Abah bukanlah seorang alim dan jauh sekali dikatakan sebagai ustaz. Abah tergolong dalam kategori orang tua yang masih belajar. Abah mencintai ilmu. Sekolah abah sekarang ialah masjid dan surau-surau. Apa yang abah sampaikan ialah apa yang abah dapat di sekolah abah. Abah teruja untuk berkongsi bersama kekawan melalui tulisan di samping lebih mengingatkan diri apabila abah menulis.
Walaupun begitu abah sebenarnya berasa takut untuk menulis. Abah takut dengan tulisan abah yang pandai menasihati orang lain sedangkan sebenarnya abah sendiri masih memerlukan nasihat. Ia seolah-olah membohongi diri sendiri. Menyampaikan sesuatu ilmu itu biarlah terlebih dahulu kita beramal dengannya. Jangan diumpamakan sebagai seorang jurujual yang bercakap hanya kerana ingin melariskan jualan semata-mata.
Abah suka sekiranya seorang jurujual menjual produk mereka setelah terbukti berkesan ke atas diri mereka sendiri berbanding memberi contoh testimoni orang lain.
Entah kenapa abah suka menulis soal kematian. Sehingga ramai yang meluat dengan tulisan abah, dah takde cerita pasal hidup ke, asyik mati, mati dan mati. Maafkan abah... Mungkin sebab perasaan begini yang selalu bermain di kotak pemikiran seorang yang sudah berada di hujung usia. Bagi abah ia adalah terapi yang berkesan apabila kita terlalu leka dengan urusan dunia. Apabila hati ada keinginan untuk sesuatu, perlulah segera diperingatkan, agar ia menjauhkan diri daripada godaan dunia.
Pada suatu hari Ibn Muti' melihat rumahnya. Dia kagum melihat rumahnya yang cantik, kemudian dia menangis. Katanya:
Demi Allah!
Kalaulah tidak mengingat akan mati
Aku amat suka melihatmu
Kalaulah kami tidak membayangkan kubur yang sempit
Kami mahu kekal hidup di dunia.
Tolonglah kami!
Kemudian dia menangis sekuat-kuatnya.