Saturday, July 25, 2009

menangis


Manusia mudah menangis. Fitrah. Ada yang menangis kerana gembira. Ada yang menangis kerana berduka. Ada juga yang menangis kerana kerjaya (lakonan).

Namun tidak semua orang menangis kerana ketakutan seperti mana menangisnya saidina Abu Bakar as-siddiq apabila mula mengimamkan solat kerana terlalu takut berhadapan dengan Allah.

Juga tidak ramai yang menangis kerana penyesalan seperti mana menangisnya Saidina Omar al-khatab kerana mengenangkan dosa-dosanya yang telah lalu sehingga meninggalkan kesan tangisan pada wajahnya.

Sedang kita masih mampu bergelak ketawa tanpa ada rasa bersalah. Langsung tidak tersentuh hati apabila dibacakan ayat-ayat Allah. Apatah lagi untuk menangis. Bertaubat sekadar di mulut, di hati tidak. Sepatutnya kita yang lebih banyak menangis berbanding dengan sahabat-sahabat Rasulullah saw yang telah dijanjikan syurga. Kerasnya hati kita.

Jangan besok kita akan menangis tidak berlagu.

Nota: Pesanan ini dituju khas buat diri abah sendiri dan yang sewaktu dengannya.

Saturday, July 11, 2009

hijaunya kampung


Aaaaaaahhh… lega rasanya menarik nafas kehijauan kampung tanpa habuk dan asap.

Pemandangan hijau yang kian pudar di kota masih segar kelihatan di sekeliling rumah sahaja. Belum lagi ke kebun atau pun dusun.

Suasana redup hijau, tenang dan damai membungkus terus pemikiran yang hiruk pikuk semasa di bandar. Berehat di bawah pokok seumpama sudah berada di tempat peranginan.

Sajian hijau sayuran kampung, berlauk ikan sepat goreng amat menyelerakan abah. Bukan saja abah, malah isteri dan anak-anak abah yang lahir dan dibesarkan di kota pun berselera juga.

Itulah… sesekali dapat balik kampung abah rasa macam dah tak kuasa nak kembali ke bandar.

Thursday, June 25, 2009

Tiga Bulan Bonus

Sedar tak sedar kita sudah pun berada di bulan Rejab. Ini bermakna tidak lama lagi masuk bulan Syaaban dan seterusnya bulan Ramadhan. Inilah tiga bulan yang mana Allah Taala telah menjanjikan bonus pahala ibadat yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain.

Pada bulan-bulan ini dikatakan terbukanya pintu-pintu langit dan pintu-pintu syurga. Mudah kata, bulan di mana Allah Taala menerima doa-doa hamba-Nya. Bulan untuk menempah Syurga.

Pada bulan-bulan ini juga digalakkan hamba-Nya banyak istighfar dan beramal ibadat. Peluang mudah untuk mendapat keredhaan Allah. Bonuslah bagi sesiapa yang beramal dan rugilah sesiapa yang melepaskannya.

Alhamdulillah kerana Allah telah memanjangkan usia kita hingga ke saat ini dan berdoalah semoga Allah melanjutkan sehingga ke akhir Ramadhan.

Wednesday, June 17, 2009

memujuk hati


Setiap usaha hendaklah disertakan dengan kehendak Allah. Setiap orang mukmin jangan ada keluh-kesah, jangan ada putus asa dan kecewa. Dunia adalah tempat ujian. Bersakit dan bersusah-payah adalah fitrah.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Di luar pahit, di dalam ada manisnya. Lapisan yang pahit mesti dihabiskan, barulah mendapat lapisan yang manis pula. Bersabar dengan dunia, baru mendapat ganjaran. Ibarat kita bekerja... bekerja dulu baru mendapat gajinya.

Biar orang membenci kita, jangan Allah benci.

Friday, May 15, 2009

Tujuh Ayat Cinta

Sabda Rasulullah SAW:

Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan..

1. bismillahhirrahmannirrahim: pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. alhamdulliah: pada tiap-tiap habis melakukan sesuatu.

3. astagfirrullah: jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.

4. insyaallah: jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.

5. lahaulawalaquataillahbillah: bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.

6. innalillah: jika menghadapi musibah atau melihat kematian.

7. laailaahaillallah: bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyaknya.

Amalkanlah selalu moga-moga kita tergolong dikalangan orang yang terpilih oleh Allah.

Monday, May 4, 2009

Makan

Baru aje abah taip perkataan makan sebagai tajuk, mulut abah dah berair-air. Tergambar di fikiran abah makanan kegemaran abah.

Nasi kerabu, laksam dan ayam percik. Nasi kukus, gulai kawah dan ayam goreng berempah. Pulut lepa, cik mek molek dan cendol pulut tapai. Sambal daging, keropok gotel dan gelembong buaya. Kuih akok, puteri mandi dan buah gomok. Lompat tikam, serabai dan tahi itik. Itu adalah sebahagian menu istimewa orang-orang Kelantan. Bukan tak ada jual kat KL atau lain-lain tempat, tapi tidak menepati piawaian citarasa asli orang Kelantan.

Begitu bernafsu kita bila bercerita pasal makan. Sayang kita kepada perut tak dibiarkan berbunyi kelaparan. Isi dan terus mengisi. Seterunya sendawa. Menguap. Pejam celik, pejam celik, berdengkur.

Aduh! Tidak sedar kita telah berlaku zalim. Terlupa kita kepada rohani kita yang sedang kelaparan. Tidak berselera kita untuk berbincang dan bercerita tentang makanan rohani. Apakah menu makanan lazat untuk rohani yang kekal berbanding jasmani yang akan hancur menjadi tanah.

Tahajjud, zikir dan selawat. Solat Dhuha, baca Al-Qur’an, dan tasbih. Witir, wirid dan takbir. Solat Hajat, taubat dan istighfar. Sudahkah kita menikmati hidangan ini setiap hari?

Makanlah makanan yang seimbang. Seimbang di antara jasmani dan rohani. Berdoalah kita kepada Allah. Jangan kita menjadi bapa tiri kepada diri kita sendiri.

Wallahuaklam.

Selsema Babi

Topeng! Topeng! Laku sungguh jual topeng di musim-musim gini.

Sebelum ini kita cuma dengar selsema burung. Hari ni selsema babi pulak. Situasi nampak semakin kronik. Selama ni Abah ingat manusia aje boleh kena selsema. Nasib baik babi baru selsema, kalau dia batuk ke ceret-beret ke lagi parah.

Yang tak sedapnya, boleh berjangkit pulak kepada manusia. Tapi bila difikirkan, memang patut pun. Manusia dengan babi apa bezanya sekarang. Akhlak dan penampilan dah nampak macam sama. Virus jadi confuse.

Setiap apa yang Allah Taala jadikan itu ada sebabnya. Mungkin bala. Sudah terlalu banyak kemungkaran dan kemusnahan yang telah manusia lakukan di atas muka bumi ini. Maksiat berleluasa. Kezaliman di mana-mana.

Apa-apa pun hakikatnya, ini adalah peringatan daripada Allah. Renung dan lihatlah diri. Kembalilah kepada Allah.

Wallahuaklam.