Saturday, October 16, 2010

apabila syaitan mentadbir hati

Seekor anjing lapar datang menghampiri. Jika tiada daging di tangan anda mungkin mudah anda menghalaunya. Memadai hanya dengan jeritan. Sebaliknya jika ada daging di tangan, anjing yang lapar itu pasti akan menerkam daging yang ada di tangan anda itu. Tidak cukup lagi untuk menghalaunya dengan sekadar jeritan.

Begitulah syaitan. Sekiranya ada hati yang padanya terdapat makanannya, maka syaitan akan berusaha untuk mendapatkan makanannya di situ. Tidak cukup menghalangnya daripada masuk ke hati dengan zikir sahaja, tetapi perlu mengosongkan hati itu daripada pengaruh hawa nafsu dan sifat-sifat mazmumah terlebih dahulu.

Jika tidak dikosongkan hawa atau syahwat akan menguasai hati, ia akan menolak zikir ke tubir hati, akibatnya zikir itu tidak dapat meresap dan menetap untuk melindungi hati. Dalam keadaan begini syaitan akan menyelinap masuk ke dalam hati, menguasai dan mentadbirkannya.

Apabila syaitan sudah menguasai hati, dia akan bertapak dan membentuk kerajaan. Dengan kuasa yang diperolehi, dia berupaya mencorak masa depan hidup anda. Anda terpaksa akur dengan segala perintahnya. Daripada seorang pengikut malaikat beralih menjadi pengikut syaitan. Daripada mirip seorang ahli syurga telah bertukar kepada mirip seorang ahli neraka.

Peluang untuk anda mentadbir semula hati anda bukanlah mudah. Memerlukan mujahadah yang amat tinggi. Yang pasti... tidak boleh menumbangkan syaitan melalui pilihanraya kecil kerana sesungguhnya syaitan itu makhluk yang tidak mati-mati...

2 comments:

  1. salam abah,
    artikel yang betul bermanfaat :)
    mari sama-sama banyakkan berta'awuz.
    mohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam, insyaAllah :)

    ReplyDelete
  2. salam cintajihad,
    begitulah... jangan sesekali memberi umpan kepada syaitan yang tentunya menjerumuskan kita ke neraka bersamanya. semoga Allah melindungi kita.

    ReplyDelete