Saturday, July 25, 2009

menangis


Manusia mudah menangis. Fitrah. Ada yang menangis kerana gembira. Ada yang menangis kerana berduka. Ada juga yang menangis kerana kerjaya (lakonan).

Namun tidak semua orang menangis kerana ketakutan seperti mana menangisnya saidina Abu Bakar as-siddiq apabila mula mengimamkan solat kerana terlalu takut berhadapan dengan Allah.

Juga tidak ramai yang menangis kerana penyesalan seperti mana menangisnya Saidina Omar al-khatab kerana mengenangkan dosa-dosanya yang telah lalu sehingga meninggalkan kesan tangisan pada wajahnya.

Sedang kita masih mampu bergelak ketawa tanpa ada rasa bersalah. Langsung tidak tersentuh hati apabila dibacakan ayat-ayat Allah. Apatah lagi untuk menangis. Bertaubat sekadar di mulut, di hati tidak. Sepatutnya kita yang lebih banyak menangis berbanding dengan sahabat-sahabat Rasulullah saw yang telah dijanjikan syurga. Kerasnya hati kita.

Jangan besok kita akan menangis tidak berlagu.

Nota: Pesanan ini dituju khas buat diri abah sendiri dan yang sewaktu dengannya.

Saturday, July 11, 2009

hijaunya kampung


Aaaaaaahhh… lega rasanya menarik nafas kehijauan kampung tanpa habuk dan asap.

Pemandangan hijau yang kian pudar di kota masih segar kelihatan di sekeliling rumah sahaja. Belum lagi ke kebun atau pun dusun.

Suasana redup hijau, tenang dan damai membungkus terus pemikiran yang hiruk pikuk semasa di bandar. Berehat di bawah pokok seumpama sudah berada di tempat peranginan.

Sajian hijau sayuran kampung, berlauk ikan sepat goreng amat menyelerakan abah. Bukan saja abah, malah isteri dan anak-anak abah yang lahir dan dibesarkan di kota pun berselera juga.

Itulah… sesekali dapat balik kampung abah rasa macam dah tak kuasa nak kembali ke bandar.