Sunday, August 30, 2009

membaja diri


Bukan mudah, tatkala jam di dinding berdetik tiga kali, kita bangun melemparkan selimut tebal dan meninggalkan tilam empuk. Pergi ke bilik air lalu membasuh muka, membersih tangan dan mencuci kaki… berwuduk.

Di gelap malam, menjenguk ke tingkap, mendongak sejenak ke langit. Menghitung bintang yang mengerdip. Menyaksikan alam sekeliling sedang rebah di dalam kesepian, memuji dan memuja Tuhannya dengan bahasanya sendiri.

Di saat orang lain lenyap dalam ayunan mimpi, kita bangkit membaja diri. Mempersembahkan puji dan puja yang tidak berbelah bagi. Merayu diampunkan setiap dosa dan kesalahan. Memohon keredhaan dan kerahmatan untuk menempuh kehidupan.

Meleleh airmata di muka kerana kita yang lemah dan dhaif ini diperkenan mengadap.

Friday, August 21, 2009

Kalahkan diri sendiri

Dah selalu kita menang. Hampir setiap tahun. Tengok orang beli perabot baru, awak beli perabot baru. Tengok orang beli motokar baru, awak beli motokar baru. Tengok orang beli baju baru, awak pun beli baju baru.

Apa kata tahun kita kalahkan diri kita pulak.

Kaedah satu. Tengok orang nak beli perabot baru, awak jual perabot. Tengok orang nak beli motokar baru, awak jual motokar. Tengok orang nak beli baju baru, awak jual baju.

Atau satu lagi kaedah. Tengok orang beli perabot baru, awak beli sabut untuk buat perabot. Tengok orang beli motokar, awak beli basikal. Tengok orang beli baju, awak beli aje la penyepit baju ke penyangkut baju ke...

Itulah antara petikan kata-kata peringatan abah buat isteri abah setelah masuk bulan puasa. (walaupun sebenarnya isteri abah tidaklah begitu sifatnya).

Bagi abah, tidak perlu kita menjadi jaguh dengan menyandarkan nafsu sebagai pemain utama kita. Jadilah diri kita yang sebenar dengan fitrah yang telah Allah kurniakan. Sampai bila kita nak menang. Belajarlah menerima kekalahan.

Bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik untuk kita mengalahkan diri kita sendiri. Kita tidak pernah menang pun sebenarnya. Kalau kita rasa kuat, tentu ada orang lain lebih kuat. Kalau kita kaya, tentu ada orang lain yang jauh lebih kaya.

Kita sebenarnya menang apabila kita dapat kalahkan diri kita sendiri.

Thursday, August 6, 2009

Berniaga dengan Allah


Suatu petang anak-anak abah teringin makan aiskrim. Kebetulan lalu seorang penjual aiskrim berbasikal di depan rumah. Abah terus panggil.

Penjual aiskrim tersebut betul-betul memberhentikan basikalnya di depan abah dan anak-anak. Orangnya nampak warak dan sopan. Tidak pernah abah tengok dia menjaja di sini sebelum ini.

Dia lalu turun dari basikalnya. Dengan nada perlahan abah terdengar dia membaca Bismillahi rahmani rahim… lantas menongkat basikalnya. Kemudian dia menyebut lagi Bismillahi rahmani rahim… lalu mengambil kelongsong aiskrim dari dalam beg plastik Dia menyebut lagi Bismillahi rahmani rahim… sambil menyenduk aiskrim dari dalam peti aiskrimnya. Baca Bismillahi rahmani rahim lagi tatkala menuang pula aiskrim ke dalam kelongsongnya. Begitulah lafaz yang diulang setiap kali hendak melakukan sesuatu. Hampir setiap pergerakannya dimulakan dengan lafaz yang mulia.

Subhanallah… Abah terkaku sehingga tidak terkata walaupun di hati abah banyak berkata-kata. Hebatnya insan ini. Bukan mudah untuk beramal dengan lafaz Bismillah walaupun ia mudah disebut. Ini bukan sebarang orang.

Dia seakan menjawab persoalan abah apabila sebatang lagi aiskrim percuma dihulurkan kepada abah seraya berkata: “Berniagalah dengan Allah. Pasti untung!”