Saturday, July 10, 2010

apakah koleksi anda?


Kalau di zaman kanak-kanak dulu, ada rakan abah yang suka mengumpul setem, mengumpul getah pemadam, menangkap rama-rama dan sebagainya.

Hari ini abah tengok rakan abah ada hobi lain pulak. Hobi yang lebih matang dan bernilai tinggi. Mereka gemar membuat koleksi barang-barang antik, basikal tua, kereta lama dan sebagainya. Yang wanitanya pulak biasalah… koleksi barang-barang kemas, beg tangan, pinggan mangkuk dan sebagainya.

Tidak salah… sekurang-kurangnya tidak terjebak kita dengan perkara yang tidak berfaedah dan memudaratkan. Dengan syarat tidak terleka kita dengannya.

Dalam pada itu, tidak terlintaskah kita untuk cuba-cuba membuat koleksi amal ibadat? Koleksi yang lebih bermanfaat dan amat-amat diperlukan di negeri akhirat kelak.

Barangsiapa mengumpulkan enam perkara, nescaya ia tidak meninggalkan mencari syurga dan menjauhi dari neraka. Pertama, ia mengenal Allah dan mentaatinya. Kedua, ia mengenal syaitan dan mendurhakainya. Ketiga, ia mengenal kebenaran lalu mengikutinya. Keempat, ia mengenal batil lalu menjauhkan dirinya. Kelima, ia mengenal dunia lalu menolaknya. Keenam, ia mengenal akhirat lalu mencarinya.

Teringat abah di dalam sebuah hadith bila mana Rasulullah saw ada menyatakan, Abdul Rahman bin Auf berjalan di atas titian siratal mustaqim dalam keadaan merangkak lantaran koleksi hartanya yang banyak. Apabila Abdul Rahman mendengar berita itu beliau lalu bersedekah seratus ekor unta yang sarat dengan muatan kerana bimbang akan tergelincir ke neraka.

Itu sahabat Rasulullah saw, koleksi harta tidak melekakan dia untuk koleksi amal ibadatnya. Bagaimana pula kita? Terlalu leka dengan koleksi dunia yang tidak seberapa sehingga terabai koleksi akhirat.

Datang ke masjid itu israq, solat itu mikraj bagi orang beriman. Barang siapa tidak ada masa untuk Allah, nescaya Allah juga tidak ada masa untuk kita. Selamat menghayati peritiwa Israq dan Mikraj Nabi saw.

Saturday, June 26, 2010

masih belum puas?


Si miskin berangan hendak menjadi kaya, si kaya sibuk berkira menambah kekayaannya. Si hina berjuang mencari kemuliaan, si mulia pula rakus mengejar kekuasaan.

Sudah punya motosikal, hendak pula kereta. Sudah mendapat kereta kecil, teringin pula kereta yang besar. Sudah ada kereta besar, hendak pula kereta mewah dan mahal. (Sudahnya mendapat kereta jenazah).

Begitulah juga mereka yang sudah memiliki rumah pangsa, bercita untuk membeli rumah teres. Sudah mendapat rumah teres, teringin pula rumah berkembar. Bila dah mendapat rumah berkembar, masih mengidamkan rumah banglo. (Penghujungnya mendiami lubang sempit di alam barzah).

Sepatutnya kita bersyukur dengan anugerah nikmat Allah yang telah kita ada. Syukurlah kita ada kereta, ada orang tu ada motor aje. Syukur kita ada motor, ada orang tu ada basikal aje. Syukur kita ada basikal, ada orang tu jalan kaki saja. Syukur kita ada kaki, ada orang tu takde kaki. (Syukur kita takde kaki, ada orang tu takde otak).

Kita seharusnya tahu rahsia kehidupan di dunia. Mungkin hari ini disenyumkannya, besok ditangiskannya pula.

Kalau hendakkan pangkat kekuasaan, jangan diingat tatkala Napoleon menjadi kaisar, tetapi hendaklah diingat bila mana dia mati di tanah pembuangan. Kalau hendakkan harta kekayaan, jangan dilihat tatkala Qarun dengan kunci khazanah alamnya, tetapi lihatlah bila mana dia mati ditelan bumi.

Setiap yang berlaku di dunia ada rahsianya dan rahsia dunia ganjil sekali. Setiap yang mulia mengandungi racun. Setiap yang sengsara mengandungi penawarnya pula.

Saturday, June 19, 2010

Jatuh cinta kepada Cik Dunia


Cik Dunia memanglah lawa, cantik, jelita dan apa saja perkataan yang seumpama dengannya layak diberi buatnya. Cik Dunia bukan sahaja cantik pada rupanya, malah sifatnya yang menggoda boleh menggamit sesiapa sahaja untuk terpesona dengannya.

Cik Dunia sanggup menunaikan apa sahaja kehendak yang kita ingin, idam dan hajatkan. Inginkan pangkat dan darjat kebesaran, pikatlah Cik Dunia. Hajatkan kekayaan dan kemewahan, tawanlah Cik Dunia. Idamkan kemuliaan dan kekuasaan dampingilah Cik Dunia. Sebutlah apa sahaja permintaan Cik Dunia sedia mengadakannya. Calang orang yang tidak terpaut hati dan tergilakannya.

Oh! Cik Dunia aku cinta padamu... setiap saat terbayang wajahmu... tidur malam termimpi-mimpi, tanpamu siapalah aku... Begitulah biasanya, kalau hati sudah cinta. Ayat-ayat cinta dan ungkapan yang mengatakan, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena terlalu sering diperkatakan. Setiap bicara adalah tentang Cik Dunia...

Kalau begitulah tanda-tanda yang ada pada anda, bermakna anda telah terkena penyakit hati. Apabila hati telah berpenyakit, hati itu tidak akan melihat akhirat. Terlalu cintakan Cik Dunia menyebabkan orang berlumba-lumba untuk mendapatkannya tanpa mempedulikan halal atau haram. Dalam perlumbaan dan perebutan ini tidak ada padanya urusan akhirat dan agama.

Sudah hilang hati yang hidup dalam kehidupannya. Nasihat dan peringatan sudah tidak berkesan. Hawa nafsu bermaharajalela. Syahwat membara dan membangkitkan berbagai keinginan daripada gejolak hawa nafsu untuk mendapat kemegahan dan kebanggaan. Sanggup melakukan penindasan dan kekejaman untuk mendapat kekuasaan serta harta semata.

Apabila sampai di tahap ini eloklah diubati dengan melakukan pembersihan hati.

Sedarlah wahai pencinta dunia! Tiada gunanya kita menyintai Cik Dunia. Dunia hanya sementara. Segala apa yang kita dapat dari Cik Dunia adalah pinjaman. Kita diamanahkan untuk menjaganya sahaja. Bertemu masa dan ketika Tuannya akan datang untuk mengambilnya semula. Secara rela atau terpaksa kita mesti menyerahkannya...

Wednesday, June 9, 2010

memo buat abah...


Fudail bertanya kepada seorang lelaki, “Berapakah umur kamu?”

Lelaki itu menjawab, enam puluh tahun,

Fudail berkata kepadanya, “Dah enam puluh tahun kamu berjalan kepada Allah, barangkali kamu sudah hampir sampai.”

Sekiranya kita sudah hidup lebih separuh abad, maka berkira-kiralah untuk menginsafi diri kerana kita sudah hampir untuk menemui Allah dan melangkah meninggalkan dunia yang sementara.

Kisah di atas adalah petikan entry dari blog adik ipar abah blog ana yang seakan terkena batang hidung abah. Terima kasih adik iparku...

Maka berkatalah abah kepada diri:

Wahai diri! Aku tidak mempunyai sesuatu benda yang berharga pun untuk diriku selain dari umurku saja. Setiap kali kurasa umurku lanjut, setiap kali itulah kurasa modalku berkurangan. Semakin hari semakin kecewalah aku berniaga untuk mencari keuntungan.

Wahai diri! Hari ini adalah suatu hari yang telah ditakdirkan oleh Allah bagiku untuk hidup lagi, dipanjangkan umur dan dibenarkan untuk mengecapi nikmat-Nya. Jangan engkau mensia-siakan hari ini, kerana setiap nafas dari nafas-nafas yang disedut adalah mutiara yang tidak ternilai.

Wahai diri! Janganlah engkau bermalas-malas dan condong kepada melakukan sesuatu yang tidak berguna atau berehat-rehat sehingga terluput dari ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang beramal soleh.

Wahai diri! Aku sebenarnya sudah tidak punya masa lagi...

Friday, May 28, 2010

membina pondok kawalan


Banyaknya kejadian-kejadian kecurian dan pecah rumah menyebabkan tertubuhnya AJK Bertindak di taman tempat abah tinggal. Alhamdulillah, pondok kawalan nampaknya telah didirikan. Tahniah kepada mereka yang menjayakannya. InsyaAllah... sedikit-sebanyak kes-kes seperti di atas dapatlah dibendung.

Abah pun selalu mengalami kehilangan wang.

Hari minggu selalunya abah ke pasar untuk membeli ikan dan sayur untuk kadar seminggu dengan bajet sekitar RM100. Membawa sebuah bakul kecil selalunya sedang eloklah dengan hasil pembelian abah. Bila abah balik dari pasar abah dapati dompet abah sudah kehilangan RM200. Ke manakah hilangnya lagi RM100. Puas abah membelek. Ahh! Rupanya abah sudah terbeli barang-barang di luar senarai pembelian. Patutlah barang sudah melimpah bakul.

Begitulah selalunya berlaku apabila abah pergi ke pasar atau pasaraya. Tidak boleh pergi untuk membeli barang yang betul-betul dikehendaki sahaja tanpa terpikat dengan barang-barang selain itu. Mana boleh salahkan penjaja kerana menjual barang-barang bukan keperluan.

Ibu abah pernah berpesan, Orang yang selamat ialah orang yang berjaya mengawal diri. Orang yang tidak dapat mengawal dirinya, tentu tidak dapat mengawal orang lain. Berjaya mendidik diri itu lebih berharga dari memiliki harta benda. Abah insaf...

Itulah kelemahan abah. Abah pun masih keliru adakah kes-kes kehilangan seperti ini boleh diadukan kepada pihak polis atau pun tidak.

Buat permulaan... abah rasa abah perlu membina pondok kawalan di dalam diri abah.

Tuesday, May 18, 2010

peringatan buat anak-anak desa


Setelah sekian lama mendiami desa, anak-anak desa kian hilang kepuasan dengan desanya. Mereka telah merasa bosan membajak sawahnya dan menanami ladangnya. Mereka telah muak dengan lagu nyanyian unggas dan kicauan burung. Mereka juga telah tidak selesa dengan kesejukan air perigi dan air sungai yang mengalir deras.

Mereka tertarik dengan kehidupan kota yang serba terang benderang. Mereka kagum dengan kemajuan kota yang berkembang pesat. Mereka ingin menikmati kemegahan bangunan pencakar langit. Mereka teruja dengan aneka ragam keriangan hiburan kota.

Mereka terlalu menurutkan perasaan sedangkan mereka masih belum mengerti. Mereka belum merasa suasana hiruk pikuk kota dengan deruman enjin kenderaan yang tiada hentinya. Mereka belum menyedut udara nyaman kota yang berhabuk dan berjerubu. Mereka belum tahu politik kota yang rakus menjerat sesiapa sahaja tanpa kemanusiaan. Mereka belum menyaksikan jijiknya akhlak kebinatangan anak-anak kota.

Apabila anak-anak desa berduyun ke kota, mereka kebanyakkannya hanya seumpama semut mengejar cahaya lampu di musim hujan. Mengejar cahaya untuk menerima kematian.

Nota: Buat anak saudara abah yang ingin melanjutkan pelajaran di kota. Datanglah dengan iman.

Friday, May 7, 2010

kuasa ya atau tidak

Dua perkataan yang terlalu mudah untuk dilafazkan. Tetapi terlalu berat untuk dibuat pilihan. Kadang-kadang dalam saat yang teramat singkat ia boleh menentukan nasib dan wajah hidup kita sehingga berpuluh tahun. Mungkin.

Dengan hanya salah satu di antara dua perkataan YA atau TIDAK, boleh menentukan kehidupan kita menjadi manusia yang berharga atau menjadi manusia yang hina. Kerana sedikit kesalahan dan kelemahan hati semasa membuat keputusan YA atau TIDAK, ada insan menjadi korban, ada keadaan menjadi tegang.

Bahkan lebih daripada itu, dengan kalimat YA atau TIDAK menentukan kebahagiaan keturunan kita di hari kemudian. Seseorang mungkin akan menerima jasa gemilang melebihi emas dan permata daripada ibu ayah atau datuk neneknya. Boleh jadi juga seseorang akan memikul beban malu yang tidak dapat menyembunyikan mukanya.