Saturday, October 13, 2012

senyum hari ini

Senyum abah hari ini, bila melihat blog yang telah lama ditinggalkan tidak berusik!

Senyum abah hari ini, bila pasukan bola sepak kelantan menang dan mara ke final Piala Malaysia!

Senyum abah hari ini, bila majalah SENYUM yang abah usahakan akan menemui pembaca tidak berapa lama lagi...


Monday, March 19, 2012

sesekali melayangkan pemikiran

Di kala kesunyian dan keseorangan sesekali melayangkan pemikiran mengenang nasib jasad setelah mati. Berfikir dan bertafakkur disertakan dengan tadbir dan tadabbur.

Bayangkan keadaan jari jemari dan anggota tubuh badan yang pernah kita puja dan kita belai sewaktu hidup. Bagaimana tubuh menjadi hancur dimamah dan diratah oleh ulat tanah? Sesuatu yang pasti berlaku.

Betapa geli gelemannya bilamana ulat-ulat mula merayap menyelinap ke segenap tubuh, memasuki rongga mata, hidung dan telinga, lalu berasak-asak melahapnya! Suatu keadaan yang tidak ada daya dan upaya untuk kita menolaknya. Di saat dan ketika itu kita hanya rela menyerah, tidak seperti mana ketika kita masih hidup.

Siapakah yang simpati dan siapakah yang dapat melindungi? Yang pasti tidak ada sesiapa lagi, kecuali bekalan ilmu dan amal yang ikhlas kerana Allah Ta‘ala. Sekiranya ada...

Monday, February 13, 2012

Nasihat kepada lidah

Wahai saudaraku lidah,

Allah menjadikan engkau mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan sifat petahmu. Walaupun fizikalmu lembut, tetapi jenayahmu hebat. Mengumpat, berbohong, mengacum, membela diri, menghina orang, memaki dan melaknat, mendoakan keburukan ke atas musuh, sampai menyampai, bercerita, memfitnah dan lain-lain.

Sedangkan pada hakikatnya wahai saudaraku lidah,

Allah menjadikan engkau buat manusia bagi mengucapkan zikir dan tazkirah. Menyampaikan ilmu dan mengajar. Memimpin orang ke jalan Allah, memperbaiki hubungan keluarga dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat dengan kata-kata yang bernas, menarik dan mesra. Menyampaikan kebaikan dan seumpamanya.

Nota: Perlu rasanya mengenakan syarat kepada diri bahawa tidak akan menggerakkan lidah sepanjang hari kecuali berzikir.

Sunday, January 29, 2012

Apa khabar hati?


Cuba kita perhatikan mentol yang terpasang di rumah kita. Ada yang menyala sempurna, ada yang setengah menyala dan ada yang tidak menyala terus. Begitulah diumpamakan hati manusia; ada yang hidup, ada yang sakit dan ada pula yang mati terus.

Tidak perlu kita bersusah payah menjemput doktor atau perlu ke klinik untuk memeriksa dan mengetahui tahap kehidupan hati kita. Seringkan menjengok dan menziarah hati kita. Sesekali molek rasanya kita bertanya, “Apa khabar hatiku?”

Tanda hati masih hidup – Suka kepada amalan-amalan yang baik dan amat tidak suka kepada perkara-perkara mungkar. Ini kerana hati yang hidup tidak tersimpan di dalamnya simpulan syirik dan tidak diliputi rasa istikbar (takbur). Tenaga al-Qur’an akan mengalir ke dalamnya dan terus berupaya mengalirkan tenaga tersebut ke seluruh anggota tubuh.

Tanda hati sedang sakit – Berbuat kebaikan dan kebajikan dengan tujuan untuk mendapat keuntungan dunia semata-mata. Fi qulubihim maradh adalah hati yang sudah dikawal dengan pengaruh kehidupan duniawi sehingga mereka berpura-pura beriman, padahal sebenarnya mereka benci kepada kebenaran al-Qur’an kerana al-Qur’an dianggap penghalang bagi mereka untuk mencapai kesenangan duniawi.

Tanda hati yang mati – Langsung tidak suka berbuat kebaikan tetapi teramat suka kepada perkara maksiat. Ini kerana hati yang mati penuh dengan simpulan syirik yang tidak ada ruang bagi kebenaran tauhid untuk masuk ke dalamnya sehingga melahirkan kesombongan untuk menerima kebenaran tersebut.

Nota: Alhamdulillah sekiranya kita punya hati yang masih hidup. Bila kita punya lampu suluh, biarlah ia mampu menyuluh jalan yang sedang kita lalui. Terangkanlah nyalaan hati kita dengan melazimkan mengikuti kuliah-kuliah ilmu agama dan beramal dengannya. InsyaAllah.