Tuesday, November 29, 2011

Jangan bulan yang disalahkan


Hari ini kita telah memasuki tahun baru 1433 hijrah. Hampir di serata masjid dan surau mengadakan program dan aktiviti penghayatan Hijrah. Bermula pada ambang tahun baru 1433H petang Sabtu dengan program tazkirah, diikuti doa akhir tahun, doa awal tahun, bacaan Yasin dan tahlil, solat hajat, qiamullail, kuliah Subuh, hinggalah ke ceramah perdana pada malam Ahad berikutnya.

Namun... dalam masa yang sama, ada di kalangan jemaah yang mengutarakan soalan-soalan sumbang yang berbunyi, “Apakah hukum sambutan maal hijrah?” “Apakah ada dalil atau nas bagi doa awal tahun dan akhir tahun?” “Bukankah kalau Nabi tidak buat itu merupakan bidaah?”

Subhanallah! Siapakah Sang Pengemuka soalan yang lantang itu? Tinggi benarkah ilmunya sehingga mampu mengeluarkan soalan-soalan yang sebernas itu? Atau apakah mereka dari kalangan pengamal-pengamal sunnah Rasulullah saw yang hebat dan mantop?

Maka terpaksalah Ustaz Tua mengakui, “Ya... kalau ditanya hukum, memang amalan ini adalah bidaah kerana nabi tidak pernah melakukan. Tetapi... salahkah kita menghayati peristiwa penghijrahan Nabi saw dan para muhajirin dari kota Makkah ke kota Madinah?”

Kata Ustaz Tua lagi, “Sekalipun hijrah tidak berlaku pada bulan Muharam, tetapi sebagai mengingatinya sengaja Khalifah Saidina Omar al-Khattab memilih detik peristiwa tersebut sebagai bulan pertama dalam kalendar Islam bilamana taqwim Hijrah mula diperkenalkan pada zaman pemerintahannya. Siapakah Sayidina Omar al-Khattab berbanding kita? Dijamin syurgakah kita sebagaimana dijaminnya syurga Sayidina Omar al-Khattab oleh Nabi saw.”

“Begitu juga dengan amalan berdoa. Salahkah di akhir tahun mahupun di awal tahun kita bermohon kepada Allah SWT supaya diberi perlindungan dan kesejahteraan? Sedangkan setiap hari kita disarankan supaya berdoa, di kala susah mahupun senang.”

“Mengapa amalan sebegini dipertikai sedangkan tidak mempersoalkan amalan sambutan tahun baru masehi yang jelas menyeleweng. Adakah program nyanyi-nyanyi, nari-nari, menunggu detik 12 malam amalan sunnah? Tembakan bunga api pada detik 12 malam apakah ada dalilnya?”

Mengakhiri bicara, bilamana Uustaz Tua bertanya tentang nama-nama bulan di dalam kalendar Islam, Sang Pengemuka soalan terkial-kial untuk mengingati sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Yang mampu disebut hanyalah, Ramadan... Syawal... itupun dalam nada yang tergagap-gagap.


Nota: Orang dahulu kurang bertanya banyak amalannya, sedang orang sekarang banyak bertanya kurang amalannya...

Monday, November 14, 2011

khabar dari kampung


“Abah! Bakar dah takde!”

“Bakar? Bakar yang mana ni?”

“Bakar, menantu Angah Man!”

“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.”

Abah amat mengenali Bakar. Beliau merupakan seorang guru, berusia dalam lingkungan awal 40an. Mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Ipoh, beliau pulang ke kampung semata-mata untuk memenuhi jemputan kenduri seorang saudara merangkap rakan baiknya yang telah agak lama tidak dikunjungi.

Seawal jam 10 pagi beliau dikatakan telah bersedia dengan pakaian yang kemas dan segak seakan tidak sabar untuk hadir ke tempat kenduri. Sementara menunggu isteri dan anak-anaknya bersiap untuk dibawa bersama, beliau dilihat tercungap dan sesak nafas. Kerana tersalah gamak, ayahnya yang tidak tahu memandu kereta terpaksa memanggil ambulan. Namun, takdir penentu segala, beliau telah menghembuskan nafas terakhir tatkala ambulan baru menjengah di halaman rumah.

Itu adalah antara khabar paling mengejutkan yang abah terima dari kampung. Khabar kematian yang melibatkan insan yang abah amat kenali. Kalau faktor umur diambil kira belum sepatutnya lagi dia mendahului abah. Begitu juga kesihatan dan keadaan fizikal tidak menunjukkan ciri-ciri untuk sampai kepada waktunya. Namun ajal tidak merujuk kepada itu semua.

Tanpa diduga dan tanpa disangka... Terlalu mudah...
Al-Fatihah buat Allahyarham Bakar.

Friday, October 28, 2011

murah hati yang mahal


Abah singgah solat di sebuah surau. Usai solat seorang budak menghampiri abah. Sebuah tabung derma dihulurnya. Raut wajah dan gaya pakaian budak itu meyakinkan abah bahawa dia adalah anak yatim yang mewakili sekolahnya memohon sumbangan. Abah menghulurkan derma.

Di suatu sudut beranda surau kelihatan seorang pakcik penarik beca sedang berehat melepaskan penat.

Budak itu lalu menghampiri pakcik itu dan menghulurkan tabung derma kepadanya.

Pakcik penarik beca menyeluk saku seluarnya yang lusuh. Sekeping note berwarna merah sepuluh ringgit dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam tabung derma tersebut.

Budak itu mengucapkan terima kasih seraya berpaling untuk pergi. Tetapi pakcik itu memberi isyarat supaya menunggu. Pakcik menyeluk poket seluarnya yang sebelah lagi.

Dia mengeluarkan beberapa note kertas berwarna biru dan hijau lalu dimasukkan kesemuanya ke dalam poket baju melayu budak itu.

“Ini hok mu buat beli makanan.”



Abah kemudian menghampiri pakcik itu, sambil bertanya, “Berapo pendapatan pakcik sehari?”
Dia berkata, “Tak tentu! Kade-kade ado, kade-kade tak dok.”

Tanya abah lagi, “Bakpo pakcik sedekah semua duit pakcik kepada budak itu?”
Jawabnya, “Budak tu anak yatim. Berjalan kaki jauh, lapar. Pakcik tak pe, ada beca, boleh kayuh lagi.”

Subhanallah... Dia jauh lebih murah hati daripada abah.
Abah mula berasa sebak.

“Kalu gitu mari ikut ambo pergi makan.” sambil abah memegang tangannya.
“Hari ni pakcik posa.” jawabnya perlahan.

Abah tidak mampu bersuara lagi...



Nota: Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya.

Monday, October 24, 2011

Buat sahabat yang terpilih, Fatah


Bersyukurlah.
Merasa tenteramlah.
Atas segala keadaanmu,
Kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu banyak tak terbilang.
Kesakitan perjalanan hidup kian minit kian baru

Bersyukurlah.
Merasa senanglah.
Atas segala keadaanmu,
Kerana engkau telah masuk dalam daftar anak bumi yang terpilih,

Bersyukurlah selalu
Merasa senanglah selalu
Merasa tenteramlah selalu
Merasa berbahagialah selalu...


Nota: Pameran dan Jualan koleksi Fatah sedang diadakan di Laman Wau Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 21 Oktober hingga 30 Oktober 2011 bagi tujuan menampung dana perubatan beliau.

Friday, August 26, 2011

merancang laluan perjalanan


Abah rasa masing-masing di kalangan kita sudah pun merancang perjalanan untuk balik ke kampung. Abah pun begitu. Eloklah kita sama-sama mengenal pasti jalan yang terbaik yang akan kita lalui supaya tidak menempuh kesesakan yang sememangnya akan berlaku kesesakan. Kalau tertempuh bersyukurlah juga, sebab paling tidak kita telah bersedia.

Namun dalam keghairahan itu jangan kita lupa bahawa dalam masa yang sama syaitan juga sedang berkira-kira untuk meraikan hari pembebasan mereka. Mereka juga sedang merancang untuk memenuhi jalan-jalan yang boleh digunakan untuk menyesatkan kembali perjalanan kita yang sudah semakin bersih dan lancar di Tarbiyah Ramadhan.

Abah rasa eloklah juga kita sama-sama mengetahui dan mengenal pasti jalan laluan syaitan dan pintu-pintu utama yang sering digunakan. Laluannya amat banyak sekali. Namun berilah perhatian kepada laluan utama dan pintu-pintu besar yang menjadi kegemaran angkatan tenteranya. Antara pintu besar mereka ialah:

1. Marah dan nafsu syahwat.
2. Hasad dan tamak haloba.
3. Malas dan kenyang perut.
4. Berhias untuk perhatian manusia.
5. Gopoh dan terburu-buru.
6. Wang dan harta benda.
7. Bakhil dan takut faqir.
8. Jahil terhadap agama.
9. Buruk sangka sesama Islam.

Dikatakan pintu yang besar dan laluan yang luas akan menjadi sesak disebabkan banyaknya syaitan yang masuk. Apa yang boleh menutupinya hanyalah dengan mengawal sifat-sifat yang ada pada diri kita sendiri.

Nota: Kepada yang ingin memulakan perjalanan pastikan jangan terlupa membaca doa naik kenderaan. Doa abah buat semua... selamat sampai ke kampung dan Salam Idulfitri.

Saturday, August 13, 2011

ahli puasa vs antu raya


Sedar tak sedar kita sudah hampir di pertengahan Ramadhan. Persoalannya... di manakah letaknya diri kita sekarang? Bagaimanakah graf amalan soleh yang telah kita lakukan? Adakah kita benar-benar di kalangan ahli puasa atau cuma antu raya.

Ahli Puasa: Menjaga percakapan daripada bercakap perkara-perkara yang lagho dan tidak bermanfaat. Jauh sekali untuk mengumpat dan berbohong.

Antu Raya: Bermula dari awal Ramadhan sudah bercakap fasal kuih-muih raya, langsir dan perabot raya, baju raya, duit raya dan sebagainya.

Ahli Puasa: Menjaga solat dan menutup aurat kerana mengetahui betapa ruginya berpuasa tanpa bersolat dan menutup aurat. Hasilnya cuma mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Antu Raya: Berniaga di pasar Ramadhan tetapi mendedah aurat. Bila masuk waktu berbuka sibuk pula tutup gerai dan mengira keuntungan sehingga terlepas waktu Maghrib.

Ahli Puasa: Di sepuluh malam terakhir Ramadhan, meningkatkan amalan soleh dengan berqiamullail dan beriktiqaf semata-mata untuk mendapat ganjaran malam Lailatul qadar seperti yang dijanjikan oleh Allah swt.

Antu Raya: Di sepuluh malam terakhir, meningkatkan kunjungan dan lawatan ke pasar-pasar raya, gedung-gedung membeli belah, untuk mendapat ganjaran harga runtuh, jualan murah, jualan penghabisan stok dan sebagainya.


Nota: Ya Allah... mampukah aku untuk memperoleh anugerah-Mu menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana harapan-Mu, la’alakum tatakun...

Saturday, July 30, 2011

ulangtahun perkahwinan ulangtahun perpisahan


Tarikh 31 Julai adalah tarikh keramat di mana abah dan isteri diijabkabul. Pada tarikh yang sama juga abah telah kehilangan ibu yang tercinta. Ibu yang telah melahirkan. Ibu yang membesarkan dan ibu yang telah mendoakan kebahagiaan anaknya ini.

Ibu...

Setiap langkah perjalananku adalah di atas tapak-tapak yang telah dipijak olehmu.
Setiap kata ucapanku adalah di atas butir-butir huruf yang telah disusun olehmu.

Tidak ada bintang kemenangan yang dapat kusematkan ke dadamu.
Tidak ada lencana dan tanda jasa yang dapat kulekatkan pada dirimu.
Tidak ada pakaian kebesaran istimewa yang dapat kututupi tubuhmu.
Tidak ada kemewahan dan kemegahan yang dapat kukalungi hidupmu.

Terlalu suci pengorbananmu lahir dari fitrah seorang ibu.
Ampuni segala kesalahan di atas kelemahanku.

Di gerbang Ramadhan yang penuh keampunan dan keberkatan ini, tiada yang lebih berharga yang mampu kuhadiahkan melainkan bacaan surah yang mulia al-Fatihah buat Allahyarhamah ibu Minah binti Hamat. Al-Fatihah.

Nota: Salam Ramadhan Kareem buat semua muslimin dan muslimat.

Wednesday, July 27, 2011

setelah sekian lama


Atas dasar mengutamakan perkara yang lebih utama menyebabkan abah tidak mampu untuk update blog dalam jangka masa yang agak lama. Abah terpaksa mendahulukan kepada banyak perkara yang abah kira lebih utama untuk diselesaikan.

Walau bagaimanapun abah tertarik dengan satu program yang telah diadakan oleh sahabat lama abah yang menyebabkan abah teruja untuk mengabadikan di paparan blog.


Reunion SMKB 76-80

Melihat wajah-wajah sahabat yang hadir memaksa abah mengimbau kembali suatu ketika di zaman persekolahan. Ada wajah yang abah masih cam, ada yang sudah samar-samar dan tidak kurang yang abah tidak kenal langsung. Mereka seolah-olah wajah baru yang abah baru kenali walhal mereka begitu mengenali abah. MasyaAllah... terlalu lemah ingatan abah.

Bukannya lama pun, tidak lebih 40 tahun kami berpisah. Masing-masing sudah menyerlahkan rupa paras dan bentuk fizikal yang tidak boleh untuk disorok-sorok lagi. Rata-rata sudah memaparkan kepala putih yang beruban, badan besar yang mengembang dan kulit tua yang mengendur.

Begitulah keadaannya yang berlaku apabila berkumpulnya semula kami bekas-bekas pelajar sekolah Kebangsaan Islah dan Sek Men Kota Bharu tahun 1976 - 1980 yang telah diadakan di Restoran Nelayan Titiwangsa Sabtu lalu.

Tahniah dan terima kasih abah ucapkan kepada pihak penganjur khasnya saudara Alias Abdul Majid dan Shauki Serasi di atas usaha murni ini. Saudara telah menyambung semula tali-tali yang sudah putus, mempertautkan kembali hati-hati yang telah renggang. Persahabatan adalah anggur kehidupan.

Setidak-tidaknya masih ada sahabat-sahabat yang bakal menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat abah tatkala abah telah tiada.

Saturday, April 2, 2011

suatu ketika dahulu


Sambil mengemas sambil abah membelek album-album gambar lama yang berlonggok di dalam laci almari. Leka pulak dibuatnya.

Gambar demi gambar ditatap, abah mengimbau kembali masa lampau abah. Memang indah dan mengasyikkan. Kenangan dari alam persekolahan sehinggalah ke zaman kegemilangan dunia perkerjaan membuatkan abah tersenyum sendirian.

Paling membuatkan abah tersenyum ialah apabila pernah dimartabatkan sebagai anak seni. Berjuang sebagai kartunis! Satu profesyen yang agak glamor pada masa itu kerana bukan semua orang mampu melakukan. Hampir setiap minggu ada saja undangan ke sana ke sini bagi menceriakan sesuatu program sambil mendapat liputan media. Tugas kami menyampaikan mesej masyarakat dalam bentuk lakaran lucu yang sinis dan santai. Setidak-tidak pun dijemput menjadi hakim dalam pertandingan melukis.

Suatu ketika dahulu siapa yang tidak kenal kartunis Rejabhad dan Rasyid Asmawi. Dua nama yang tidak asing dan begitu akrab dengan dunianya. Dua nama yang amat abah hormati. Walau nama menjadi pujaan ramai mereka tidak hanyut dengan kemasyhurannya. Mereka tetap tunduk merendah diri. Abah menganggap mereka bukan sahaja sebagai rakan seperjuangan malah lebih sebagai guru yang mendidik. Mereka banyak menyedarkan abah tentang diri dan tanggungjawab justeru tanpa jemu mengingatkan setiap tiba waktu solat.

Kedua-dua mereka telah lama pergi. Hati abah sungguh tersentuh bilamana mengingatkan. Tiada anugerah penghargaan yang sebaiknya buat Allahyarham yang mampu abah hadiahkan melainkan doa. Semoga roh mereka berada di kalangan roh orang-orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah!

Nota: Inilah masalah abah apabila ada operasi mengemas rumah. Tidak dapat menyelesaikan tugas mengikut jadual seperti mana yang telah tetapkan oleh isteri abah. Nampak gayanya kenalah abah membuat rayuan untuk menyambungnya pada hari yang lain!

Thursday, March 31, 2011

apa sudah jadi ni...


Lebih sebulan abah tidak menjengok blog-blog sahabat mahupun blog sendiri. Bukannya tidak sihat tetapi kerana terpaksa mengendalikan satu projek yang amat memerlukan komitmen dan penumpuan sepenuhnya. Tidak dapat untuk dinyatakan projek apa yang abah sedang laksanakan di sini tetapi yang jelas bukan projek video ...

Sudah menjadi satu tabiat, apabila diberi amanah untuk melaksanakan sesuatu projek, abah tidak akan tidur lena sehinggalah projek itu berjaya diselesaikan. Maka semasa mengendali projek, abah telah mengabaikan beberapa perkara seperti aktiviti riadah, aktiviti bersama keluarga dan paling teruk tidak mengikuti perkembangan semasa.

Semalam abah telah diajukan dengan satu pertanyaan mengejut oleh seorang rakan,

“Anak abah yang di UITM Perlis tu tak balik?”

“Ehh...! Dah cuti semester ke?”

“Belum... tapi UITM sudah arahkan semua pelajar balik kerana Perlis banjir!”

“Perlis banjir! MasyaAllah! Di luar pengetahuan abah!”

Apa sudah jadi dengan abah ni... patutkah abah mengubah tabiat?

Tuesday, February 15, 2011

maka tirulah dia


Ada orang tidak tahu, dan dia tidak tahu bahawa dia tidak tahu, dia adalah orang yang jahil, maka ajarilah dia. Ada orang tidak tahu, dan dia tahu bahawa dia tidak tahu, dia adalah orang yang mencari, maka pimpinlah dia. Ada orang tahu, dan dia tidak tahu bahawa dia tahu, dia adalah orang yang tertidur, maka bangunkan dia. Ada orang yang tahu, dan dia tahu bahawa dia tahu, dia adalah orang yang mengetahui, maka tirulah dia.

Dulu abah tidak tahu. Alhamdulillah... kini abah tahu dan tidak ada sebab mengapa abah mesti berhenti daripada melakukannya. Usah memperkatakan lagi tentang penampilan abah yang berkopiah dan berjanggut. Abah tidak alim tetapi sekurang-kurangnya abah tahu itu adalah sunnah. Setiap perkara sunnah apabila dilakukan akan mendapat pahala.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad kepada manusia) jikalau kamu cintakan Allah, ikutilah daku.”
(Surah Ali Imraan: 31)

Rasulullah saw telah menunjukkan satu cara hidup yang memberi kejayaan kepada manusia di dalam hidup di dunia dan juga di akhirat. Kejayaan orang-orang Islam termasuk kemajuan agama dan dunianya, memperbaikkan masyarakat manusia serta persekitaran sosialnya. Kesemuanya ini dapat diperolehi daripada teladan-teladan kenabian. Mengabaikan kelakuan-kelakuan ini adalah tanda yang jelas ke arah penyelewengan.

Kekayaan iman dan keyakinan tidak kekal selamat tanpa diselaraskan dengan kelakuan-kelakuan kenabian. Ia adalah satu kemestian kepada setiap orang, tidak kira sama ada dia seorang alim ataupun jahil.

Selawat dan salam buat Nabi junjungan, kerabat serta sahabat baginda saw. Syafaatmu amatku harapkan.

Salam Maulidur Rasul, 12 Rabiulawal 1432H.

Friday, January 28, 2011

tidak seperti yang disangka


Abah baru keluar daripada sebuah bank kerana suatu urusan. Sedang abah berjalan menuju ke kereta yang di parking agak jauh, telefon berbunyi. Dalam keadaan kertas-kertas dokumen yang tidak tersusun di tangan, abah agak kelam kabut menggagau telefon di dalam kocek seluar.

Sambil menjawab panggilan, abah terus berjalan menuju ke kereta. Di kala menoleh ke kiri dan ke kanan untuk melintas jalan, kelihatan seorang pemuda sedang berjalan pantas melulu ke arah abah. Berseluar jean lusuh, berjeket kulit dan berkaca mata hitam.

“Alamak! Siapa pulak mamat ni? Gaya macam orang yang tidak boleh dibawa berunding. Apakah keperluan dia? Apakah yang dia hendakkan daripada aku? Mungkin dia nampak aku keluar dari bank tadi tetapi bukannya bermakna aku mengeluarkan wang.” Hati abah mula bersangka.

Setelah dia betul-betul berada di depan abah, dia menghulurkan sesuatu kepada abah.

“Eh! Nampak macam kenal... Ya Allah... Ini pen drive aku!”

Tentunya ia telah terjatuh sewaktu abah mengeluarkan telefon dari kocek seluar tadi. Alhamdulillah... kalau hilang susah juga kerana banyak kerja grafik abah yang disimpan belum di copy ke komputer.

Ucapan terima kasih yang berkali-kali abah kepada pemuda itu di samping menyimpan rasa bersalah kerana tidak bersangka baik. Astaghfirullah al-azim... abah telah gagal dalam ujian mendidik hati. Masih terlalu lemah hati ini.

Tuesday, January 25, 2011

ujian awal tahun


Mungkin sedikit luarbiasa daripada biasa. Abah diserang demam yang agak panjang pada awal tahun diiringi bersama selsema, batuk, sakit tekak, sakit kepala dan sakit telinga. Alhamdulillah... sudah semakin pulih.

Tatkala sakit, seluruh anggota badan terasa lemah dan tidak bermaya menjadikan abah seorang pemalas. Nak berfikir malas, nak bekerja malas, nak bercakap malas dan nak mendengar orang bercakap pun malas. Kira nak tidur aje...

Setelah beberapa klinik dirujuk, mengambil ubat, antibiotik dan seterusnya membuat ujian darah, alhamdulillah simptonnya semakin berkurangan.

Begitulah apabila usia sudah meningkat, antibodi menjadi semakin lemah dan abah seharusnya menerima hakikat itu.

Mungkin ini adalah ujian awal tahun baru buat abah.

Namun, bila difikirkan ini baru ujian yang kecil dan rendah tarafnya jika dibandingkan dengan ujian mereka yang sedang terlantar di hospital kerana sakit yang lebih kronik dan tidak tahu bila sembuhnya.

Di saat itu mampukah kita menghadapinya? Bersabarkah kita? Mengeluhkah kita? Redhakah kita? Dan bersyukurkah kita apabila telah sembuh?