Friday, July 30, 2010

bersolat di sejadah panjang


Waktu maghrib sudah pun masuk. Abah menghamparkan sejadah di atas jalanraya yang bergarisan cat berwarna kuning yang sudah pudar. Abah amat yakin itu adalah tempat meletak kereta. Namun tidak kelihatan pula sebarang kenderaan di situ.

Tikar sejadah abah agak panjang daripada yang biasa dilihat. Abah pun tidak pasti dari mana abah memperolehinya. Isteri dan anak-anak abah turut menghampar tikar sejadah mereka di sebelah belakang selaku makmum.

Suasana agak lengang. Cuma kelihatan seorang dua peniaga kereta sorong sedang meneruskan jualan tanpa pelanggan. Abah mengenakan jubah putih yang selalu abah gunakan sudah bersedia untuk mengimamkan solat.

Tanpa diduga kami didatangi oleh sebuah keluarga yang memang abah amat kenali. Mereka adalah jiran lama kami. Rasanya sudah lebih sepuluh tahun kami tidak berhubung sejak kami berpindah ke rumah baru. Tidak sangka pulak kami boleh bertemu di sini, sebuah tempat yang asing dan aneh.

Kedatangan mereka yang sudah lengkap berbaju Melayu dan bertelekung menunjukkan mereka juga bersedia untuk menunaikan solat. Tanpa banyak bicara mereka turut menghamparkan tikar sejadah masing-masing. Abah memulakan takbirratul ihram diikuti dengan membaca doa iftitah dan surah al-Fatihah.

Belum pun sempat menghabiskan bacaan, kami telah dikejutkan dengan satu insiden serbuan ala-ala zionis yang dilakukan oleh sekumpulan manusia yang mengaku pegawai dari jabatan agama. Mereka segera memberhentikan solat kami seraya menunjukkan kad kuasa mereka. Suasana menjadi tegang. Kami telah dikatakan bersalah kerana mengerjakan solat di tempat awam tanpa permit.

Aik! Pelik sungguh. Bukankah solat boleh didirikan di mana sahaja ceruk di bumi Allah ini? Abah cuba menerangkan tetapi mereka keras membantah. Ini telah membuatkan abah terjaga. Astaghfirullah al-azim. Bermimpi rupanya.

Berbagai persoalan bermain di kotak pemikiran abah. Abah menceritakan kisah mimpi abah kepada isteri abah. Kami mengambil keputusan untuk menziarahi keluarga jiran lama kami pada hujung minggu ini, insyaAllah. Mungkin ada hati-hati yang retak perlu dirapatkan dan ada tali-tali yang putus perlu disambung semula.

Sunday, July 25, 2010

ketawa kecil ketawa besar


Hari itu adalah hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 1977. Pada masa itu kami berada di dalam tingkatan satu di sebuah sekolah pekan yang agak dhaif dan ketinggalan daripada segala pembangunan.

Sejurus loceng berbunyi, seorang lelaki masuk ke kelas lalu memperkenalkan dirinya sebagai guru kelas kami. Pada hari pertama biasalah, cikgu masih belum memulakan pembelajarannya. Masa hanya digunakan untuk sesi kenal-mengenal antara satu dengan yang lain.

"Sekiranya awak ingin berjaya sehingga dapat ke luar negara awak mesti belajar pandai-pandai...." cikgu memulakan taklimat dengan kata-kata perangsang untuk murid-muridnya.

Belum sempat cikgu meneruskan ucapannya seorang murid perempuan mengangkat tangan lalu mengajukan soalan, "Cikgu! Kalau tak pandai macamana nak keluar negara?"

Kebetulan kami tidaklah di kategori sebagai murid-murid pandai. Sekadar pencapaian yang sederhana sahaja. Rasanya sudah habis ikhtiar kami untuk mendapat tahap pandai. Berada di kelas ini merupakan pencapaian paling pandai pernah kami capai.

Tentunya cikgu sudah faham dengan situasi ini. Dengan nada yang agak sinis cikgu menjawab, "Berdoa! Awak berdoalah dengan bersungguh-sungguh supaya awak mendapat jodoh dengan orang yang pandai."

Cikgu ketawa kecil. Murid-murid yang lain apa lagi, ketawa besarlah.

Sepuluh tahun kemudian... kami dikhabarkan sahabat perempuan tadi memang mendapat jodoh dengan orang pandai. Seorang profesor. Tugasnya bukan setakat di dalam negara malah di serata dunia. Sebut sahaja nama negara di dunia, hampir kesemuanya sudah dijejaki. Maka terkotalah impian sahabat perempuan tadi untuk keluar negara walau sekadar mengiringi suaminya bertugas. Mungkin kerana doanya yang bersungguh-sungguh!

Ketawa siapakah yang lebih besar sekarang? Yang nyata kami terkedu dan tidak mampu untuk ketawa lagi.

Saturday, July 10, 2010

apakah koleksi anda?


Kalau di zaman kanak-kanak dulu, ada rakan abah yang suka mengumpul setem, mengumpul getah pemadam, menangkap rama-rama dan sebagainya.

Hari ini abah tengok rakan abah ada hobi lain pulak. Hobi yang lebih matang dan bernilai tinggi. Mereka gemar membuat koleksi barang-barang antik, basikal tua, kereta lama dan sebagainya. Yang wanitanya pulak biasalah… koleksi barang-barang kemas, beg tangan, pinggan mangkuk dan sebagainya.

Tidak salah… sekurang-kurangnya tidak terjebak kita dengan perkara yang tidak berfaedah dan memudaratkan. Dengan syarat tidak terleka kita dengannya.

Dalam pada itu, tidak terlintaskah kita untuk cuba-cuba membuat koleksi amal ibadat? Koleksi yang lebih bermanfaat dan amat-amat diperlukan di negeri akhirat kelak.

Barangsiapa mengumpulkan enam perkara, nescaya ia tidak meninggalkan mencari syurga dan menjauhi dari neraka. Pertama, ia mengenal Allah dan mentaatinya. Kedua, ia mengenal syaitan dan mendurhakainya. Ketiga, ia mengenal kebenaran lalu mengikutinya. Keempat, ia mengenal batil lalu menjauhkan dirinya. Kelima, ia mengenal dunia lalu menolaknya. Keenam, ia mengenal akhirat lalu mencarinya.

Teringat abah di dalam sebuah hadith bila mana Rasulullah saw ada menyatakan, Abdul Rahman bin Auf berjalan di atas titian siratal mustaqim dalam keadaan merangkak lantaran koleksi hartanya yang banyak. Apabila Abdul Rahman mendengar berita itu beliau lalu bersedekah seratus ekor unta yang sarat dengan muatan kerana bimbang akan tergelincir ke neraka.

Itu sahabat Rasulullah saw, koleksi harta tidak melekakan dia untuk koleksi amal ibadatnya. Bagaimana pula kita? Terlalu leka dengan koleksi dunia yang tidak seberapa sehingga terabai koleksi akhirat.

Datang ke masjid itu israq, solat itu mikraj bagi orang beriman. Barang siapa tidak ada masa untuk Allah, nescaya Allah juga tidak ada masa untuk kita. Selamat menghayati peritiwa Israq dan Mikraj Nabi saw.

Saturday, June 26, 2010

masih belum puas?


Si miskin berangan hendak menjadi kaya, si kaya sibuk berkira menambah kekayaannya. Si hina berjuang mencari kemuliaan, si mulia pula rakus mengejar kekuasaan.

Sudah punya motosikal, hendak pula kereta. Sudah mendapat kereta kecil, teringin pula kereta yang besar. Sudah ada kereta besar, hendak pula kereta mewah dan mahal. (Sudahnya mendapat kereta jenazah).

Begitulah juga mereka yang sudah memiliki rumah pangsa, bercita untuk membeli rumah teres. Sudah mendapat rumah teres, teringin pula rumah berkembar. Bila dah mendapat rumah berkembar, masih mengidamkan rumah banglo. (Penghujungnya mendiami lubang sempit di alam barzah).

Sepatutnya kita bersyukur dengan anugerah nikmat Allah yang telah kita ada. Syukurlah kita ada kereta, ada orang tu ada motor aje. Syukur kita ada motor, ada orang tu ada basikal aje. Syukur kita ada basikal, ada orang tu jalan kaki saja. Syukur kita ada kaki, ada orang tu takde kaki. (Syukur kita takde kaki, ada orang tu takde otak).

Kita seharusnya tahu rahsia kehidupan di dunia. Mungkin hari ini disenyumkannya, besok ditangiskannya pula.

Kalau hendakkan pangkat kekuasaan, jangan diingat tatkala Napoleon menjadi kaisar, tetapi hendaklah diingat bila mana dia mati di tanah pembuangan. Kalau hendakkan harta kekayaan, jangan dilihat tatkala Qarun dengan kunci khazanah alamnya, tetapi lihatlah bila mana dia mati ditelan bumi.

Setiap yang berlaku di dunia ada rahsianya dan rahsia dunia ganjil sekali. Setiap yang mulia mengandungi racun. Setiap yang sengsara mengandungi penawarnya pula.

Saturday, June 19, 2010

Jatuh cinta kepada Cik Dunia


Cik Dunia memanglah lawa, cantik, jelita dan apa saja perkataan yang seumpama dengannya layak diberi buatnya. Cik Dunia bukan sahaja cantik pada rupanya, malah sifatnya yang menggoda boleh menggamit sesiapa sahaja untuk terpesona dengannya.

Cik Dunia sanggup menunaikan apa sahaja kehendak yang kita ingin, idam dan hajatkan. Inginkan pangkat dan darjat kebesaran, pikatlah Cik Dunia. Hajatkan kekayaan dan kemewahan, tawanlah Cik Dunia. Idamkan kemuliaan dan kekuasaan dampingilah Cik Dunia. Sebutlah apa sahaja permintaan Cik Dunia sedia mengadakannya. Calang orang yang tidak terpaut hati dan tergilakannya.

Oh! Cik Dunia aku cinta padamu... setiap saat terbayang wajahmu... tidur malam termimpi-mimpi, tanpamu siapalah aku... Begitulah biasanya, kalau hati sudah cinta. Ayat-ayat cinta dan ungkapan yang mengatakan, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena terlalu sering diperkatakan. Setiap bicara adalah tentang Cik Dunia...

Kalau begitulah tanda-tanda yang ada pada anda, bermakna anda telah terkena penyakit hati. Apabila hati telah berpenyakit, hati itu tidak akan melihat akhirat. Terlalu cintakan Cik Dunia menyebabkan orang berlumba-lumba untuk mendapatkannya tanpa mempedulikan halal atau haram. Dalam perlumbaan dan perebutan ini tidak ada padanya urusan akhirat dan agama.

Sudah hilang hati yang hidup dalam kehidupannya. Nasihat dan peringatan sudah tidak berkesan. Hawa nafsu bermaharajalela. Syahwat membara dan membangkitkan berbagai keinginan daripada gejolak hawa nafsu untuk mendapat kemegahan dan kebanggaan. Sanggup melakukan penindasan dan kekejaman untuk mendapat kekuasaan serta harta semata.

Apabila sampai di tahap ini eloklah diubati dengan melakukan pembersihan hati.

Sedarlah wahai pencinta dunia! Tiada gunanya kita menyintai Cik Dunia. Dunia hanya sementara. Segala apa yang kita dapat dari Cik Dunia adalah pinjaman. Kita diamanahkan untuk menjaganya sahaja. Bertemu masa dan ketika Tuannya akan datang untuk mengambilnya semula. Secara rela atau terpaksa kita mesti menyerahkannya...

Wednesday, June 9, 2010

memo buat abah...


Fudail bertanya kepada seorang lelaki, “Berapakah umur kamu?”

Lelaki itu menjawab, enam puluh tahun,

Fudail berkata kepadanya, “Dah enam puluh tahun kamu berjalan kepada Allah, barangkali kamu sudah hampir sampai.”

Sekiranya kita sudah hidup lebih separuh abad, maka berkira-kiralah untuk menginsafi diri kerana kita sudah hampir untuk menemui Allah dan melangkah meninggalkan dunia yang sementara.

Kisah di atas adalah petikan entry dari blog adik ipar abah blog ana yang seakan terkena batang hidung abah. Terima kasih adik iparku...

Maka berkatalah abah kepada diri:

Wahai diri! Aku tidak mempunyai sesuatu benda yang berharga pun untuk diriku selain dari umurku saja. Setiap kali kurasa umurku lanjut, setiap kali itulah kurasa modalku berkurangan. Semakin hari semakin kecewalah aku berniaga untuk mencari keuntungan.

Wahai diri! Hari ini adalah suatu hari yang telah ditakdirkan oleh Allah bagiku untuk hidup lagi, dipanjangkan umur dan dibenarkan untuk mengecapi nikmat-Nya. Jangan engkau mensia-siakan hari ini, kerana setiap nafas dari nafas-nafas yang disedut adalah mutiara yang tidak ternilai.

Wahai diri! Janganlah engkau bermalas-malas dan condong kepada melakukan sesuatu yang tidak berguna atau berehat-rehat sehingga terluput dari ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang beramal soleh.

Wahai diri! Aku sebenarnya sudah tidak punya masa lagi...

Friday, May 28, 2010

membina pondok kawalan


Banyaknya kejadian-kejadian kecurian dan pecah rumah menyebabkan tertubuhnya AJK Bertindak di taman tempat abah tinggal. Alhamdulillah, pondok kawalan nampaknya telah didirikan. Tahniah kepada mereka yang menjayakannya. InsyaAllah... sedikit-sebanyak kes-kes seperti di atas dapatlah dibendung.

Abah pun selalu mengalami kehilangan wang.

Hari minggu selalunya abah ke pasar untuk membeli ikan dan sayur untuk kadar seminggu dengan bajet sekitar RM100. Membawa sebuah bakul kecil selalunya sedang eloklah dengan hasil pembelian abah. Bila abah balik dari pasar abah dapati dompet abah sudah kehilangan RM200. Ke manakah hilangnya lagi RM100. Puas abah membelek. Ahh! Rupanya abah sudah terbeli barang-barang di luar senarai pembelian. Patutlah barang sudah melimpah bakul.

Begitulah selalunya berlaku apabila abah pergi ke pasar atau pasaraya. Tidak boleh pergi untuk membeli barang yang betul-betul dikehendaki sahaja tanpa terpikat dengan barang-barang selain itu. Mana boleh salahkan penjaja kerana menjual barang-barang bukan keperluan.

Ibu abah pernah berpesan, Orang yang selamat ialah orang yang berjaya mengawal diri. Orang yang tidak dapat mengawal dirinya, tentu tidak dapat mengawal orang lain. Berjaya mendidik diri itu lebih berharga dari memiliki harta benda. Abah insaf...

Itulah kelemahan abah. Abah pun masih keliru adakah kes-kes kehilangan seperti ini boleh diadukan kepada pihak polis atau pun tidak.

Buat permulaan... abah rasa abah perlu membina pondok kawalan di dalam diri abah.