Tuesday, November 29, 2011

Jangan bulan yang disalahkan


Hari ini kita telah memasuki tahun baru 1433 hijrah. Hampir di serata masjid dan surau mengadakan program dan aktiviti penghayatan Hijrah. Bermula pada ambang tahun baru 1433H petang Sabtu dengan program tazkirah, diikuti doa akhir tahun, doa awal tahun, bacaan Yasin dan tahlil, solat hajat, qiamullail, kuliah Subuh, hinggalah ke ceramah perdana pada malam Ahad berikutnya.

Namun... dalam masa yang sama, ada di kalangan jemaah yang mengutarakan soalan-soalan sumbang yang berbunyi, “Apakah hukum sambutan maal hijrah?” “Apakah ada dalil atau nas bagi doa awal tahun dan akhir tahun?” “Bukankah kalau Nabi tidak buat itu merupakan bidaah?”

Subhanallah! Siapakah Sang Pengemuka soalan yang lantang itu? Tinggi benarkah ilmunya sehingga mampu mengeluarkan soalan-soalan yang sebernas itu? Atau apakah mereka dari kalangan pengamal-pengamal sunnah Rasulullah saw yang hebat dan mantop?

Maka terpaksalah Ustaz Tua mengakui, “Ya... kalau ditanya hukum, memang amalan ini adalah bidaah kerana nabi tidak pernah melakukan. Tetapi... salahkah kita menghayati peristiwa penghijrahan Nabi saw dan para muhajirin dari kota Makkah ke kota Madinah?”

Kata Ustaz Tua lagi, “Sekalipun hijrah tidak berlaku pada bulan Muharam, tetapi sebagai mengingatinya sengaja Khalifah Saidina Omar al-Khattab memilih detik peristiwa tersebut sebagai bulan pertama dalam kalendar Islam bilamana taqwim Hijrah mula diperkenalkan pada zaman pemerintahannya. Siapakah Sayidina Omar al-Khattab berbanding kita? Dijamin syurgakah kita sebagaimana dijaminnya syurga Sayidina Omar al-Khattab oleh Nabi saw.”

“Begitu juga dengan amalan berdoa. Salahkah di akhir tahun mahupun di awal tahun kita bermohon kepada Allah SWT supaya diberi perlindungan dan kesejahteraan? Sedangkan setiap hari kita disarankan supaya berdoa, di kala susah mahupun senang.”

“Mengapa amalan sebegini dipertikai sedangkan tidak mempersoalkan amalan sambutan tahun baru masehi yang jelas menyeleweng. Adakah program nyanyi-nyanyi, nari-nari, menunggu detik 12 malam amalan sunnah? Tembakan bunga api pada detik 12 malam apakah ada dalilnya?”

Mengakhiri bicara, bilamana Uustaz Tua bertanya tentang nama-nama bulan di dalam kalendar Islam, Sang Pengemuka soalan terkial-kial untuk mengingati sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Yang mampu disebut hanyalah, Ramadan... Syawal... itupun dalam nada yang tergagap-gagap.


Nota: Orang dahulu kurang bertanya banyak amalannya, sedang orang sekarang banyak bertanya kurang amalannya...

4 comments:

  1. Andai malam gelap tanpa cahaya, jangan bulan yang disalahkan...

    ReplyDelete
  2. Islam itu tidak dtg bergolek melainkan setelah lelah payah perjungan dan pengorbanan Rasulullah dan para generasi terdahulu. Maka Hijratul Rasul ini menjadi simbol nur Islam bertahta di muka dunia untuk sama2 kita hayati dan syukuri.

    ReplyDelete
  3. dia tak nak buat, jangan susahkan orang yang nak buat.
    time berarak maulidurrasul, dia depan sekali.

    ReplyDelete
  4. amalan baik...walau kecil jgn tak buat, maksiat walau kecil jgn buat. adakah bulan akan menyinar di PRU13? insyaAllah.

    ReplyDelete