Friday, November 13, 2009

Sebuah wasiat


Wahai saudara,

Berimanlah kamu kepada Allah. Perkukuhkanlah mengenal dan bergantung kepada-Nya. Janganlah kamu takut dan gerun selain dari-Nya. Tunaikanlah segala kewajipan-Nya dan jauhilah larangan-Nya. Berakhlaklah kamu dengan akhlak yang mulia dan sempurna. Jadilah kamu orang-orang yang elok dengan akhlak, mulia dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu iaitu kemuliaan orang mukmin dan orang-orang yang bertaqwa lagi salihin.

Hadapailah al-Qur’an untuk mengkajinya dan sirah nabawiah untuk kamu bermuzakarah. Kamu hendaklah menjadi orang yang praktikal bukan orang-orang yang berhujah semata. Apabila Allah berikan sesuatu kaum itu hidayat maka diberinya ilham untuk beramal. Sesuatu kaum itu tidak akan sesat selepas mereka mendapat petunjuk kecuali orang-orang yang suka berhujah.

Kasih-mengasihilah di antara kamu dan jaga serapi-rapinya ikatan kamu sebab ia merupakan rahsia kekuatan dan tunjang kejayaan kamu. Tetapkanlah diri kamu sehingga Allah membuka di antara kamu kaum kebenaran. Dialah sebaik-baik pembuka.

Dengar dan patuhlah kepada pemimpin kamu di masa susah dan senang, ketika segar dan lesu. Dialah simbol idea kamu dan bulatan penghubung di antara kamu. Tunggulah kemenangan dan sokongan daripada Allah. Peluang tetap kunjung tiba. Janganlah kamu ragu terhadap-Nya..

Daripada:
Seorang pejuang yang telah tiada
namun perjuangannya masih menyala!

Saturday, October 24, 2009

memaku hati


Kisah seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walau hanya kerana satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, ayahnya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.

“Untuk apakah paku-paku ini ayah?” tanya pemuda tersebut.

“Setiap kali apabila kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu” jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 41 batang paku pada tembok batu tersebut. Selang beberapa minggu, dia sudah dapat mengurangkan kemarahannya, maka jumlah paku yang digunakan turut berkurangan.

Dia kini mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut.

Akhirnya tibalah pada suatu ketika pemuda tersebut tidak marah lagi, walau sekalipun. Dengan rasa gembira dia memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut.Ayahnya mengucapkan tahniah lalu menyuruh dia mencabut semula paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.

Hari berganti hari... akhirnya dia telah berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada ayahnya. Ayahnya memimpin tangannya ke tembok tersebut lalu berkata,

“Alhamdulillah... kamu telah melakukannya dengan baik, anakku... tetapi lihatlah kesan-kesan lubang pada tembok batu ini. Ia tidak lagi kelihatan sama seperti sebelumnya. Begitulah... apabila kamu melafazkan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika sedang marah. ibarat kamu memaku hati orang lain. Ianya pasti akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti tembok ini...”

Nota: Luka di hati lebih pedih dari luka fizikal.

Thursday, October 8, 2009

Sempadan Allah


Katalah Allah Taala telah membuat satu pagar sebagai batas sempadan kawasan yang Allah benarkan dan redha kita berada di dalamnya. Sempadan Allah.

Apabila seseorang itu boleh berada di dalam sempadan Allah bermakna seseorang itu telah mentaati perintah Allah dan menjauhi larangannya. Berada di luar sempadan Allah bermakna seseorang itu telah engkar.

Berada di bulan Ramadhan yang lalu ibarat berada di universiti. Sebulan kita dilatih, diasuh dengan puasa, solat berjemaah, terawikh, witir, qiamullail, tazkirah dan sebagainya dengan harapan kita yang berada di luar sempadan dapat kembali ke dalam sempadan Allah. Ini adalah satu tawaran khas daripada Allah Taala sebagai tuan punya kawasan.

Kebanyakkan daripada kita berjaya melakukan dengan jayanya di dalam bulan Ramadhan seterusnya berjaya masuk ke dalam sempadan Allah, tetapi kembali engkar apabila keluar daripada bulan Ramadhan. Engkar bermakna mengeluarkan semula diri kita daripada sempadan Allah. Di luar sempadan Allah bermakna di dalam sempadan syaitan.

Ini bermakna kita telah gagal di dalam ujian Ramadhan sesi ini. Tunggulah tibanya sesi Ramadhan yang akan datang. Itu pun kalau masih belum dijemput masuk ke universiti Barzakh dengan soalan-soalan ujian yang lebih berat dan semestinya memerlukan tugasan yang lebih hebat untuk menjawab.

Sunday, August 30, 2009

membaja diri


Bukan mudah, tatkala jam di dinding berdetik tiga kali, kita bangun melemparkan selimut tebal dan meninggalkan tilam empuk. Pergi ke bilik air lalu membasuh muka, membersih tangan dan mencuci kaki… berwuduk.

Di gelap malam, menjenguk ke tingkap, mendongak sejenak ke langit. Menghitung bintang yang mengerdip. Menyaksikan alam sekeliling sedang rebah di dalam kesepian, memuji dan memuja Tuhannya dengan bahasanya sendiri.

Di saat orang lain lenyap dalam ayunan mimpi, kita bangkit membaja diri. Mempersembahkan puji dan puja yang tidak berbelah bagi. Merayu diampunkan setiap dosa dan kesalahan. Memohon keredhaan dan kerahmatan untuk menempuh kehidupan.

Meleleh airmata di muka kerana kita yang lemah dan dhaif ini diperkenan mengadap.

Friday, August 21, 2009

Kalahkan diri sendiri

Dah selalu kita menang. Hampir setiap tahun. Tengok orang beli perabot baru, awak beli perabot baru. Tengok orang beli motokar baru, awak beli motokar baru. Tengok orang beli baju baru, awak pun beli baju baru.

Apa kata tahun kita kalahkan diri kita pulak.

Kaedah satu. Tengok orang nak beli perabot baru, awak jual perabot. Tengok orang nak beli motokar baru, awak jual motokar. Tengok orang nak beli baju baru, awak jual baju.

Atau satu lagi kaedah. Tengok orang beli perabot baru, awak beli sabut untuk buat perabot. Tengok orang beli motokar, awak beli basikal. Tengok orang beli baju, awak beli aje la penyepit baju ke penyangkut baju ke...

Itulah antara petikan kata-kata peringatan abah buat isteri abah setelah masuk bulan puasa. (walaupun sebenarnya isteri abah tidaklah begitu sifatnya).

Bagi abah, tidak perlu kita menjadi jaguh dengan menyandarkan nafsu sebagai pemain utama kita. Jadilah diri kita yang sebenar dengan fitrah yang telah Allah kurniakan. Sampai bila kita nak menang. Belajarlah menerima kekalahan.

Bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik untuk kita mengalahkan diri kita sendiri. Kita tidak pernah menang pun sebenarnya. Kalau kita rasa kuat, tentu ada orang lain lebih kuat. Kalau kita kaya, tentu ada orang lain yang jauh lebih kaya.

Kita sebenarnya menang apabila kita dapat kalahkan diri kita sendiri.

Thursday, August 6, 2009

Berniaga dengan Allah


Suatu petang anak-anak abah teringin makan aiskrim. Kebetulan lalu seorang penjual aiskrim berbasikal di depan rumah. Abah terus panggil.

Penjual aiskrim tersebut betul-betul memberhentikan basikalnya di depan abah dan anak-anak. Orangnya nampak warak dan sopan. Tidak pernah abah tengok dia menjaja di sini sebelum ini.

Dia lalu turun dari basikalnya. Dengan nada perlahan abah terdengar dia membaca Bismillahi rahmani rahim… lantas menongkat basikalnya. Kemudian dia menyebut lagi Bismillahi rahmani rahim… lalu mengambil kelongsong aiskrim dari dalam beg plastik Dia menyebut lagi Bismillahi rahmani rahim… sambil menyenduk aiskrim dari dalam peti aiskrimnya. Baca Bismillahi rahmani rahim lagi tatkala menuang pula aiskrim ke dalam kelongsongnya. Begitulah lafaz yang diulang setiap kali hendak melakukan sesuatu. Hampir setiap pergerakannya dimulakan dengan lafaz yang mulia.

Subhanallah… Abah terkaku sehingga tidak terkata walaupun di hati abah banyak berkata-kata. Hebatnya insan ini. Bukan mudah untuk beramal dengan lafaz Bismillah walaupun ia mudah disebut. Ini bukan sebarang orang.

Dia seakan menjawab persoalan abah apabila sebatang lagi aiskrim percuma dihulurkan kepada abah seraya berkata: “Berniagalah dengan Allah. Pasti untung!”

Saturday, July 25, 2009

menangis


Manusia mudah menangis. Fitrah. Ada yang menangis kerana gembira. Ada yang menangis kerana berduka. Ada juga yang menangis kerana kerjaya (lakonan).

Namun tidak semua orang menangis kerana ketakutan seperti mana menangisnya saidina Abu Bakar as-siddiq apabila mula mengimamkan solat kerana terlalu takut berhadapan dengan Allah.

Juga tidak ramai yang menangis kerana penyesalan seperti mana menangisnya Saidina Omar al-khatab kerana mengenangkan dosa-dosanya yang telah lalu sehingga meninggalkan kesan tangisan pada wajahnya.

Sedang kita masih mampu bergelak ketawa tanpa ada rasa bersalah. Langsung tidak tersentuh hati apabila dibacakan ayat-ayat Allah. Apatah lagi untuk menangis. Bertaubat sekadar di mulut, di hati tidak. Sepatutnya kita yang lebih banyak menangis berbanding dengan sahabat-sahabat Rasulullah saw yang telah dijanjikan syurga. Kerasnya hati kita.

Jangan besok kita akan menangis tidak berlagu.

Nota: Pesanan ini dituju khas buat diri abah sendiri dan yang sewaktu dengannya.