Sunday, January 29, 2012

Apa khabar hati?


Cuba kita perhatikan mentol yang terpasang di rumah kita. Ada yang menyala sempurna, ada yang setengah menyala dan ada yang tidak menyala terus. Begitulah diumpamakan hati manusia; ada yang hidup, ada yang sakit dan ada pula yang mati terus.

Tidak perlu kita bersusah payah menjemput doktor atau perlu ke klinik untuk memeriksa dan mengetahui tahap kehidupan hati kita. Seringkan menjengok dan menziarah hati kita. Sesekali molek rasanya kita bertanya, “Apa khabar hatiku?”

Tanda hati masih hidup – Suka kepada amalan-amalan yang baik dan amat tidak suka kepada perkara-perkara mungkar. Ini kerana hati yang hidup tidak tersimpan di dalamnya simpulan syirik dan tidak diliputi rasa istikbar (takbur). Tenaga al-Qur’an akan mengalir ke dalamnya dan terus berupaya mengalirkan tenaga tersebut ke seluruh anggota tubuh.

Tanda hati sedang sakit – Berbuat kebaikan dan kebajikan dengan tujuan untuk mendapat keuntungan dunia semata-mata. Fi qulubihim maradh adalah hati yang sudah dikawal dengan pengaruh kehidupan duniawi sehingga mereka berpura-pura beriman, padahal sebenarnya mereka benci kepada kebenaran al-Qur’an kerana al-Qur’an dianggap penghalang bagi mereka untuk mencapai kesenangan duniawi.

Tanda hati yang mati – Langsung tidak suka berbuat kebaikan tetapi teramat suka kepada perkara maksiat. Ini kerana hati yang mati penuh dengan simpulan syirik yang tidak ada ruang bagi kebenaran tauhid untuk masuk ke dalamnya sehingga melahirkan kesombongan untuk menerima kebenaran tersebut.

Nota: Alhamdulillah sekiranya kita punya hati yang masih hidup. Bila kita punya lampu suluh, biarlah ia mampu menyuluh jalan yang sedang kita lalui. Terangkanlah nyalaan hati kita dengan melazimkan mengikuti kuliah-kuliah ilmu agama dan beramal dengannya. InsyaAllah.

Tuesday, November 29, 2011

Jangan bulan yang disalahkan


Hari ini kita telah memasuki tahun baru 1433 hijrah. Hampir di serata masjid dan surau mengadakan program dan aktiviti penghayatan Hijrah. Bermula pada ambang tahun baru 1433H petang Sabtu dengan program tazkirah, diikuti doa akhir tahun, doa awal tahun, bacaan Yasin dan tahlil, solat hajat, qiamullail, kuliah Subuh, hinggalah ke ceramah perdana pada malam Ahad berikutnya.

Namun... dalam masa yang sama, ada di kalangan jemaah yang mengutarakan soalan-soalan sumbang yang berbunyi, “Apakah hukum sambutan maal hijrah?” “Apakah ada dalil atau nas bagi doa awal tahun dan akhir tahun?” “Bukankah kalau Nabi tidak buat itu merupakan bidaah?”

Subhanallah! Siapakah Sang Pengemuka soalan yang lantang itu? Tinggi benarkah ilmunya sehingga mampu mengeluarkan soalan-soalan yang sebernas itu? Atau apakah mereka dari kalangan pengamal-pengamal sunnah Rasulullah saw yang hebat dan mantop?

Maka terpaksalah Ustaz Tua mengakui, “Ya... kalau ditanya hukum, memang amalan ini adalah bidaah kerana nabi tidak pernah melakukan. Tetapi... salahkah kita menghayati peristiwa penghijrahan Nabi saw dan para muhajirin dari kota Makkah ke kota Madinah?”

Kata Ustaz Tua lagi, “Sekalipun hijrah tidak berlaku pada bulan Muharam, tetapi sebagai mengingatinya sengaja Khalifah Saidina Omar al-Khattab memilih detik peristiwa tersebut sebagai bulan pertama dalam kalendar Islam bilamana taqwim Hijrah mula diperkenalkan pada zaman pemerintahannya. Siapakah Sayidina Omar al-Khattab berbanding kita? Dijamin syurgakah kita sebagaimana dijaminnya syurga Sayidina Omar al-Khattab oleh Nabi saw.”

“Begitu juga dengan amalan berdoa. Salahkah di akhir tahun mahupun di awal tahun kita bermohon kepada Allah SWT supaya diberi perlindungan dan kesejahteraan? Sedangkan setiap hari kita disarankan supaya berdoa, di kala susah mahupun senang.”

“Mengapa amalan sebegini dipertikai sedangkan tidak mempersoalkan amalan sambutan tahun baru masehi yang jelas menyeleweng. Adakah program nyanyi-nyanyi, nari-nari, menunggu detik 12 malam amalan sunnah? Tembakan bunga api pada detik 12 malam apakah ada dalilnya?”

Mengakhiri bicara, bilamana Uustaz Tua bertanya tentang nama-nama bulan di dalam kalendar Islam, Sang Pengemuka soalan terkial-kial untuk mengingati sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Yang mampu disebut hanyalah, Ramadan... Syawal... itupun dalam nada yang tergagap-gagap.


Nota: Orang dahulu kurang bertanya banyak amalannya, sedang orang sekarang banyak bertanya kurang amalannya...

Monday, November 14, 2011

khabar dari kampung


“Abah! Bakar dah takde!”

“Bakar? Bakar yang mana ni?”

“Bakar, menantu Angah Man!”

“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.”

Abah amat mengenali Bakar. Beliau merupakan seorang guru, berusia dalam lingkungan awal 40an. Mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Ipoh, beliau pulang ke kampung semata-mata untuk memenuhi jemputan kenduri seorang saudara merangkap rakan baiknya yang telah agak lama tidak dikunjungi.

Seawal jam 10 pagi beliau dikatakan telah bersedia dengan pakaian yang kemas dan segak seakan tidak sabar untuk hadir ke tempat kenduri. Sementara menunggu isteri dan anak-anaknya bersiap untuk dibawa bersama, beliau dilihat tercungap dan sesak nafas. Kerana tersalah gamak, ayahnya yang tidak tahu memandu kereta terpaksa memanggil ambulan. Namun, takdir penentu segala, beliau telah menghembuskan nafas terakhir tatkala ambulan baru menjengah di halaman rumah.

Itu adalah antara khabar paling mengejutkan yang abah terima dari kampung. Khabar kematian yang melibatkan insan yang abah amat kenali. Kalau faktor umur diambil kira belum sepatutnya lagi dia mendahului abah. Begitu juga kesihatan dan keadaan fizikal tidak menunjukkan ciri-ciri untuk sampai kepada waktunya. Namun ajal tidak merujuk kepada itu semua.

Tanpa diduga dan tanpa disangka... Terlalu mudah...
Al-Fatihah buat Allahyarham Bakar.

Friday, October 28, 2011

murah hati yang mahal


Abah singgah solat di sebuah surau. Usai solat seorang budak menghampiri abah. Sebuah tabung derma dihulurnya. Raut wajah dan gaya pakaian budak itu meyakinkan abah bahawa dia adalah anak yatim yang mewakili sekolahnya memohon sumbangan. Abah menghulurkan derma.

Di suatu sudut beranda surau kelihatan seorang pakcik penarik beca sedang berehat melepaskan penat.

Budak itu lalu menghampiri pakcik itu dan menghulurkan tabung derma kepadanya.

Pakcik penarik beca menyeluk saku seluarnya yang lusuh. Sekeping note berwarna merah sepuluh ringgit dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam tabung derma tersebut.

Budak itu mengucapkan terima kasih seraya berpaling untuk pergi. Tetapi pakcik itu memberi isyarat supaya menunggu. Pakcik menyeluk poket seluarnya yang sebelah lagi.

Dia mengeluarkan beberapa note kertas berwarna biru dan hijau lalu dimasukkan kesemuanya ke dalam poket baju melayu budak itu.

“Ini hok mu buat beli makanan.”



Abah kemudian menghampiri pakcik itu, sambil bertanya, “Berapo pendapatan pakcik sehari?”
Dia berkata, “Tak tentu! Kade-kade ado, kade-kade tak dok.”

Tanya abah lagi, “Bakpo pakcik sedekah semua duit pakcik kepada budak itu?”
Jawabnya, “Budak tu anak yatim. Berjalan kaki jauh, lapar. Pakcik tak pe, ada beca, boleh kayuh lagi.”

Subhanallah... Dia jauh lebih murah hati daripada abah.
Abah mula berasa sebak.

“Kalu gitu mari ikut ambo pergi makan.” sambil abah memegang tangannya.
“Hari ni pakcik posa.” jawabnya perlahan.

Abah tidak mampu bersuara lagi...



Nota: Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya.

Monday, October 24, 2011

Buat sahabat yang terpilih, Fatah


Bersyukurlah.
Merasa tenteramlah.
Atas segala keadaanmu,
Kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu banyak tak terbilang.
Kesakitan perjalanan hidup kian minit kian baru

Bersyukurlah.
Merasa senanglah.
Atas segala keadaanmu,
Kerana engkau telah masuk dalam daftar anak bumi yang terpilih,

Bersyukurlah selalu
Merasa senanglah selalu
Merasa tenteramlah selalu
Merasa berbahagialah selalu...


Nota: Pameran dan Jualan koleksi Fatah sedang diadakan di Laman Wau Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 21 Oktober hingga 30 Oktober 2011 bagi tujuan menampung dana perubatan beliau.

Friday, August 26, 2011

merancang laluan perjalanan


Abah rasa masing-masing di kalangan kita sudah pun merancang perjalanan untuk balik ke kampung. Abah pun begitu. Eloklah kita sama-sama mengenal pasti jalan yang terbaik yang akan kita lalui supaya tidak menempuh kesesakan yang sememangnya akan berlaku kesesakan. Kalau tertempuh bersyukurlah juga, sebab paling tidak kita telah bersedia.

Namun dalam keghairahan itu jangan kita lupa bahawa dalam masa yang sama syaitan juga sedang berkira-kira untuk meraikan hari pembebasan mereka. Mereka juga sedang merancang untuk memenuhi jalan-jalan yang boleh digunakan untuk menyesatkan kembali perjalanan kita yang sudah semakin bersih dan lancar di Tarbiyah Ramadhan.

Abah rasa eloklah juga kita sama-sama mengetahui dan mengenal pasti jalan laluan syaitan dan pintu-pintu utama yang sering digunakan. Laluannya amat banyak sekali. Namun berilah perhatian kepada laluan utama dan pintu-pintu besar yang menjadi kegemaran angkatan tenteranya. Antara pintu besar mereka ialah:

1. Marah dan nafsu syahwat.
2. Hasad dan tamak haloba.
3. Malas dan kenyang perut.
4. Berhias untuk perhatian manusia.
5. Gopoh dan terburu-buru.
6. Wang dan harta benda.
7. Bakhil dan takut faqir.
8. Jahil terhadap agama.
9. Buruk sangka sesama Islam.

Dikatakan pintu yang besar dan laluan yang luas akan menjadi sesak disebabkan banyaknya syaitan yang masuk. Apa yang boleh menutupinya hanyalah dengan mengawal sifat-sifat yang ada pada diri kita sendiri.

Nota: Kepada yang ingin memulakan perjalanan pastikan jangan terlupa membaca doa naik kenderaan. Doa abah buat semua... selamat sampai ke kampung dan Salam Idulfitri.

Saturday, August 13, 2011

ahli puasa vs antu raya


Sedar tak sedar kita sudah hampir di pertengahan Ramadhan. Persoalannya... di manakah letaknya diri kita sekarang? Bagaimanakah graf amalan soleh yang telah kita lakukan? Adakah kita benar-benar di kalangan ahli puasa atau cuma antu raya.

Ahli Puasa: Menjaga percakapan daripada bercakap perkara-perkara yang lagho dan tidak bermanfaat. Jauh sekali untuk mengumpat dan berbohong.

Antu Raya: Bermula dari awal Ramadhan sudah bercakap fasal kuih-muih raya, langsir dan perabot raya, baju raya, duit raya dan sebagainya.

Ahli Puasa: Menjaga solat dan menutup aurat kerana mengetahui betapa ruginya berpuasa tanpa bersolat dan menutup aurat. Hasilnya cuma mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Antu Raya: Berniaga di pasar Ramadhan tetapi mendedah aurat. Bila masuk waktu berbuka sibuk pula tutup gerai dan mengira keuntungan sehingga terlepas waktu Maghrib.

Ahli Puasa: Di sepuluh malam terakhir Ramadhan, meningkatkan amalan soleh dengan berqiamullail dan beriktiqaf semata-mata untuk mendapat ganjaran malam Lailatul qadar seperti yang dijanjikan oleh Allah swt.

Antu Raya: Di sepuluh malam terakhir, meningkatkan kunjungan dan lawatan ke pasar-pasar raya, gedung-gedung membeli belah, untuk mendapat ganjaran harga runtuh, jualan murah, jualan penghabisan stok dan sebagainya.


Nota: Ya Allah... mampukah aku untuk memperoleh anugerah-Mu menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana harapan-Mu, la’alakum tatakun...