Saturday, October 24, 2009

memaku hati


Kisah seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walau hanya kerana satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, ayahnya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.

“Untuk apakah paku-paku ini ayah?” tanya pemuda tersebut.

“Setiap kali apabila kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu” jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 41 batang paku pada tembok batu tersebut. Selang beberapa minggu, dia sudah dapat mengurangkan kemarahannya, maka jumlah paku yang digunakan turut berkurangan.

Dia kini mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut.

Akhirnya tibalah pada suatu ketika pemuda tersebut tidak marah lagi, walau sekalipun. Dengan rasa gembira dia memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut.Ayahnya mengucapkan tahniah lalu menyuruh dia mencabut semula paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.

Hari berganti hari... akhirnya dia telah berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada ayahnya. Ayahnya memimpin tangannya ke tembok tersebut lalu berkata,

“Alhamdulillah... kamu telah melakukannya dengan baik, anakku... tetapi lihatlah kesan-kesan lubang pada tembok batu ini. Ia tidak lagi kelihatan sama seperti sebelumnya. Begitulah... apabila kamu melafazkan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika sedang marah. ibarat kamu memaku hati orang lain. Ianya pasti akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti tembok ini...”

Nota: Luka di hati lebih pedih dari luka fizikal.

Thursday, October 8, 2009

Sempadan Allah


Katalah Allah Taala telah membuat satu pagar sebagai batas sempadan kawasan yang Allah benarkan dan redha kita berada di dalamnya. Sempadan Allah.

Apabila seseorang itu boleh berada di dalam sempadan Allah bermakna seseorang itu telah mentaati perintah Allah dan menjauhi larangannya. Berada di luar sempadan Allah bermakna seseorang itu telah engkar.

Berada di bulan Ramadhan yang lalu ibarat berada di universiti. Sebulan kita dilatih, diasuh dengan puasa, solat berjemaah, terawikh, witir, qiamullail, tazkirah dan sebagainya dengan harapan kita yang berada di luar sempadan dapat kembali ke dalam sempadan Allah. Ini adalah satu tawaran khas daripada Allah Taala sebagai tuan punya kawasan.

Kebanyakkan daripada kita berjaya melakukan dengan jayanya di dalam bulan Ramadhan seterusnya berjaya masuk ke dalam sempadan Allah, tetapi kembali engkar apabila keluar daripada bulan Ramadhan. Engkar bermakna mengeluarkan semula diri kita daripada sempadan Allah. Di luar sempadan Allah bermakna di dalam sempadan syaitan.

Ini bermakna kita telah gagal di dalam ujian Ramadhan sesi ini. Tunggulah tibanya sesi Ramadhan yang akan datang. Itu pun kalau masih belum dijemput masuk ke universiti Barzakh dengan soalan-soalan ujian yang lebih berat dan semestinya memerlukan tugasan yang lebih hebat untuk menjawab.