
Kisah seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walau hanya kerana satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, ayahnya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.
“Untuk apakah paku-paku ini ayah?” tanya pemuda tersebut.
“Setiap kali apabila kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu” jawab ayahnya.
Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 41 batang paku pada tembok batu tersebut. Selang beberapa minggu, dia sudah dapat mengurangkan kemarahannya, maka jumlah paku yang digunakan turut berkurangan.
Dia kini mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut.
Akhirnya tibalah pada suatu ketika pemuda tersebut tidak marah lagi, walau sekalipun. Dengan rasa gembira dia memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut.Ayahnya mengucapkan tahniah lalu menyuruh dia mencabut semula paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.
Hari berganti hari... akhirnya dia telah berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada ayahnya. Ayahnya memimpin tangannya ke tembok tersebut lalu berkata,
“Alhamdulillah... kamu telah melakukannya dengan baik, anakku... tetapi lihatlah kesan-kesan lubang pada tembok batu ini. Ia tidak lagi kelihatan sama seperti sebelumnya. Begitulah... apabila kamu melafazkan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika sedang marah. ibarat kamu memaku hati orang lain. Ianya pasti akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti tembok ini...”
Nota: Luka di hati lebih pedih dari luka fizikal.