Saturday, October 16, 2010

apabila syaitan mentadbir hati

Seekor anjing lapar datang menghampiri. Jika tiada daging di tangan anda mungkin mudah anda menghalaunya. Memadai hanya dengan jeritan. Sebaliknya jika ada daging di tangan, anjing yang lapar itu pasti akan menerkam daging yang ada di tangan anda itu. Tidak cukup lagi untuk menghalaunya dengan sekadar jeritan.

Begitulah syaitan. Sekiranya ada hati yang padanya terdapat makanannya, maka syaitan akan berusaha untuk mendapatkan makanannya di situ. Tidak cukup menghalangnya daripada masuk ke hati dengan zikir sahaja, tetapi perlu mengosongkan hati itu daripada pengaruh hawa nafsu dan sifat-sifat mazmumah terlebih dahulu.

Jika tidak dikosongkan hawa atau syahwat akan menguasai hati, ia akan menolak zikir ke tubir hati, akibatnya zikir itu tidak dapat meresap dan menetap untuk melindungi hati. Dalam keadaan begini syaitan akan menyelinap masuk ke dalam hati, menguasai dan mentadbirkannya.

Apabila syaitan sudah menguasai hati, dia akan bertapak dan membentuk kerajaan. Dengan kuasa yang diperolehi, dia berupaya mencorak masa depan hidup anda. Anda terpaksa akur dengan segala perintahnya. Daripada seorang pengikut malaikat beralih menjadi pengikut syaitan. Daripada mirip seorang ahli syurga telah bertukar kepada mirip seorang ahli neraka.

Peluang untuk anda mentadbir semula hati anda bukanlah mudah. Memerlukan mujahadah yang amat tinggi. Yang pasti... tidak boleh menumbangkan syaitan melalui pilihanraya kecil kerana sesungguhnya syaitan itu makhluk yang tidak mati-mati...

Friday, October 8, 2010

menangguhkan ajal


Apabila terlintas padanya persoalan kematian, keperluan memikirkan tentang kematian dan membuat persediaan menghadapinya, dia akan menangguhkan lalu berjanji dengan dirinya dengan berkata:

“Hari-hari di tanganmu. Tunggulah... bila telah dewasa, kita boleh bertaubat.”

Apabila telah dewasa, dia akan berkata, “Belum kahwin lagi ni. Tunggulah... bila kita sudah tua."

Apabila sudah tua, dia akan berkata, “Tunggulah... bila kita dapat membuat rumah dan mengumpul harta. Tunggulah... selepas kembali dari melancung atau bagilah aku peluang pergi menunaikan ibadah haji terlebih dulu. Tunggulah... setelah anak habis belajar, bekerja dan menyediakan rumah untuknya. Tunggulah... sehingga aku buktikan kehebatanku kepada sainganku dan kepada dunia. Tunggulah...” Semakin banyak alasannya.

Dia tetap akan menjangka kadar hidupnya lebih lama walaupun angka usianya hampir mencecah tiga digit. Dia menangguhkan ajalnya disebabkan perjuangannya yang belum selesai.

Dia akan terus menangguhkan dan melambatkannya. Dia tidak akan dapat menyelesaikan kerjanya kerana selepas satu kerja, ada kerja yang menantinya yang perlu diselesaikan. Dia akan terus menuruti kehendak hawa nafsu yang tidak dapat dipenuhi melainkan dengan harta, pangkat, kuasa serta panjang angan-angan. Begitulah yang terjadi dengan berterusan, hari demi hari, kerja demi kerja, sehinggalah datang maut yang tidak diketahui dan tidak diduganya.

"Tunggulahhhh...." dia masih merayu untuk menangguhkan ajalnya.