
Waktu maghrib sudah pun masuk. Abah menghamparkan sejadah di atas jalanraya yang bergarisan cat berwarna kuning yang sudah pudar. Abah amat yakin itu adalah tempat meletak kereta. Namun tidak kelihatan pula sebarang kenderaan di situ.
Tikar sejadah abah agak panjang daripada yang biasa dilihat. Abah pun tidak pasti dari mana abah memperolehinya. Isteri dan anak-anak abah turut menghampar tikar sejadah mereka di sebelah belakang selaku makmum.
Suasana agak lengang. Cuma kelihatan seorang dua peniaga kereta sorong sedang meneruskan jualan tanpa pelanggan. Abah mengenakan jubah putih yang selalu abah gunakan sudah bersedia untuk mengimamkan solat.
Tanpa diduga kami didatangi oleh sebuah keluarga yang memang abah amat kenali. Mereka adalah jiran lama kami. Rasanya sudah lebih sepuluh tahun kami tidak berhubung sejak kami berpindah ke rumah baru. Tidak sangka pulak kami boleh bertemu di sini, sebuah tempat yang asing dan aneh.
Kedatangan mereka yang sudah lengkap berbaju Melayu dan bertelekung menunjukkan mereka juga bersedia untuk menunaikan solat. Tanpa banyak bicara mereka turut menghamparkan tikar sejadah masing-masing. Abah memulakan takbirratul ihram diikuti dengan membaca doa iftitah dan surah al-Fatihah.
Belum pun sempat menghabiskan bacaan, kami telah dikejutkan dengan satu insiden serbuan ala-ala zionis yang dilakukan oleh sekumpulan manusia yang mengaku pegawai dari jabatan agama. Mereka segera memberhentikan solat kami seraya menunjukkan kad kuasa mereka. Suasana menjadi tegang. Kami telah dikatakan bersalah kerana mengerjakan solat di tempat awam tanpa permit.
Aik! Pelik sungguh. Bukankah solat boleh didirikan di mana sahaja ceruk di bumi Allah ini? Abah cuba menerangkan tetapi mereka keras membantah. Ini telah membuatkan abah terjaga. Astaghfirullah al-azim. Bermimpi rupanya.
Berbagai persoalan bermain di kotak pemikiran abah. Abah menceritakan kisah mimpi abah kepada isteri abah. Kami mengambil keputusan untuk menziarahi keluarga jiran lama kami pada hujung minggu ini, insyaAllah. Mungkin ada hati-hati yang retak perlu dirapatkan dan ada tali-tali yang putus perlu disambung semula.