Friday, October 28, 2011

murah hati yang mahal


Abah singgah solat di sebuah surau. Usai solat seorang budak menghampiri abah. Sebuah tabung derma dihulurnya. Raut wajah dan gaya pakaian budak itu meyakinkan abah bahawa dia adalah anak yatim yang mewakili sekolahnya memohon sumbangan. Abah menghulurkan derma.

Di suatu sudut beranda surau kelihatan seorang pakcik penarik beca sedang berehat melepaskan penat.

Budak itu lalu menghampiri pakcik itu dan menghulurkan tabung derma kepadanya.

Pakcik penarik beca menyeluk saku seluarnya yang lusuh. Sekeping note berwarna merah sepuluh ringgit dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam tabung derma tersebut.

Budak itu mengucapkan terima kasih seraya berpaling untuk pergi. Tetapi pakcik itu memberi isyarat supaya menunggu. Pakcik menyeluk poket seluarnya yang sebelah lagi.

Dia mengeluarkan beberapa note kertas berwarna biru dan hijau lalu dimasukkan kesemuanya ke dalam poket baju melayu budak itu.

“Ini hok mu buat beli makanan.”



Abah kemudian menghampiri pakcik itu, sambil bertanya, “Berapo pendapatan pakcik sehari?”
Dia berkata, “Tak tentu! Kade-kade ado, kade-kade tak dok.”

Tanya abah lagi, “Bakpo pakcik sedekah semua duit pakcik kepada budak itu?”
Jawabnya, “Budak tu anak yatim. Berjalan kaki jauh, lapar. Pakcik tak pe, ada beca, boleh kayuh lagi.”

Subhanallah... Dia jauh lebih murah hati daripada abah.
Abah mula berasa sebak.

“Kalu gitu mari ikut ambo pergi makan.” sambil abah memegang tangannya.
“Hari ni pakcik posa.” jawabnya perlahan.

Abah tidak mampu bersuara lagi...



Nota: Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya.

Monday, October 24, 2011

Buat sahabat yang terpilih, Fatah


Bersyukurlah.
Merasa tenteramlah.
Atas segala keadaanmu,
Kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu banyak tak terbilang.
Kesakitan perjalanan hidup kian minit kian baru

Bersyukurlah.
Merasa senanglah.
Atas segala keadaanmu,
Kerana engkau telah masuk dalam daftar anak bumi yang terpilih,

Bersyukurlah selalu
Merasa senanglah selalu
Merasa tenteramlah selalu
Merasa berbahagialah selalu...


Nota: Pameran dan Jualan koleksi Fatah sedang diadakan di Laman Wau Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 21 Oktober hingga 30 Oktober 2011 bagi tujuan menampung dana perubatan beliau.

Friday, August 26, 2011

merancang laluan perjalanan


Abah rasa masing-masing di kalangan kita sudah pun merancang perjalanan untuk balik ke kampung. Abah pun begitu. Eloklah kita sama-sama mengenal pasti jalan yang terbaik yang akan kita lalui supaya tidak menempuh kesesakan yang sememangnya akan berlaku kesesakan. Kalau tertempuh bersyukurlah juga, sebab paling tidak kita telah bersedia.

Namun dalam keghairahan itu jangan kita lupa bahawa dalam masa yang sama syaitan juga sedang berkira-kira untuk meraikan hari pembebasan mereka. Mereka juga sedang merancang untuk memenuhi jalan-jalan yang boleh digunakan untuk menyesatkan kembali perjalanan kita yang sudah semakin bersih dan lancar di Tarbiyah Ramadhan.

Abah rasa eloklah juga kita sama-sama mengetahui dan mengenal pasti jalan laluan syaitan dan pintu-pintu utama yang sering digunakan. Laluannya amat banyak sekali. Namun berilah perhatian kepada laluan utama dan pintu-pintu besar yang menjadi kegemaran angkatan tenteranya. Antara pintu besar mereka ialah:

1. Marah dan nafsu syahwat.
2. Hasad dan tamak haloba.
3. Malas dan kenyang perut.
4. Berhias untuk perhatian manusia.
5. Gopoh dan terburu-buru.
6. Wang dan harta benda.
7. Bakhil dan takut faqir.
8. Jahil terhadap agama.
9. Buruk sangka sesama Islam.

Dikatakan pintu yang besar dan laluan yang luas akan menjadi sesak disebabkan banyaknya syaitan yang masuk. Apa yang boleh menutupinya hanyalah dengan mengawal sifat-sifat yang ada pada diri kita sendiri.

Nota: Kepada yang ingin memulakan perjalanan pastikan jangan terlupa membaca doa naik kenderaan. Doa abah buat semua... selamat sampai ke kampung dan Salam Idulfitri.

Saturday, August 13, 2011

ahli puasa vs antu raya


Sedar tak sedar kita sudah hampir di pertengahan Ramadhan. Persoalannya... di manakah letaknya diri kita sekarang? Bagaimanakah graf amalan soleh yang telah kita lakukan? Adakah kita benar-benar di kalangan ahli puasa atau cuma antu raya.

Ahli Puasa: Menjaga percakapan daripada bercakap perkara-perkara yang lagho dan tidak bermanfaat. Jauh sekali untuk mengumpat dan berbohong.

Antu Raya: Bermula dari awal Ramadhan sudah bercakap fasal kuih-muih raya, langsir dan perabot raya, baju raya, duit raya dan sebagainya.

Ahli Puasa: Menjaga solat dan menutup aurat kerana mengetahui betapa ruginya berpuasa tanpa bersolat dan menutup aurat. Hasilnya cuma mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Antu Raya: Berniaga di pasar Ramadhan tetapi mendedah aurat. Bila masuk waktu berbuka sibuk pula tutup gerai dan mengira keuntungan sehingga terlepas waktu Maghrib.

Ahli Puasa: Di sepuluh malam terakhir Ramadhan, meningkatkan amalan soleh dengan berqiamullail dan beriktiqaf semata-mata untuk mendapat ganjaran malam Lailatul qadar seperti yang dijanjikan oleh Allah swt.

Antu Raya: Di sepuluh malam terakhir, meningkatkan kunjungan dan lawatan ke pasar-pasar raya, gedung-gedung membeli belah, untuk mendapat ganjaran harga runtuh, jualan murah, jualan penghabisan stok dan sebagainya.


Nota: Ya Allah... mampukah aku untuk memperoleh anugerah-Mu menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana harapan-Mu, la’alakum tatakun...

Saturday, July 30, 2011

ulangtahun perkahwinan ulangtahun perpisahan


Tarikh 31 Julai adalah tarikh keramat di mana abah dan isteri diijabkabul. Pada tarikh yang sama juga abah telah kehilangan ibu yang tercinta. Ibu yang telah melahirkan. Ibu yang membesarkan dan ibu yang telah mendoakan kebahagiaan anaknya ini.

Ibu...

Setiap langkah perjalananku adalah di atas tapak-tapak yang telah dipijak olehmu.
Setiap kata ucapanku adalah di atas butir-butir huruf yang telah disusun olehmu.

Tidak ada bintang kemenangan yang dapat kusematkan ke dadamu.
Tidak ada lencana dan tanda jasa yang dapat kulekatkan pada dirimu.
Tidak ada pakaian kebesaran istimewa yang dapat kututupi tubuhmu.
Tidak ada kemewahan dan kemegahan yang dapat kukalungi hidupmu.

Terlalu suci pengorbananmu lahir dari fitrah seorang ibu.
Ampuni segala kesalahan di atas kelemahanku.

Di gerbang Ramadhan yang penuh keampunan dan keberkatan ini, tiada yang lebih berharga yang mampu kuhadiahkan melainkan bacaan surah yang mulia al-Fatihah buat Allahyarhamah ibu Minah binti Hamat. Al-Fatihah.

Nota: Salam Ramadhan Kareem buat semua muslimin dan muslimat.

Wednesday, July 27, 2011

setelah sekian lama


Atas dasar mengutamakan perkara yang lebih utama menyebabkan abah tidak mampu untuk update blog dalam jangka masa yang agak lama. Abah terpaksa mendahulukan kepada banyak perkara yang abah kira lebih utama untuk diselesaikan.

Walau bagaimanapun abah tertarik dengan satu program yang telah diadakan oleh sahabat lama abah yang menyebabkan abah teruja untuk mengabadikan di paparan blog.


Reunion SMKB 76-80

Melihat wajah-wajah sahabat yang hadir memaksa abah mengimbau kembali suatu ketika di zaman persekolahan. Ada wajah yang abah masih cam, ada yang sudah samar-samar dan tidak kurang yang abah tidak kenal langsung. Mereka seolah-olah wajah baru yang abah baru kenali walhal mereka begitu mengenali abah. MasyaAllah... terlalu lemah ingatan abah.

Bukannya lama pun, tidak lebih 40 tahun kami berpisah. Masing-masing sudah menyerlahkan rupa paras dan bentuk fizikal yang tidak boleh untuk disorok-sorok lagi. Rata-rata sudah memaparkan kepala putih yang beruban, badan besar yang mengembang dan kulit tua yang mengendur.

Begitulah keadaannya yang berlaku apabila berkumpulnya semula kami bekas-bekas pelajar sekolah Kebangsaan Islah dan Sek Men Kota Bharu tahun 1976 - 1980 yang telah diadakan di Restoran Nelayan Titiwangsa Sabtu lalu.

Tahniah dan terima kasih abah ucapkan kepada pihak penganjur khasnya saudara Alias Abdul Majid dan Shauki Serasi di atas usaha murni ini. Saudara telah menyambung semula tali-tali yang sudah putus, mempertautkan kembali hati-hati yang telah renggang. Persahabatan adalah anggur kehidupan.

Setidak-tidaknya masih ada sahabat-sahabat yang bakal menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat abah tatkala abah telah tiada.

Saturday, April 2, 2011

suatu ketika dahulu


Sambil mengemas sambil abah membelek album-album gambar lama yang berlonggok di dalam laci almari. Leka pulak dibuatnya.

Gambar demi gambar ditatap, abah mengimbau kembali masa lampau abah. Memang indah dan mengasyikkan. Kenangan dari alam persekolahan sehinggalah ke zaman kegemilangan dunia perkerjaan membuatkan abah tersenyum sendirian.

Paling membuatkan abah tersenyum ialah apabila pernah dimartabatkan sebagai anak seni. Berjuang sebagai kartunis! Satu profesyen yang agak glamor pada masa itu kerana bukan semua orang mampu melakukan. Hampir setiap minggu ada saja undangan ke sana ke sini bagi menceriakan sesuatu program sambil mendapat liputan media. Tugas kami menyampaikan mesej masyarakat dalam bentuk lakaran lucu yang sinis dan santai. Setidak-tidak pun dijemput menjadi hakim dalam pertandingan melukis.

Suatu ketika dahulu siapa yang tidak kenal kartunis Rejabhad dan Rasyid Asmawi. Dua nama yang tidak asing dan begitu akrab dengan dunianya. Dua nama yang amat abah hormati. Walau nama menjadi pujaan ramai mereka tidak hanyut dengan kemasyhurannya. Mereka tetap tunduk merendah diri. Abah menganggap mereka bukan sahaja sebagai rakan seperjuangan malah lebih sebagai guru yang mendidik. Mereka banyak menyedarkan abah tentang diri dan tanggungjawab justeru tanpa jemu mengingatkan setiap tiba waktu solat.

Kedua-dua mereka telah lama pergi. Hati abah sungguh tersentuh bilamana mengingatkan. Tiada anugerah penghargaan yang sebaiknya buat Allahyarham yang mampu abah hadiahkan melainkan doa. Semoga roh mereka berada di kalangan roh orang-orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah!

Nota: Inilah masalah abah apabila ada operasi mengemas rumah. Tidak dapat menyelesaikan tugas mengikut jadual seperti mana yang telah tetapkan oleh isteri abah. Nampak gayanya kenalah abah membuat rayuan untuk menyambungnya pada hari yang lain!