Saturday, December 25, 2010

apabila bangun pagi...


Abah rasa amat bertuah hari ini kerana masih lagi dibangunkan oleh Allah SWT seperti hari-hari sebelumnya. Abah masih bernafas.

Tubuh badan sihat dan segar tanpa ada rasa tanda-tanda nak demam, selsema atau sebagainya. Kaki masih berupaya berjalan dan tangan masih gagah mengangkat. Mata masih jelas melihat, telinga masih mendengar dan mulut masih dapat bersuara.

Kelihatan juga pada wajah isteri dan anak-anak senyuman ceria tanpa ada sebarang keluh-kesah yang diluahkan.

Dapur pun masih kelihatan berasap.

Perhati pula di sekitar rumah yang masih kemas dan tersusun menandakan tidak ada sesiapa yang tidak diingini menceroboh masuk ke dalam. Pastinya tidak ada apa-apa kehilangan dan kerosakan yang boleh mendatangkan kerugian.

Alhamdulillah...
Abah bersyukur dengan sebenar-benar syukur...

Apakah lagi yang masih kita mahukan daripada-Nya...

Sunday, December 19, 2010

kasih kepada-Nya


Di sebuah tempat peranginan, aku melihat seorang pemuda sedang membonceng seorang gadis dengan mengayuh basikal di jalan yang mendaki. Melihat kepada kemesraannya, pada aku mereka adalah pasangan kekasih yang sedang bercinta atau pasangan suami isteri yang sedang berbulan madu. Peluh mengalir ke dahi si pemuda langsung tidak dihiraukan. Nafas tercungap kepenatan namun dia tetap tersenyum dan dikayuhnya juga basikal itu.

Melihatkan peristiwa itu berkatalah aku di dalam hatiku: Kalau hati telah jatuh cinta, yang berat dirasanya ringan, jalan yang berbukit dirasanya mendatar saja. Peluh yang mengalir umpama mutiara. Kepenatan dan kepayahan dijadikan suatu bingkisan kasih kepada si jantung hati...

Patutlah ada ahli-ahli tasauf yang jatuh pengsan seketika apabila mendengar nama kekasihnya disebut orang, “Allah!”

Monday, December 6, 2010

menghirup udara 1432 hijrah


Alhamdulillah... kita masih diberi peluang untuk menghirup udara tahun baru 1432 Hijrah. Samada bersedia ataupun tidak, kita perlu mengharunginya sekali lagi...

Berdoalah: Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Ya Allah, Engkaulah Yang Kekal Abadi, Yang Qadim, Yang Awal dan di atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah, Engkau telah memunculkan tahun baru di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan kepada-Mu di sepanjang tahun ini daripada syaitan yang direjam serta pembantu-pembantu dan tentera-tenteranya.

Ya Allah, Kami juga memohon pertolongan-Mu menjauhkan kami daripada nafsu yang banyak mendorong kami kepada kejahatan dan kami memohon kepada-Mu untuk memberikan kami melakukan usaha yang boleh mendekatkan kami kepada-Mu, wahai Tuhan Yang Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang.

Amin ya Rabbal ‘alamin.

Nota: Sentiasalah berhijrah menuju ke arah yang lebih baik sementara masih berpeluang. Sementara belum dihijrahkan Allah daripada alam fana ke alam baqa, yang tidak mungkin kita berupaya untuk berbuat apa-apa lagi...

Salam Maal Hijrah!

Thursday, December 2, 2010

menyangka diri baik


Sewaktu merebahkan badannya ke tilam, dia mula berbicara dengan dirinya sendiri. Dia berbuat demikian kerana sejak akhir-akhir ini didapati ramai orang memujinya. Pelbagai persoalan diajukan lalu dijawab oleh dirinya. Setelah hampir separuh malam bersidang, dia memutuskan untuk mengakui dirinya baik.

Dia merasakan begitu kerana di sepanjang tempoh kehidupan yang telah dilalui, rekodnya bersih. Seingatnya tidak ada sebarang jenayah yang pernah dilakukan. Tidak pernah minum arak, berjudi, apatah lagi merogol dan melakukan perkara-perkara sumbang yang lain. Jauh sekali meragut, mencuri, apatah lagi merompak. Kalau ada pun sesekali mencuri menghisap rokok sewaktu balik dari sekolah. Ahh... itu kira biasalah. Lagi pun peristiwa itu sudah lama berlaku, di zaman persekolahan dulu. Selepas tersedar bahaya rokok, dia tidak merokok lagi.

Mungkin kerana penampilannya yang baik dan warak membuatkan masyarakat memulia dan memujinya. Dia selalu pergi ke masjid dan surau untuk solat berjemaah. Pernah juga dilantik menjadi imam sembahyang sewaktu ketiadaan imam bertugas. Dia juga bukan kategori pelokek kerana bukan sedikit wang yang telah di dermakan untuk pembangunan surau di tempatnya.

Bersandarkan hujah-hujah yang telah dijawabnya sendiri dengan fasih dan lancar itu bertambah yakinlah dia untuk mengatakan dirinya baik.

Begitulah... apabila mendapat pujian, kita selalu menyangka diri kita baik. Lebih baik daripada apa yang sebenarnya kita tahu tentang diri kita.

Kata Ibn Juraij: Jika kamu telah membuat sesuatu yang baik janganlah kamu katakan ini aku buat.
Kata Zaid bin Aslam: Jangan mendakwa diri sendiri baik kerana itu adalah ‘ujub.

Bisyr bin Mansur termasuk dalam golongan orang yang apabila terlintas dibenak mereka ingat kepada Allah dan hari akhirat, mereka segera menekuni ibadah. Pada suatu hari dia menunaikan sembahyang dengan begitu lama dan seorang lelaki yang berada di belakang sedang memerhatikannya. Bisyr menyedarinya.

Lalu selepas sembahyang, dia berkata: Janganlah engkau berasa hairan melihat aku, sesungguhnya iblis yang dilaknat Allah telah beribadah kepada Allah Ta‘ala bersama dengan Malaikat dalam tempoh masa yang amat lama; kemudian terjadi apa yang telah terjadi padanya.

Ditanyakan kepada ‘Aisyah r.a.: Bilakah orang yang jahat itu dikira jahat?
Jawabnya: Apabila dia menyangka dirinya baik.

Wednesday, November 24, 2010

terapi yang berkesan


Abah bukanlah seorang alim dan jauh sekali dikatakan sebagai ustaz. Abah tergolong dalam kategori orang tua yang masih belajar. Abah mencintai ilmu. Sekolah abah sekarang ialah masjid dan surau-surau. Apa yang abah sampaikan ialah apa yang abah dapat di sekolah abah. Abah teruja untuk berkongsi bersama kekawan melalui tulisan di samping lebih mengingatkan diri apabila abah menulis.

Walaupun begitu abah sebenarnya berasa takut untuk menulis. Abah takut dengan tulisan abah yang pandai menasihati orang lain sedangkan sebenarnya abah sendiri masih memerlukan nasihat. Ia seolah-olah membohongi diri sendiri. Menyampaikan sesuatu ilmu itu biarlah terlebih dahulu kita beramal dengannya. Jangan diumpamakan sebagai seorang jurujual yang bercakap hanya kerana ingin melariskan jualan semata-mata.

Abah suka sekiranya seorang jurujual menjual produk mereka setelah terbukti berkesan ke atas diri mereka sendiri berbanding memberi contoh testimoni orang lain.

Entah kenapa abah suka menulis soal kematian. Sehingga ramai yang meluat dengan tulisan abah, dah takde cerita pasal hidup ke, asyik mati, mati dan mati. Maafkan abah... Mungkin sebab perasaan begini yang selalu bermain di kotak pemikiran seorang yang sudah berada di hujung usia. Bagi abah ia adalah terapi yang berkesan apabila kita terlalu leka dengan urusan dunia. Apabila hati ada keinginan untuk sesuatu, perlulah segera diperingatkan, agar ia menjauhkan diri daripada godaan dunia.

Pada suatu hari Ibn Muti' melihat rumahnya. Dia kagum melihat rumahnya yang cantik, kemudian dia menangis. Katanya:

Demi Allah!
Kalaulah tidak mengingat akan mati
Aku amat suka melihatmu
Kalaulah kami tidak membayangkan kubur yang sempit
Kami mahu kekal hidup di dunia.
Tolonglah kami!

Kemudian dia menangis sekuat-kuatnya.

Sunday, November 7, 2010

bayangkan bila sudah tiada...


Sesuatu yang kita miliki tidak nampak bernilai selagi mana ia masih menjadi milik kita. Sesuatu yang kita miliki tidak nampak berharga selagi mana ia masih berada di dalam genggaman kita.

Ada orang berasa senang dan selesa dengan bentuk fizikal tubuh badannya, kejelitaan, kekacakan, kesihatan dan kemerduan suara yang dimiliki. Ada pula berasa megah dan kagum dengan kekayaan harta, rumah besar, kereta mewah, gedung di darat, kapal di laut, eset luar dan dalam negaranya. Tidak kurang juga yang berasa hebat dan gagah dengan pangkat, bintang kehormat, keilmuan, kebijaksanaan dan empayar pengaruh kekuasaan ciptaannya.

Kita selalunya terlupa bahawa pengurniaan kejadian diri yang menyebabkannya kita berasa selesa, senang, megah, kagum, hebat dan gagah itu adalah nikmat daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Semuanya itu dapat hilang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Sekarang kita masih berupaya senyum kerana semua itu masih ada pada kita. Kita akan menangis apabila nikmat-nikmat itu sudah tiada lagi. Kita pasti akan merasakan suatu kehilangan besar dan terlalu memerlukannya. Kita pasti akan menyesal tidak sudah kerana tidak memanfaatnya semasa kita masih memilikinya dahulu.

Bayangkan apabila sepasang mata yang cantik dan galak tiba-tiba tidak dapat melihat lagi. Sedangkan nikmat melihat masih belum kita terjemah kepada fungsinya yang sebenar. Bayangkan lagi apabila susuk tubuh yang sihat dan segar bugar tiba-tiba lumpuh dan tidak dapat bergerak. Sedangkan nikmat sihat masih belum kita guna untuk memberi khidmat kepada yang memerlukan. Bayangkan pula otak yang cerdik dan pintar tiba-tiba tidak dapat berfikir secara waras dan rasional. Sedangkan nikmat keilmuan dan kepandaian masih belum kita guna untuk menyebarkan kepada mereka yang jahil.

Dan... bayangkan juga apabila sampai masanya nikmat nyawa pula ditarik. Pada masa itu semuanya sudah tidak berguna...

Saturday, October 16, 2010

apabila syaitan mentadbir hati

Seekor anjing lapar datang menghampiri. Jika tiada daging di tangan anda mungkin mudah anda menghalaunya. Memadai hanya dengan jeritan. Sebaliknya jika ada daging di tangan, anjing yang lapar itu pasti akan menerkam daging yang ada di tangan anda itu. Tidak cukup lagi untuk menghalaunya dengan sekadar jeritan.

Begitulah syaitan. Sekiranya ada hati yang padanya terdapat makanannya, maka syaitan akan berusaha untuk mendapatkan makanannya di situ. Tidak cukup menghalangnya daripada masuk ke hati dengan zikir sahaja, tetapi perlu mengosongkan hati itu daripada pengaruh hawa nafsu dan sifat-sifat mazmumah terlebih dahulu.

Jika tidak dikosongkan hawa atau syahwat akan menguasai hati, ia akan menolak zikir ke tubir hati, akibatnya zikir itu tidak dapat meresap dan menetap untuk melindungi hati. Dalam keadaan begini syaitan akan menyelinap masuk ke dalam hati, menguasai dan mentadbirkannya.

Apabila syaitan sudah menguasai hati, dia akan bertapak dan membentuk kerajaan. Dengan kuasa yang diperolehi, dia berupaya mencorak masa depan hidup anda. Anda terpaksa akur dengan segala perintahnya. Daripada seorang pengikut malaikat beralih menjadi pengikut syaitan. Daripada mirip seorang ahli syurga telah bertukar kepada mirip seorang ahli neraka.

Peluang untuk anda mentadbir semula hati anda bukanlah mudah. Memerlukan mujahadah yang amat tinggi. Yang pasti... tidak boleh menumbangkan syaitan melalui pilihanraya kecil kerana sesungguhnya syaitan itu makhluk yang tidak mati-mati...