Wednesday, November 24, 2010

terapi yang berkesan


Abah bukanlah seorang alim dan jauh sekali dikatakan sebagai ustaz. Abah tergolong dalam kategori orang tua yang masih belajar. Abah mencintai ilmu. Sekolah abah sekarang ialah masjid dan surau-surau. Apa yang abah sampaikan ialah apa yang abah dapat di sekolah abah. Abah teruja untuk berkongsi bersama kekawan melalui tulisan di samping lebih mengingatkan diri apabila abah menulis.

Walaupun begitu abah sebenarnya berasa takut untuk menulis. Abah takut dengan tulisan abah yang pandai menasihati orang lain sedangkan sebenarnya abah sendiri masih memerlukan nasihat. Ia seolah-olah membohongi diri sendiri. Menyampaikan sesuatu ilmu itu biarlah terlebih dahulu kita beramal dengannya. Jangan diumpamakan sebagai seorang jurujual yang bercakap hanya kerana ingin melariskan jualan semata-mata.

Abah suka sekiranya seorang jurujual menjual produk mereka setelah terbukti berkesan ke atas diri mereka sendiri berbanding memberi contoh testimoni orang lain.

Entah kenapa abah suka menulis soal kematian. Sehingga ramai yang meluat dengan tulisan abah, dah takde cerita pasal hidup ke, asyik mati, mati dan mati. Maafkan abah... Mungkin sebab perasaan begini yang selalu bermain di kotak pemikiran seorang yang sudah berada di hujung usia. Bagi abah ia adalah terapi yang berkesan apabila kita terlalu leka dengan urusan dunia. Apabila hati ada keinginan untuk sesuatu, perlulah segera diperingatkan, agar ia menjauhkan diri daripada godaan dunia.

Pada suatu hari Ibn Muti' melihat rumahnya. Dia kagum melihat rumahnya yang cantik, kemudian dia menangis. Katanya:

Demi Allah!
Kalaulah tidak mengingat akan mati
Aku amat suka melihatmu
Kalaulah kami tidak membayangkan kubur yang sempit
Kami mahu kekal hidup di dunia.
Tolonglah kami!

Kemudian dia menangis sekuat-kuatnya.

Sunday, November 7, 2010

bayangkan bila sudah tiada...


Sesuatu yang kita miliki tidak nampak bernilai selagi mana ia masih menjadi milik kita. Sesuatu yang kita miliki tidak nampak berharga selagi mana ia masih berada di dalam genggaman kita.

Ada orang berasa senang dan selesa dengan bentuk fizikal tubuh badannya, kejelitaan, kekacakan, kesihatan dan kemerduan suara yang dimiliki. Ada pula berasa megah dan kagum dengan kekayaan harta, rumah besar, kereta mewah, gedung di darat, kapal di laut, eset luar dan dalam negaranya. Tidak kurang juga yang berasa hebat dan gagah dengan pangkat, bintang kehormat, keilmuan, kebijaksanaan dan empayar pengaruh kekuasaan ciptaannya.

Kita selalunya terlupa bahawa pengurniaan kejadian diri yang menyebabkannya kita berasa selesa, senang, megah, kagum, hebat dan gagah itu adalah nikmat daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Semuanya itu dapat hilang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Sekarang kita masih berupaya senyum kerana semua itu masih ada pada kita. Kita akan menangis apabila nikmat-nikmat itu sudah tiada lagi. Kita pasti akan merasakan suatu kehilangan besar dan terlalu memerlukannya. Kita pasti akan menyesal tidak sudah kerana tidak memanfaatnya semasa kita masih memilikinya dahulu.

Bayangkan apabila sepasang mata yang cantik dan galak tiba-tiba tidak dapat melihat lagi. Sedangkan nikmat melihat masih belum kita terjemah kepada fungsinya yang sebenar. Bayangkan lagi apabila susuk tubuh yang sihat dan segar bugar tiba-tiba lumpuh dan tidak dapat bergerak. Sedangkan nikmat sihat masih belum kita guna untuk memberi khidmat kepada yang memerlukan. Bayangkan pula otak yang cerdik dan pintar tiba-tiba tidak dapat berfikir secara waras dan rasional. Sedangkan nikmat keilmuan dan kepandaian masih belum kita guna untuk menyebarkan kepada mereka yang jahil.

Dan... bayangkan juga apabila sampai masanya nikmat nyawa pula ditarik. Pada masa itu semuanya sudah tidak berguna...

Saturday, October 16, 2010

apabila syaitan mentadbir hati

Seekor anjing lapar datang menghampiri. Jika tiada daging di tangan anda mungkin mudah anda menghalaunya. Memadai hanya dengan jeritan. Sebaliknya jika ada daging di tangan, anjing yang lapar itu pasti akan menerkam daging yang ada di tangan anda itu. Tidak cukup lagi untuk menghalaunya dengan sekadar jeritan.

Begitulah syaitan. Sekiranya ada hati yang padanya terdapat makanannya, maka syaitan akan berusaha untuk mendapatkan makanannya di situ. Tidak cukup menghalangnya daripada masuk ke hati dengan zikir sahaja, tetapi perlu mengosongkan hati itu daripada pengaruh hawa nafsu dan sifat-sifat mazmumah terlebih dahulu.

Jika tidak dikosongkan hawa atau syahwat akan menguasai hati, ia akan menolak zikir ke tubir hati, akibatnya zikir itu tidak dapat meresap dan menetap untuk melindungi hati. Dalam keadaan begini syaitan akan menyelinap masuk ke dalam hati, menguasai dan mentadbirkannya.

Apabila syaitan sudah menguasai hati, dia akan bertapak dan membentuk kerajaan. Dengan kuasa yang diperolehi, dia berupaya mencorak masa depan hidup anda. Anda terpaksa akur dengan segala perintahnya. Daripada seorang pengikut malaikat beralih menjadi pengikut syaitan. Daripada mirip seorang ahli syurga telah bertukar kepada mirip seorang ahli neraka.

Peluang untuk anda mentadbir semula hati anda bukanlah mudah. Memerlukan mujahadah yang amat tinggi. Yang pasti... tidak boleh menumbangkan syaitan melalui pilihanraya kecil kerana sesungguhnya syaitan itu makhluk yang tidak mati-mati...

Friday, October 8, 2010

menangguhkan ajal


Apabila terlintas padanya persoalan kematian, keperluan memikirkan tentang kematian dan membuat persediaan menghadapinya, dia akan menangguhkan lalu berjanji dengan dirinya dengan berkata:

“Hari-hari di tanganmu. Tunggulah... bila telah dewasa, kita boleh bertaubat.”

Apabila telah dewasa, dia akan berkata, “Belum kahwin lagi ni. Tunggulah... bila kita sudah tua."

Apabila sudah tua, dia akan berkata, “Tunggulah... bila kita dapat membuat rumah dan mengumpul harta. Tunggulah... selepas kembali dari melancung atau bagilah aku peluang pergi menunaikan ibadah haji terlebih dulu. Tunggulah... setelah anak habis belajar, bekerja dan menyediakan rumah untuknya. Tunggulah... sehingga aku buktikan kehebatanku kepada sainganku dan kepada dunia. Tunggulah...” Semakin banyak alasannya.

Dia tetap akan menjangka kadar hidupnya lebih lama walaupun angka usianya hampir mencecah tiga digit. Dia menangguhkan ajalnya disebabkan perjuangannya yang belum selesai.

Dia akan terus menangguhkan dan melambatkannya. Dia tidak akan dapat menyelesaikan kerjanya kerana selepas satu kerja, ada kerja yang menantinya yang perlu diselesaikan. Dia akan terus menuruti kehendak hawa nafsu yang tidak dapat dipenuhi melainkan dengan harta, pangkat, kuasa serta panjang angan-angan. Begitulah yang terjadi dengan berterusan, hari demi hari, kerja demi kerja, sehinggalah datang maut yang tidak diketahui dan tidak diduganya.

"Tunggulahhhh...." dia masih merayu untuk menangguhkan ajalnya.

Sunday, September 26, 2010

terus memenjarakan syaitan


Maafkan abah wahai tetamu-tetamu stesen. Abah tidak dapat mengawal stesen dengan baik semenjak Ramadhan yang lalu. Abah langsung tidak menjenguk stesen setelah posting entry Pengisian Ramadhan Pengisian Perut. Bukan abah salahkan Ramadhan tetapi abah terlalu sayangkannya.

Abah rasa patut abah tumpukan sepenuh perhatian kepada bulan yang penuh keberkatan itu. Abah rasa itulah sahaja kesempatan masa yang boleh diambil untuk menjalankan ibadah tanpa gangguan iblis dan syaitan. Mungkin di bulan lain terpaksa bersingsing lengan untuk melawan godaan mereka. Contoh mudah, abah sendiri dengan rasa penuh susah payah baru sahaja dapat menyelesaikan puasa enam sedangkan Syawal sudah pun lebih seperdua bulan berlalu.

Cukup sayang sekiranya amalan-amalan baik yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan tidak dapat diteruskan pada bulan-bulan selepasnya apatah lagi kalau kita membatalkannya pula dengan amalan-amalan lagho yang tidak sepatutnya kita lakukan.

Kita mampu berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan, tiba-tiba puasa enam hari pada bulan Syawal kita tidak berupaya. Kita sudah mampu berjaga malam pada bulan Ramadhan untuk bertahajud, tiba-tiba waktu Subuh pun tidak mampu terjaga pada bulan Syawal. Kita mampu bertadarus dan membaca al-Qur’an pada bulan Ramadhan, tiba-tiba kita sekadar mampu membaca akhbar sahaja pada bulan Syawal. Kita mampu bersedekah dan berzakat pada bulan Ramadhan, tiba-tiba kita bertukar menjadi bakhil pada bulan Syawal.

Adalah rugi yang amat besar setelah mendapat rahmat, pengampunan dan perlepasan daripada api neraka, kita kembali mencari kemurkaan Allah dengan melakukan dosa lagi yang membawa kepada api neraka Allah semula. Amatlah malang sekiranya kita kembali sesat setelah mendapat petunjuk Allah.

Begitulah liciknya peranan iblis dan syaitan apabila kembali menguasai hawa nafsu kita.

Marilah kita berusaha untuk terus memenjarakan syaitan tanpa pedulikan kehendak-kehendaknya dengan semangat, kekuatan dan keupayaan yang telah kita perolehi pada bulan Ramadhan. Bagi abah sekiranya dapat melepasi tahap ini barulah dinamakan kemenangan yang sebenar...

Saturday, August 21, 2010

pengisian ramadhan pengisian perut


Bagaimanakah berpuasa? Anak-anak kecil tentunya menjawab: tidak makan dan tidak minum. Amatlah malang kalau anak-anak dewasa juga turut menjawab seperti mana anak-anak kecil itu.

Anak-anak dewasa sepatutnya menjawab: Mencegah mata, lidah, telinga dan kemaluan daripada melakukan dosa; mencegah tangan dan kaki daripada melakukan perkara yang makruh; mencegah perut daripada segala harta yang syubhat sewaktu berbuka.

Makanan yang halal dapat mendatangkan mudharat disebabkan banyaknya. Seumpama seorang yang banyak memakan ubat tetapi meminum racun.

Abah cukup sedih bila mana berlaku di sesetengah tempat, soal moreh terlalu dititik beratkan. Borang diedar untuk mendapatkan dana penyediaan moreh. Niatnya molek kalau untuk menjinakkan anak-anak kecil mahupun anak-anak dewasa ke surau. Tetapi janganlah terlalu diutamakan sehinggakan kalau takde moreh seakan tidak sah solat terawih.

Berasa lapar dan dahaga merupakan salah satu objektif utama puasa. Tidak tercapai objektif berpuasa selain menyediakan makanan sama seperti makanan malam pada bulan-bulan yang lain. Hayatilah sepenuhnya sabda Nabi saw yang bermaksud: “Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya selain lapar dan dahaga.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Dikatakan orang yang sedemikian berbuka puasa dengan makanan yang haram. Dikatakan lagi dia orang yang menahan diri daripada makan makanan yang halal dan berbuka dengan daging manusia kerana mengumpat. Dikatakan juga, dia adalah orang yang tidak menjaga anggotanya daripada dosa.

Tidak ada ertinya berpuasa dengan menahan diri dari memakan makanan yang halal tetapi berbuka dengan makanan yang haram, samalah seperti orang yang membangunkan istana tetapi meruntuhkan kota.

Thursday, August 5, 2010

maafkan aku wahai isteriku


Telefon bimbit abah bergetar. Memang abah suka menggunakan mode vibrate pada telefon bimbit abah. Tidak bising dan tidak mengganggu sesiapa. Petang itu abah baru sahaja selesai acara pada hari kedua bengkel penambahbaikan syarikat yang diadakan di Palm Spring Resort di Port Dickson.

“Selamat hari ulangtahun perkahwinan bang...”

Satu suara yang sudah tidak asing lagi buat abah sejak 22 tahun yang lalu. Suara daripada seorang yang bernama isteri.

“Astaghfirullah al-azim... maafkan aku wahai isteriku.”

Abah mulai rasa bersalah apabila mendengar ucapan itu. Mengapakah abah masih membiarkan dia terlebih dahulu mengucapkannya? Sudah hampir suku abad kami hidup bersama, tidak pernah sekali abah berpeluang untuk mendahuluinya mengucapkan selamat hari ulang tahun perkahwinan.

Abah akui yang diri ini memang seorang yang amat lemah di dalam perkara-perkara yang melibatkan nombor dan bilangan. Entah kenapa abah memang sukar untuk mengingati sesuatu tarikh, nombor mykad, nombor telefon dan seumpamanya. Lebih cepat bagi abah mengingati doa-doa dan ayat-ayat al-Qur’an yang mana abah mulai berjinak untuk menghafalnya.

“Selamat hari ulangtahun perkahwinan isteriku...”

“Abang bersyukur kerana dipertemukan Allah denganmu. Di samping mendapat kehormatan menjadi diriku, abang juga mendapat kehormatan menjadi suamimu. Selama 22 tahun dalam perkahwinan kita, ia masih merupakan sumber cinta kasih, keberanian dan kelembutan. Dalam selarut masa selama itu engkau gelumangi abang dengan kasih dan sayangmu. Engkau mencintai suamimu melebihi dari cintamu kepada dirimu sendiri. Walau banyak yang harus diderita selama itu, namun ia mengenalkan kita masa-masa penuh bahagia.”

“Sungai airmata dan tetesan darah penderitaan sepanjang jalan yang kita lalui merupakan siraman bunga hidup kita.”