Thursday, December 2, 2010

menyangka diri baik


Sewaktu merebahkan badannya ke tilam, dia mula berbicara dengan dirinya sendiri. Dia berbuat demikian kerana sejak akhir-akhir ini didapati ramai orang memujinya. Pelbagai persoalan diajukan lalu dijawab oleh dirinya. Setelah hampir separuh malam bersidang, dia memutuskan untuk mengakui dirinya baik.

Dia merasakan begitu kerana di sepanjang tempoh kehidupan yang telah dilalui, rekodnya bersih. Seingatnya tidak ada sebarang jenayah yang pernah dilakukan. Tidak pernah minum arak, berjudi, apatah lagi merogol dan melakukan perkara-perkara sumbang yang lain. Jauh sekali meragut, mencuri, apatah lagi merompak. Kalau ada pun sesekali mencuri menghisap rokok sewaktu balik dari sekolah. Ahh... itu kira biasalah. Lagi pun peristiwa itu sudah lama berlaku, di zaman persekolahan dulu. Selepas tersedar bahaya rokok, dia tidak merokok lagi.

Mungkin kerana penampilannya yang baik dan warak membuatkan masyarakat memulia dan memujinya. Dia selalu pergi ke masjid dan surau untuk solat berjemaah. Pernah juga dilantik menjadi imam sembahyang sewaktu ketiadaan imam bertugas. Dia juga bukan kategori pelokek kerana bukan sedikit wang yang telah di dermakan untuk pembangunan surau di tempatnya.

Bersandarkan hujah-hujah yang telah dijawabnya sendiri dengan fasih dan lancar itu bertambah yakinlah dia untuk mengatakan dirinya baik.

Begitulah... apabila mendapat pujian, kita selalu menyangka diri kita baik. Lebih baik daripada apa yang sebenarnya kita tahu tentang diri kita.

Kata Ibn Juraij: Jika kamu telah membuat sesuatu yang baik janganlah kamu katakan ini aku buat.
Kata Zaid bin Aslam: Jangan mendakwa diri sendiri baik kerana itu adalah ‘ujub.

Bisyr bin Mansur termasuk dalam golongan orang yang apabila terlintas dibenak mereka ingat kepada Allah dan hari akhirat, mereka segera menekuni ibadah. Pada suatu hari dia menunaikan sembahyang dengan begitu lama dan seorang lelaki yang berada di belakang sedang memerhatikannya. Bisyr menyedarinya.

Lalu selepas sembahyang, dia berkata: Janganlah engkau berasa hairan melihat aku, sesungguhnya iblis yang dilaknat Allah telah beribadah kepada Allah Ta‘ala bersama dengan Malaikat dalam tempoh masa yang amat lama; kemudian terjadi apa yang telah terjadi padanya.

Ditanyakan kepada ‘Aisyah r.a.: Bilakah orang yang jahat itu dikira jahat?
Jawabnya: Apabila dia menyangka dirinya baik.

10 comments:

  1. salam abah...

    bila orang puji, rasa baik.
    bila perempuan tengok, rasa hensem.

    payahnya nak lari dari riak.

    ReplyDelete
  2. salam cikli,
    hahaha... sengoti tu cikli. Aura perasan tu agak terlebih sikit.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum, certification 'baik' kita biar Allah-lah yg beri. selagi kita tidak 'dengar' Dia kata kita baik maka teruslah berbuat baik...

    ReplyDelete
  4. salam..

    iblis tetap bersumpah menyesatkan umat manusia hingga hari kiamat..

    ReplyDelete
  5. salam nahmy,
    abah setuju... mungkin ada yang memuji tu sekadar juru kipas aje...

    ReplyDelete
  6. salam sekamar rindu,
    sungguh, dengan apa cara sekali pun iblis tetap dengan sumpahnya.

    ReplyDelete
  7. JIN: SEJAHAT-JAHAT MANUSIA,
    ITULAH YANG TERBAIK BAGI JIN!

    (TERASA DIRI KADANG2 BAIK MACAM JIN!)

    ReplyDelete
  8. salam az,
    agaknya syaitan pun menyangka dirinya baik.

    ReplyDelete
  9. Salam
    Ada manusia memuji kita kerana Allah menutupi segala aib kita dari dilihat oleh mereka. Jika Allah bukakan aib kita pasti tiada manusia yang memuji kita. Oleh itu pujian harus diterima oleh YANG MENUTUPI KITA.

    ReplyDelete
  10. salam huzazi,
    sungguh tu... yang selayaknya menerima pujian adalah Allah.

    ReplyDelete