaian masih belum kita guna untuk menyebarkan kepada mereka yang jahil.

Dan... bayangkan juga apabila sampai masanya nikmat nyawa pula ditarik. Pada masa itu semuanya sudah tidak berguna...

Saturday, October 16, 2010

apabila syaitan mentadbir hati

Seekor anjing lapar datang menghampiri. Jika tiada daging di tangan anda mungkin mudah anda menghalaunya. Memadai hanya dengan jeritan. Sebaliknya jika ada daging di tangan, anjing yang lapar itu pasti akan menerkam daging yang ada di tangan anda itu. Tidak cukup lagi untuk menghalaunya dengan sekadar jeritan.

Begitulah syaitan. Sekiranya ada hati yang padanya terdapat makanannya, maka syaitan akan berusaha untuk mendapatkan makanannya di situ. Tidak cukup menghalangnya daripada masuk ke hati dengan zikir sahaja, tetapi perlu mengosongkan hati itu daripada pengaruh hawa nafsu dan sifat-sifat mazmumah terlebih dahulu.

Jika tidak dikosongkan hawa atau syahwat akan menguasai hati, ia akan menolak zikir ke tubir hati, akibatnya zikir itu tidak dapat meresap dan menetap untuk melindungi hati. Dalam keadaan begini syaitan akan menyelinap masuk ke dalam hati, menguasai dan mentadbirkannya.

Apabila syaitan sudah menguasai hati, dia akan bertapak dan membentuk kerajaan. Dengan kuasa yang diperolehi, dia berupaya mencorak masa depan hidup anda. Anda terpaksa akur dengan segala perintahnya. Daripada seorang pengikut malaikat beralih menjadi pengikut syaitan. Daripada mirip seorang ahli syurga telah bertukar kepada mirip seorang ahli neraka.

Peluang untuk anda mentadbir semula hati anda bukanlah mudah. Memerlukan mujahadah yang amat tinggi. Yang pasti... tidak boleh menumbangkan syaitan melalui pilihanraya kecil kerana sesungguhnya syaitan itu makhluk yang tidak mati-mati...

Friday, October 8, 2010

menangguhkan ajal


Apabila terlintas padanya persoalan kematian, keperluan memikirkan tentang kematian dan membuat persediaan menghadapinya, dia akan menangguhkan lalu berjanji dengan dirinya dengan berkata:

“Hari-hari di tanganmu. Tunggulah... bila telah dewasa, kita boleh bertaubat.”

Apabila telah dewasa, dia akan berkata, “Belum kahwin lagi ni. Tunggulah... bila kita sudah tua."

Apabila sudah tua, dia akan berkata, “Tunggulah... bila kita dapat membuat rumah dan mengumpul harta. Tunggulah... selepas kembali dari melancung atau bagilah aku peluang pergi menunaikan ibadah haji terlebih dulu. Tunggulah... setelah anak habis belajar, bekerja dan menyediakan rumah untuknya. Tunggulah... sehingga aku buktikan kehebatanku kepada sainganku dan kepada dunia. Tunggulah...” Semakin banyak alasannya.

Dia tetap akan menjangka kadar hidupnya lebih lama walaupun angka usianya hampir mencecah tiga digit. Dia menangguhkan ajalnya disebabkan perjuangannya yang belum selesai.

Dia akan terus menangguhkan dan melambatkannya. Dia tidak akan dapat menyelesaikan kerjanya kerana selepas satu kerja, ada kerja yang menantinya yang perlu diselesaikan. Dia akan terus menuruti kehendak hawa nafsu yang tidak dapat dipenuhi melainkan dengan harta, pangkat, kuasa serta panjang angan-angan. Begitulah yang terjadi dengan berterusan, hari demi hari, kerja demi kerja, sehinggalah datang maut yang tidak diketahui dan tidak diduganya.

"Tunggulahhhh...." dia masih merayu untuk menangguhkan ajalnya.

Sunday, September 26, 2010

terus memenjarakan syaitan


Maafkan abah wahai tetamu-tetamu stesen. Abah tidak dapat mengawal stesen dengan baik semenjak Ramadhan yang lalu. Abah langsung tidak menjenguk stesen setelah posting entry Pengisian Ramadhan Pengisian Perut. Bukan abah salahkan Ramadhan tetapi abah terlalu sayangkannya.

Abah rasa patut abah tumpukan sepenuh perhatian kepada bulan yang penuh keberkatan itu. Abah rasa itulah sahaja kesempatan masa yang boleh diambil untuk menjalankan ibadah tanpa gangguan iblis dan syaitan. Mungkin di bulan lain terpaksa bersingsing lengan untuk melawan godaan mereka. Contoh mudah, abah sendiri dengan rasa penuh susah payah baru sahaja dapat menyelesaikan puasa enam sedangkan Syawal sudah pun lebih seperdua bulan berlalu.

Cukup sayang sekiranya amalan-amalan baik yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan tidak dapat diteruskan pada bulan-bulan selepasnya apatah lagi kalau kita membatalkannya pula dengan amalan-amalan lagho yang tidak sepatutnya kita lakukan.

Kita mampu berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan, tiba-tiba puasa enam hari pada bulan Syawal kita tidak berupaya. Kita sudah mampu berjaga malam pada bulan Ramadhan untuk bertahajud, tiba-tiba waktu Subuh pun tidak mampu terjaga pada bulan Syawal. Kita mampu bertadarus dan membaca al-Qur’an pada bulan Ramadhan, tiba-tiba kita sekadar mampu membaca akhbar sahaja pada bulan Syawal. Kita mampu bersedekah dan berzakat pada bulan Ramadhan, tiba-tiba kita bertukar menjadi bakhil pada bulan Syawal.

Adalah rugi yang amat besar setelah mendapat rahmat, pengampunan dan perlepasan daripada api neraka, kita kembali mencari kemurkaan Allah dengan melakukan dosa lagi yang membawa kepada api neraka Allah semula. Amatlah malang sekiranya kita kembali sesat setelah mendapat petunjuk Allah.

Begitulah liciknya peranan iblis dan syaitan apabila kembali menguasai hawa nafsu kita.

Marilah kita berusaha untuk terus memenjarakan syaitan tanpa pedulikan kehendak-kehendaknya dengan semangat, kekuatan dan keupayaan yang telah kita perolehi pada bulan Ramadhan. Bagi abah sekiranya dapat melepasi tahap ini barulah dinamakan kemenangan yang sebenar...

Saturday, August 21, 2010

pengisian ramadhan pengisian perut


Bagaimanakah berpuasa? Anak-anak kecil tentunya menjawab: tidak makan dan tidak minum. Amatlah malang kalau anak-anak dewasa juga turut menjawab seperti mana anak-anak kecil itu.

Anak-anak dewasa sepatutnya menjawab: Mencegah mata, lidah, telinga dan kemaluan daripada melakukan dosa; mencegah tangan dan kaki daripada melakukan perkara yang makruh; mencegah perut daripada segala harta yang syubhat sewaktu berbuka.

Makanan yang halal dapat mendatangkan mudharat disebabkan banyaknya. Seumpama seorang yang banyak memakan ubat tetapi meminum racun.

Abah cukup sedih bila mana berlaku di sesetengah tempat, soal moreh terlalu dititik beratkan. Borang diedar untuk mendapatkan dana penyediaan moreh. Niatnya molek kalau untuk menjinakkan anak-anak kecil mahupun anak-anak dewasa ke surau. Tetapi janganlah terlalu diutamakan sehinggakan kalau takde moreh seakan tidak sah solat terawih.

Berasa lapar dan dahaga merupakan salah satu objektif utama puasa. Tidak tercapai objektif berpuasa selain menyediakan makanan sama seperti makanan malam pada bulan-bulan yang lain. Hayatilah sepenuhnya sabda Nabi saw yang bermaksud: “Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya selain lapar dan dahaga.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Dikatakan orang yang sedemikian berbuka puasa dengan makanan yang haram. Dikatakan lagi dia orang yang menahan diri daripada makan makanan yang halal dan berbuka dengan daging manusia kerana mengumpat. Dikatakan juga, dia adalah orang yang tidak menjaga anggotanya daripada dosa.

Tidak ada ertinya berpuasa dengan menahan diri dari memakan makanan yang halal tetapi berbuka dengan makanan yang haram, samalah seperti orang yang membangunkan istana tetapi meruntuhkan kota.

Thursday, August 5, 2010

maafkan aku wahai isteriku


Telefon bimbit abah bergetar. Memang abah suka menggunakan mode vibrate pada telefon bimbit abah. Tidak bising dan tidak mengganggu sesiapa. Petang itu abah baru sahaja selesai acara pada hari kedua bengkel penambahbaikan syarikat yang diadakan di Palm Spring Resort di Port Dickson.

“Selamat hari ulangtahun perkahwinan bang...”

Satu suara yang sudah tidak asing lagi buat abah sejak 22 tahun yang lalu. Suara daripada seorang yang bernama isteri.

“Astaghfirullah al-azim... maafkan aku wahai isteriku.”

Abah mulai rasa bersalah apabila mendengar ucapan itu. Mengapakah abah masih membiarkan dia terlebih dahulu mengucapkannya? Sudah hampir suku abad kami hidup bersama, tidak pernah sekali abah berpeluang untuk mendahuluinya mengucapkan selamat hari ulang tahun perkahwinan.

Abah akui yang diri ini memang seorang yang amat lemah di dalam perkara-perkara yang melibatkan nombor dan bilangan. Entah kenapa abah memang sukar untuk mengingati sesuatu tarikh, nombor mykad, nombor telefon dan seumpamanya. Lebih cepat bagi abah mengingati doa-doa dan ayat-ayat al-Qur’an yang mana abah mulai berjinak untuk menghafalnya.

“Selamat hari ulangtahun perkahwinan isteriku...”

“Abang bersyukur kerana dipertemukan Allah denganmu. Di samping mendapat kehormatan menjadi diriku, abang juga mendapat kehormatan menjadi suamimu. Selama 22 tahun dalam perkahwinan kita, ia masih merupakan sumber cinta kasih, keberanian dan kelembutan. Dalam selarut masa selama itu engkau gelumangi abang dengan kasih dan sayangmu. Engkau mencintai suamimu melebihi dari cintamu kepada dirimu sendiri. Walau banyak yang harus diderita selama itu, namun ia mengenalkan kita masa-masa penuh bahagia.”

“Sungai airmata dan tetesan darah penderitaan sepanjang jalan yang kita lalui merupakan siraman bunga hidup kita.”

Friday, July 30, 2010

bersolat di sejadah panjang


Waktu maghrib sudah pun masuk. Abah menghamparkan sejadah di atas jalanraya yang bergarisan cat berwarna kuning yang sudah pudar. Abah amat yakin itu adalah tempat meletak kereta. Namun tidak kelihatan pula sebarang kenderaan di situ.

Tikar sejadah abah agak panjang daripada yang biasa dilihat. Abah pun tidak pasti dari mana abah memperolehinya. Isteri dan anak-anak abah turut menghampar tikar sejadah mereka di sebelah belakang selaku makmum.

Suasana agak lengang. Cuma kelihatan seorang dua peniaga kereta sorong sedang meneruskan jualan tanpa pelanggan. Abah mengenakan jubah putih yang selalu abah gunakan sudah bersedia untuk mengimamkan solat.

Tanpa diduga kami didatangi oleh sebuah keluarga yang memang abah amat kenali. Mereka adalah jiran lama kami. Rasanya sudah lebih sepuluh tahun kami tidak berhubung sejak kami berpindah ke rumah baru. Tidak sangka pulak kami boleh bertemu di sini, sebuah tempat yang asing dan aneh.

Kedatangan mereka yang sudah lengkap berbaju Melayu dan bertelekung menunjukkan mereka juga bersedia untuk menunaikan solat. Tanpa banyak bicara mereka turut menghamparkan tikar sejadah masing-masing. Abah memulakan takbirratul ihram diikuti dengan membaca doa iftitah dan surah al-Fatihah.

Belum pun sempat menghabiskan bacaan, kami telah dikejutkan dengan satu insiden serbuan ala-ala zionis yang dilakukan oleh sekumpulan manusia yang mengaku pegawai dari jabatan agama. Mereka segera memberhentikan solat kami seraya menunjukkan kad kuasa mereka. Suasana menjadi tegang. Kami telah dikatakan bersalah kerana mengerjakan solat di tempat awam tanpa permit.

Aik! Pelik sungguh. Bukankah solat boleh didirikan di mana sahaja ceruk di bumi Allah ini? Abah cuba menerangkan tetapi mereka keras membantah. Ini telah membuatkan abah terjaga. Astaghfirullah al-azim. Bermimpi rupanya.

Berbagai persoalan bermain di kotak pemikiran abah. Abah menceritakan kisah mimpi abah kepada isteri abah. Kami mengambil keputusan untuk menziarahi keluarga jiran lama kami pada hujung minggu ini, insyaAllah. Mungkin ada hati-hati yang retak perlu dirapatkan dan ada tali-tali yang putus perlu disambung semula.

Sunday, July 25, 2010

ketawa kecil ketawa besar


Hari itu adalah hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 1977. Pada masa itu kami berada di dalam tingkatan satu di sebuah sekolah pekan yang agak dhaif dan ketinggalan daripada segala pembangunan.

Sejurus loceng berbunyi, seorang lelaki masuk ke kelas lalu memperkenalkan dirinya sebagai guru kelas kami. Pada hari pertama biasalah, cikgu masih belum memulakan pembelajarannya. Masa hanya digunakan untuk sesi kenal-mengenal antara satu dengan yang lain.

"Sekiranya awak ingin berjaya sehingga dapat ke luar negara awak mesti belajar pandai-pandai...." cikgu memulakan taklimat dengan kata-kata perangsang untuk murid-muridnya.

Belum sempat cikgu meneruskan ucapannya seorang murid perempuan mengangkat tangan lalu mengajukan soalan, "Cikgu! Kalau tak pandai macamana nak keluar negara?"

Kebetulan kami tidaklah di kategori sebagai murid-murid pandai. Sekadar pencapaian yang sederhana sahaja. Rasanya sudah habis ikhtiar kami untuk mendapat tahap pandai. Berada di kelas ini merupakan pencapaian paling pandai pernah kami capai.

Tentunya cikgu sudah faham dengan situasi ini. Dengan nada yang agak sinis cikgu menjawab, "Berdoa! Awak berdoalah dengan bersungguh-sungguh supaya awak mendapat jodoh dengan orang yang pandai."

Cikgu ketawa kecil. Murid-murid yang lain apa lagi, ketawa besarlah.

Sepuluh tahun kemudian... kami dikhabarkan sahabat perempuan tadi memang mendapat jodoh dengan orang pandai. Seorang profesor. Tugasnya bukan setakat di dalam negara malah di serata dunia. Sebut sahaja nama negara di dunia, hampir kesemuanya sudah dijejaki. Maka terkotalah impian sahabat perempuan tadi untuk keluar negara walau sekadar mengiringi suaminya bertugas. Mungkin kerana doanya yang bersungguh-sungguh!

Ketawa siapakah yang lebih besar sekarang? Yang nyata kami terkedu dan tidak mampu untuk ketawa lagi.

Saturday, July 10, 2010

apakah koleksi anda?


Kalau di zaman kanak-kanak dulu, ada rakan abah yang suka mengumpul setem, mengumpul getah pemadam, menangkap rama-rama dan sebagainya.

Hari ini abah tengok rakan abah ada hobi lain pulak. Hobi yang lebih matang dan bernilai tinggi. Mereka gemar membuat koleksi barang-barang antik, basikal tua, kereta lama dan sebagainya. Yang wanitanya pulak biasalah… koleksi barang-barang kemas, beg tangan, pinggan mangkuk dan sebagainya.

Tidak salah… sekurang-kurangnya tidak terjebak kita dengan perkara yang tidak berfaedah dan memudaratkan. Dengan syarat tidak terleka kita dengannya.

Dalam pada itu, tidak terlintaskah kita untuk cuba-cuba membuat koleksi amal ibadat? Koleksi yang lebih bermanfaat dan amat-amat diperlukan di negeri akhirat kelak.

Barangsiapa mengumpulkan enam perkara, nescaya ia tidak meninggalkan mencari syurga dan menjauhi dari neraka. Pertama, ia mengenal Allah dan mentaatinya. Kedua, ia mengenal syaitan dan mendurhakainya. Ketiga, ia mengenal kebenaran lalu mengikutinya. Keempat, ia mengenal batil lalu menjauhkan dirinya. Kelima, ia mengenal dunia lalu menolaknya. Keenam, ia mengenal akhirat lalu mencarinya.

Teringat abah di dalam sebuah hadith bila mana Rasulullah saw ada menyatakan, Abdul Rahman bin Auf berjalan di atas titian siratal mustaqim dalam keadaan merangkak lantaran koleksi hartanya yang banyak. Apabila Abdul Rahman mendengar berita itu beliau lalu bersedekah seratus ekor unta yang sarat dengan muatan kerana bimbang akan tergelincir ke neraka.

Itu sahabat Rasulullah saw, koleksi harta tidak melekakan dia untuk koleksi amal ibadatnya. Bagaimana pula kita? Terlalu leka dengan koleksi dunia yang tidak seberapa sehingga terabai koleksi akhirat.

Datang ke masjid itu israq, solat itu mikraj bagi orang beriman. Barang siapa tidak ada masa untuk Allah, nescaya Allah juga tidak ada masa untuk kita. Selamat menghayati peritiwa Israq dan Mikraj Nabi saw.

Saturday, June 26, 2010

masih belum puas?


Si miskin berangan hendak menjadi kaya, si kaya sibuk berkira menambah kekayaannya. Si hina berjuang mencari kemuliaan, si mulia pula rakus mengejar kekuasaan.

Sudah punya motosikal, hendak pula kereta. Sudah mendapat kereta kecil, teringin pula kereta yang besar. Sudah ada kereta besar, hendak pula kereta mewah dan mahal. (Sudahnya mendapat kereta jenazah).

Begitulah juga mereka yang sudah memiliki rumah pangsa, bercita untuk membeli rumah teres. Sudah mendapat rumah teres, teringin pula rumah berkembar. Bila dah mendapat rumah berkembar, masih mengidamkan rumah banglo. (Penghujungnya mendiami lubang sempit di alam barzah).

Sepatutnya kita bersyukur dengan anugerah nikmat Allah yang telah kita ada. Syukurlah kita ada kereta, ada orang tu ada motor aje. Syukur kita ada motor, ada orang tu ada basikal aje. Syukur kita ada basikal, ada orang tu jalan kaki saja. Syukur kita ada kaki, ada orang tu takde kaki. (Syukur kita takde kaki, ada orang tu takde otak).

Kita seharusnya tahu rahsia kehidupan di dunia. Mungkin hari ini disenyumkannya, besok ditangiskannya pula.

Kalau hendakkan pangkat kekuasaan, jangan diingat tatkala Napoleon menjadi kaisar, tetapi hendaklah diingat bila mana dia mati di tanah pembuangan. Kalau hendakkan harta kekayaan, jangan dilihat tatkala Qarun dengan kunci khazanah alamnya, tetapi lihatlah bila mana dia mati ditelan bumi.

Setiap yang berlaku di dunia ada rahsianya dan rahsia dunia ganjil sekali. Setiap yang mulia mengandungi racun. Setiap yang sengsara mengandungi penawarnya pula.

Saturday, June 19, 2010

Jatuh cinta kepada Cik Dunia


Cik Dunia memanglah lawa, cantik, jelita dan apa saja perkataan yang seumpama dengannya layak diberi buatnya. Cik Dunia bukan sahaja cantik pada rupanya, malah sifatnya yang menggoda boleh menggamit sesiapa sahaja untuk terpesona dengannya.

Cik Dunia sanggup menunaikan apa sahaja kehendak yang kita ingin, idam dan hajatkan. Inginkan pangkat dan darjat kebesaran, pikatlah Cik Dunia. Hajatkan kekayaan dan kemewahan, tawanlah Cik Dunia. Idamkan kemuliaan dan kekuasaan dampingilah Cik Dunia. Sebutlah apa sahaja permintaan Cik Dunia sedia mengadakannya. Calang orang yang tidak terpaut hati dan tergilakannya.

Oh! Cik Dunia aku cinta padamu... setiap saat terbayang wajahmu... tidur malam termimpi-mimpi, tanpamu siapalah aku... Begitulah biasanya, kalau hati sudah cinta. Ayat-ayat cinta dan ungkapan yang mengatakan, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena terlalu sering diperkatakan. Setiap bicara adalah tentang Cik Dunia...

Kalau begitulah tanda-tanda yang ada pada anda, bermakna anda telah terkena penyakit hati. Apabila hati telah berpenyakit, hati itu tidak akan melihat akhirat. Terlalu cintakan Cik Dunia menyebabkan orang berlumba-lumba untuk mendapatkannya tanpa mempedulikan halal atau haram. Dalam perlumbaan dan perebutan ini tidak ada padanya urusan akhirat dan agama.

Sudah hilang hati yang hidup dalam kehidupannya. Nasihat dan peringatan sudah tidak berkesan. Hawa nafsu bermaharajalela. Syahwat membara dan membangkitkan berbagai keinginan daripada gejolak hawa nafsu untuk mendapat kemegahan dan kebanggaan. Sanggup melakukan penindasan dan kekejaman untuk mendapat kekuasaan serta harta semata.

Apabila sampai di tahap ini eloklah diubati dengan melakukan pembersihan hati.

Sedarlah wahai pencinta dunia! Tiada gunanya kita menyintai Cik Dunia. Dunia hanya sementara. Segala apa yang kita dapat dari Cik Dunia adalah pinjaman. Kita diamanahkan untuk menjaganya sahaja. Bertemu masa dan ketika Tuannya akan datang untuk mengambilnya semula. Secara rela atau terpaksa kita mesti menyerahkannya...

Wednesday, June 9, 2010

memo buat abah...


Fudail bertanya kepada seorang lelaki, “Berapakah umur kamu?”

Lelaki itu menjawab, enam puluh tahun,

Fudail berkata kepadanya, “Dah enam puluh tahun kamu berjalan kepada Allah, barangkali kamu sudah hampir sampai.”

Sekiranya kita sudah hidup lebih separuh abad, maka berkira-kiralah untuk menginsafi diri kerana kita sudah hampir untuk menemui Allah dan melangkah meninggalkan dunia yang sementara.

Kisah di atas adalah petikan entry dari blog adik ipar abah blog ana yang seakan terkena batang hidung abah. Terima kasih adik iparku...

Maka berkatalah abah kepada diri:

Wahai diri! Aku tidak mempunyai sesuatu benda yang berharga pun untuk diriku selain dari umurku saja. Setiap kali kurasa umurku lanjut, setiap kali itulah kurasa modalku berkurangan. Semakin hari semakin kecewalah aku berniaga untuk mencari keuntungan.

Wahai diri! Hari ini adalah suatu hari yang telah ditakdirkan oleh Allah bagiku untuk hidup lagi, dipanjangkan umur dan dibenarkan untuk mengecapi nikmat-Nya. Jangan engkau mensia-siakan hari ini, kerana setiap nafas dari nafas-nafas yang disedut adalah mutiara yang tidak ternilai.

Wahai diri! Janganlah engkau bermalas-malas dan condong kepada melakukan sesuatu yang tidak berguna atau berehat-rehat sehingga terluput dari ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang beramal soleh.

Wahai diri! Aku sebenarnya sudah tidak punya masa lagi...

Friday, May 28, 2010

membina pondok kawalan


Banyaknya kejadian-kejadian kecurian dan pecah rumah menyebabkan tertubuhnya AJK Bertindak di taman tempat abah tinggal. Alhamdulillah, pondok kawalan nampaknya telah didirikan. Tahniah kepada mereka yang menjayakannya. InsyaAllah... sedikit-sebanyak kes-kes seperti di atas dapatlah dibendung.

Abah pun selalu mengalami kehilangan wang.

Hari minggu selalunya abah ke pasar untuk membeli ikan dan sayur untuk kadar seminggu dengan bajet sekitar RM100. Membawa sebuah bakul kecil selalunya sedang eloklah dengan hasil pembelian abah. Bila abah balik dari pasar abah dapati dompet abah sudah kehilangan RM200. Ke manakah hilangnya lagi RM100. Puas abah membelek. Ahh! Rupanya abah sudah terbeli barang-barang di luar senarai pembelian. Patutlah barang sudah melimpah bakul.

Begitulah selalunya berlaku apabila abah pergi ke pasar atau pasaraya. Tidak boleh pergi untuk membeli barang yang betul-betul dikehendaki sahaja tanpa terpikat dengan barang-barang selain itu. Mana boleh salahkan penjaja kerana menjual barang-barang bukan keperluan.

Ibu abah pernah berpesan, Orang yang selamat ialah orang yang berjaya mengawal diri. Orang yang tidak dapat mengawal dirinya, tentu tidak dapat mengawal orang lain. Berjaya mendidik diri itu lebih berharga dari memiliki harta benda. Abah insaf...

Itulah kelemahan abah. Abah pun masih keliru adakah kes-kes kehilangan seperti ini boleh diadukan kepada pihak polis atau pun tidak.

Buat permulaan... abah rasa abah perlu membina pondok kawalan di dalam diri abah.

Tuesday, May 18, 2010

peringatan buat anak-anak desa


Setelah sekian lama mendiami desa, anak-anak desa kian hilang kepuasan dengan desanya. Mereka telah merasa bosan membajak sawahnya dan menanami ladangnya. Mereka telah muak dengan lagu nyanyian unggas dan kicauan burung. Mereka juga telah tidak selesa dengan kesejukan air perigi dan air sungai yang mengalir deras.

Mereka tertarik dengan kehidupan kota yang serba terang benderang. Mereka kagum dengan kemajuan kota yang berkembang pesat. Mereka ingin menikmati kemegahan bangunan pencakar langit. Mereka teruja dengan aneka ragam keriangan hiburan kota.

Mereka terlalu menurutkan perasaan sedangkan mereka masih belum mengerti. Mereka belum merasa suasana hiruk pikuk kota dengan deruman enjin kenderaan yang tiada hentinya. Mereka belum menyedut udara nyaman kota yang berhabuk dan berjerubu. Mereka belum tahu politik kota yang rakus menjerat sesiapa sahaja tanpa kemanusiaan. Mereka belum menyaksikan jijiknya akhlak kebinatangan anak-anak kota.

Apabila anak-anak desa berduyun ke kota, mereka kebanyakkannya hanya seumpama semut mengejar cahaya lampu di musim hujan. Mengejar cahaya untuk menerima kematian.

Nota: Buat anak saudara abah yang ingin melanjutkan pelajaran di kota. Datanglah dengan iman.

Friday, May 7, 2010

kuasa ya atau tidak

Dua perkataan yang terlalu mudah untuk dilafazkan. Tetapi terlalu berat untuk dibuat pilihan. Kadang-kadang dalam saat yang teramat singkat ia boleh menentukan nasib dan wajah hidup kita sehingga berpuluh tahun. Mungkin.

Dengan hanya salah satu di antara dua perkataan YA atau TIDAK, boleh menentukan kehidupan kita menjadi manusia yang berharga atau menjadi manusia yang hina. Kerana sedikit kesalahan dan kelemahan hati semasa membuat keputusan YA atau TIDAK, ada insan menjadi korban, ada keadaan menjadi tegang.

Bahkan lebih daripada itu, dengan kalimat YA atau TIDAK menentukan kebahagiaan keturunan kita di hari kemudian. Seseorang mungkin akan menerima jasa gemilang melebihi emas dan permata daripada ibu ayah atau datuk neneknya. Boleh jadi juga seseorang akan memikul beban malu yang tidak dapat menyembunyikan mukanya.

Saturday, May 1, 2010

hari perhitungan


Mari kita sama-sama membaca dan menyelami ayat-ayat Allah yang berikut:

Al-Anbia’ : 47
“Kami (Allah) telah meletakkan timbangan keadilan pada Hari Kiamat, sehingga tiada seorang akan dianiaya walau sedikitpun, dan meskipun ada sesuatu usaha sebesar biji sawi pasti Kami kemukakan juga, dan memadailah Kami sebagai juruhisab.”

Al-Kahf : 49
“Dan diletakkanlah buku catitan amal, maka Engkau melihat orang-orang yang bersalah itu merasa takut dengan apa yang tercatat di dalamnya. Mereka lalu berkata: Celaka kami! Buku catatan apakah ini? Tidak ditinggalkannya perkara yang sekecil atau sebesar manapun, melainkan dihisab semuanya. Mereka mendapati apa-apa yang mereka kerjakan terpampang, sedangkan Tuhanmu tidak akan menganiaya kepada sesiapapun.”

Al-Mujadalah : 6
“Pada hari di mana mereka sekalian akan dibangkitkan oleh Allah, lalu diberitahu kepada mereka apa yang mereka kerjakan. Allah telah memperhitungkan kerja-kerja itu sedang mereka telah melupakannya. Dan Allah menyaksikan atas setiap sesuatu.”

Al-Zalzalah : 6-8
“Pada hari itu manusia kembali (dari hisab) sendiri-sendiri untuk diperlihatkan kepada mereka perbuatan masing-masing. Maka barangsiapa mengerjakan perbuatan baik seberat zarrah akan dilihatnya. Dan barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat seberat zarrah akan dilihatnya.”

Al-Baqarah : 281
“Kemudian dipenuhi kepada setiap jiwa (pembalasan) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dianiaya.”

Allahu Akhbar! Tidak takutkah kita? Tidak gerunkah kita? Tidak gementarkah kita? Tidak boleh dipercayaikah ayat-ayat Allah ini?

Hitunglah diri kita sebelum sampai pada hari perhitungan Allah.

Friday, April 23, 2010

salam tak bersambut


Apabila membaca blog sahabat abah, Cikgu Achutra yang bertajuk ‘Adakah anda suka ber FB?’.. tergerak abah untuk berkongsi cerita ini.

Abah juga ada membuka akaun FB atas ajakan kekawan. Tujuannya tidak lain, untuk mencari kawan-kawan lama la konon. Tidak lebih dari itu.

Bila disenarai dan dihimpun-himpun kawan kampung, kawan bandar, kawan sekolah dan kawan sekerja dahulu, abah memang ramai kawan.

Setahu abah ramai yang dah berjaya. Ada yang dah bergelar yang berhormat, pensyarah, doktor, peguam, guru besar, pengurus bank, pengurus hotel, wartawan... berpangkat datuk, datin dan sebagainya. Tidak kurang juga yang masih sedarjat dengan Abah, sekadar memegang status kuli...

Bermula ceritanya apabila abah ‘add as friend’ mereka di FB...

Positif... Hampir semua kawan ‘confirm!’. Begitu teruja dan ghairah abah untuk bertanya khabar setelah sekian lama tidak berhubung. Soalan abah berbentuk tidak formal dan gurauan semata-mata. Abah masih menganggap suasana sama seperti dahulu.

Malangnya kawan baik yang abah teringin sangat nak berhubung semula tidak pun mengidam untuk berjumpa kita. Sahabat sudah tidak kenal sahabat. Kawan sudah tidak mahu berkawan. Salam dihulur tidak bersambut.

Bukan abah ingin mengambil peluang atau kesempatan di atas kemewahan dan ketinggian status mereka. Apatah lagi menumpang glamer di atas kemasyhuran dan keagungan nama mereka. Salahkah sekadar untuk menyebarkan salam. Setidak-tidaknya dapat kita saling ingat-mengingati, nasihat-menasihati ke arah kebaikan dan kebenaran. Bermaaf-maafan sekiranya ada kesalahan.

Kita bukannya muda lagi... Semuanya sudah berada di ambang stesen yang terakhir.

Abah tidak mahu mencari musuh. Biarlah abah berkawan dengan sahabat yang mengerti. Mungkin dia seorang yang tidak ternama dan tidak berpangkat di kalangan yang banyak. Tetapi mashyur di kalangan hamba-hamba yang mengabdikan diri kepada-Nya.

Tuesday, April 20, 2010

kisah 2 pemuda


Dikisahkan ada dua orang pemuda tinggal di sebuah negeri yang diberi nama Antah Berantah. Seorang tinggal di Mukim Hulu dan seorang lagi di Mukim Hilir.

Pemuda mukim hulu ini amatlah baik dan warak orangnya. Dikhabarkan tiada pernah melakukan sebarang dosa dan maksiat. Pendek kata, suci lagi menyucikan.

Pemuda mukim hilir pula teramatlah jahat dan samseng orangnya. Apa maksiat yang tidak pernah dia ceburi. Sebut kata yang haram, itulah amalan hariannya...

Dipendekkan cerita pemuda mukim hulu berasa amalan baiknya sudah terlalu banyak. Teringin pulak dia untuk melakukan sedikit dosa. Mengikut perkiraan matematiknya, dengan dosa yang sedikit tentu tidak akan menjejaskan pahalanya yang banyak. Lalu berjalanlah dia ke mukim hilir dengan niat untuk melakukan sekadar sedikit maksiat.

Hatta dalam masa yang sama pemuda mukim hilir pula telah sedar dan insaf akan kesalahan di masa silamnya. Mengalir air mata penyesalannya... lalu bertaubatlah dia. Maka berjalanlah dia ke mukim hulu untuk mencari keredhaan Allah dan menuntut ilmu agama.

Ditakdirkan Allah, apabila sampai mereka di sempadan mukim, berlakulah satu kemalangan yang amat dahsyat dan ngeri yang melibatkan mereka berdua...

Pada pandangan anda yang menyaksikan kejadian ini, siapakah yang patut anda selamatkan?

Wallahuaklam.

Friday, April 16, 2010

ubahsuai stesen

Ya... Betul, betul!. Ini memang stesen aman. Ubahsuai sikit aje. Maklumlah bangunan dah lama. Cat dah luntur, papan dah reput dan paku pun dah karat. Sebelum runtuh menimpa kepala, eloklah diubahsuai.

Hmm... Kepada yang resah, tenanglah hendaknya. Kepada yang bosan, cerialah harapnya bila mengunjungi stesen berwajah baru ni...

Sekiranya ada cadangan tambahan atau apa-apa yang hendak dikongsi, bolehlah maklumkan kepada abah selaku JAGA STESEN.

Wednesday, April 7, 2010

tentang serangga


Ceteknya ilmu abah. Inilah akibatnya apabila kurang membaca. Sambil-sambil layan merekabentuk sebuah buku tentang serangga, abah bermuhasabah. Walaupun usia dah separuh abad tetapi masih banyak ilmu tentang serangga yang abah tidak tahu.

Kumbang ialah kelompok serangga yang paling besar dengan jumlah keahlian lebih daripada 500,000 jenis. Antaranya ialah kumbang goliath dan kumbang badak hinggalah kepada kumbang kutu atau kabuh lenting dan kekabuh atau kumbang belalai. Kumbang kekura yang terdapat tompok hitam pada badannya yang merah atau kuning terang adalah menjadi jenis kumbang yang paling popular di kalangan kanak-kanak kerana kecantikannya.

Semut yang kita tengok hehari, dikatakan haiwan yang baik jika berada di taman ataupun di hutan, tetapi menjadi serangga perosak di dalam rumah. Semut, lebah dan penyengat membentuk kelompok serangga yang besar dengan kira-kira 300,000 jenis. Sejumlah besarnya boleh menyengat, walaupun kebanyakannya terlalu kecil untuk mencederakan manusia. Walau bagaimanapun, sesetengahnya seperti semut bulldog mempunyai gigitan yang sangat menyakitkan.

Lelawi ialah sejenis serangga yang sering ditemui di taman, kebun, garaj, bangsal dan kadang kala di rumah. Dalam bahasa Inggeris, lelawi dikenali sebagai earwig. Serangga ini suka kepada tempat yang gelap dan lembap. Lelawi adalah salah satu kelompok serangga terkecil yang terdiri daripada 1300 jenis.

Allahu akhbar! Itu baru beberapa fakta. Belum lagi disebut tentang kerengga, berenga, kala jengking, lipan, sengkenit, sepah bulan, pepijat, kutu, hama, labah-labah, belalang, cengkerik, bari-bari, kelip-kelip, mentadak mentadu, reriang, nyamuk, tungau, tebuan, lebah, pepatung, penyengat, ulat, ayak-ayak, sesibur, sesorok, koya-koya, bubuk, langau, gonggok, rama-rama, kupu-kupu dan banyak lagi.

Subhanallah... Bayangkan apabila setiap satunya berpecah pula kepada beratus ribu jenis. Bagaimanakah hebatnya kita untuk engkar kepada perintah Allah? Sedangkan untuk mencipta sebutir beras pun kita tidak mampu dan pasti tidak akan mampu.

Friday, April 2, 2010

Al-Fatehah buat seorang sahabat.

Sudah lama Abah tidak menghubungi beliau. Tambahan pulak beliau semakin popular dan berjaya meletakkan nama di persada hiburan tanahair dewasa ini.

Apabila beliau dikhabarkan sakit abah mula terkenang kembali kenangan lama sepanjang persahabatan kami dulu. Sememangnya beliau adalah seorang yang kelakar. Sebelum menceburi bidang lawak dan lakonan, beliau merupakan seorang kartunis yang mempunyai Idea imaginasi yang luarbiasa.

Kini beliau telah pergi buat selamanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan Allahyarham bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah buat seorang sahabat, Allahyarham Mior Ahmad Fuad bin Mior Badri.

Al-Fatehah.

Tuesday, March 30, 2010

Apabila satu menjadi dua


Mula-mula dulu satu. Semuanya bersama dan sehaluan. Makan boleh bersama duduk semeja. Borak pun topik yang sama. Tidak ada sorok-sorok. Tidak ada bisik-bisik. Bisik-bisik tu kan kerja syaitan.

Gelak pun bersama. Seorang buat lawak, semua ketawa. Sepatah perkataan keluar dari mulut salah seorang, kelakar bagai nak rak. Gelak bersambung-sambung sampai sakit perut dan berair mata.

Benda yang mustahil ditegakkan menjadi munasabah. Macam tak percaya bila rumah yang kecil dapat dijadikan mahligai yang indah. Orang yang buta berjaya dicelikkan. Semua ini berlaku berkat satu.

Apabila satu menjadi dua. Kiblat terus beralih arah. Tetiba aje tidak sepakat. Engkau adalah engkau. Aku adalah aku. Engkau dengan juak engkau sahaja. Aku dengan juak aku sahaja.

Cakap sudah tidak semesra dulu. Mulut yang manis, terus jadi masam. Tanya sepatah, jawab pun sepatah. Suara perlahan antara dengar dengan tidak. Sekadar ambil hati... Gelak jauh sekali. Takde isu yang boleh digelakkan melainkan serius belaka. Adalah satu pihak yang cuba-cuba nak buat lawak, tapi disambut oleh satu pihak lagi dengan senyuman tawar sahaja.

Lebih parah lagi bila timbul pulak bab buruk-memburuk, dedah mendedah. Kau dedah rahsia buruk aku, aku pulak dedah rahsia buruk engkau. Macam langsung takde rahsia baik. Ditokok tambah lagi untuk menyedapkan cerita... terfitnah pulak. Terlalu ghairah mendedah, tak sedar rahsia sendiri sudah terbongkar.

Abah cuma berharap jangan sampai syirik bila mana Allah yang satu akan dijadikan dua pulak. Nauzubillah.

Wednesday, February 24, 2010

kematian


Alhamdulillah.... masih bernafas lagi abah. Dah agak lama abah tidak buka blog malah buka internet pun tidak... berikutan dihimpit oleh tugas-tugas dan isu-isu yang agak menyesakkan nafas abah.

Akhir Disember lalu, abah dikejutkan dengan peristiwa kematian kakak ipar. (Kakak kepada isteri abah). Selang sebulan, peristiwa kematian abang ipar pula. (Suami kepada kakak abah). Ini telah membuatkan ipar-ipar abah yang lain berada dalam sindrom ketakutan. Baguslah tu... sekurang-kurangnya bila ada rasa takut, kita perkuatkan sedikit amal ibadat kita. Tetapi ini tidak bermakna ipar-duai abah yang lain adalah giliran yang seterusnya. Bukan begitu formulanya...

Namun, bersedia ataupun tidak, giliran kita tetap akan tiba jua. Bagaimanakah nanti bila tiba giliran kita? Apakah kita akan mati di dalam keadaan mengucap?

Kata ustaz, jika kita sentiasa menyuburkan amalan-amalan Islam yang sebenar, mengucaplah kita. Kalau kita menyuburkan amalan-amalan syaitan yang menyesatkan, alamat meracaulah kita...

Oleh itu kita mesti istiqamah. Istiqamah dalam erti kata berpegang teguh dengan tali Allah. Wa'tasimu bihablillah... Ibarat kata, Allah di Syurga, kita di dunia, Allah melemparkan talinya ke dunia untuk kita pegang iaitu Al-Qur'an dan Sunnah. Dalam masa yang sama syaitan juga mengambil kesempatan melemparkan talinya. Talinya sudah semesti mengelirukan dan bertepatan dengan nafsu serakah kita.

Jadi kita tanyalah diri kita dan kajilah tali mana yang sedang kita pegang sekarang. Adakah tali Allah atau tali syaitan? Apa yang kita takut, kita rasa sudah pegang pada tali Allah tetapi bila diikut-ikut tali sehingga ke pangkal rupa-rupanya tali syaitan. Nauzubillah.

Lihatlah kematian... Ada orang hidup senang, mati susah. Ada orang hidup susah, mati senang, Ada juga yang hidup senang, mati pun senang dan ada pulak hidup susah, mati susah. Semuanya bergantung kepada amalan semasa hidup di dunia. Jangan leka dengan dunia sahaja. Bersungguh-sungguhlah menyuburkan Islam. Jangan solat sekadar masa lapang sahaja. masa sibuk tinggal. Puasa sekadar masa tak ada makanan, bila mewah tinggal... Berdoa sekadar bila ada masalah, bila selesai tinggal...

Bagi abah, formulanya mudah...

Tak payahlah kita susah-susah fikir pasal maqam tinggi ke, maqam rendah ke, sembahyang niat, sembahyang batin, amalan isi, amalan kulit, siapa aku, siapa engkau dan sebagainya sehingga akhirnya langsung tidak bersolat. Ikut saja Rasulullah saw. Rasulullah solat, kita solatlah.... Rasulullah puasa, kita puasalah... Rasulullah berdoa, kita berdoalah... Rasulullah berjihad, kita berjihadlah... Barulah cinta Rasulullah namanya...

Salam Maulidur Rasul. Selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad saw, keluarga serta sahabat baginda.

Wallahuaklam.