Thursday, April 30, 2009

kamu masih kaya

Diceritakan bahawa ada seorang miskin yang hidup melarat telah mengadu kepada seorang lelaki soleh tentang keperitan hidup yang dihadapinya.

“Saya betul-betul hidup dalam kemiskinan. Tidak punya apa-apa langsung.” kata lelaki itu kepada orang soleh.

“Apakah kamu suka kalau diberi wang seratus ribu ringgit tapi matamu dibutakan?” tanya orang soleh.

“Tidak mahu, tuan.” jawab lelaki itu.

“Apakah kamu mahu kalau diberi wang seratus ribu ringgit, tetapi engkau menjadi bisu?”

“Tidak mahu, tuan.”

“Apakah kamu suka kalau mempunyai wang seratus ribu ringgit, tapi kedua-kedua tangan dan kaki kamu dipotong?” tanya orang soleh.

“Tidak mahu, tuan.”

Sekiranya kamu diberi wang seratus ribu ringgit, tapi kamu dihilangkan akal dan menjadi gila. Sukakah kamu?”

“Tentu tidak suka, tuan. Tidak ada seorang pun yang ingin menjadi gila.” jawab lelaki itu.

“Nah! Kalau dikira semua, kamu masih mempunyai wang lima ratus ribu ringgit. Kamu masih kaya. Mengapa kamu berkeluh-kesah di hadapan Allah? Apakah kamu tidak malu?” Tanya lelaki soleh.

Thursday, April 16, 2009

kisah penjual tempe

Moga menjadi iktibar.

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak
akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar kacang
soya ini menjadi tempe. Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan
keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin"

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh d i sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anakn ya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan
menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Allah...

Moral:
Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Allah sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancangan-Nya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Allah.

Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU, menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan.. oleh itu, hantarlah kepada sahabat yang lain agar kebaikan boleh sama dikongsi. Mudah-mudahan Allah suka dengan apa yang kita buat.

Kelima : Usah ada buruk sangka terhadap Allah dengan hasil yang dikurniakan atas usaha kita; juga usah buruk sangka kepada sesama manusia selagi tidak jelas melakukan larangan Illahi.

Thursday, April 2, 2009

dengar kuliah agama

Abah ni bukannya orang alim. Jahil. Ni le masalahnya masa kecik dulu tak nak belajar. Bila dah tua nyesal. Alhamdulillah ada juga rasa menyesal. Kalau masih tak rasa apa-apa tak tau la. Maka malam-malam terpaksalah abah pergi ke masjid-masjid atau surau-surau yang mengadakan kuliah-kuliah dan tazkirah agama.

Dapat le sedikit ilmu. Kata orang lebih baik daripada takde langsung. Kalau ditakdirkan mati pun, ada la hujah di hadapan Allah mati dalam keadaan sedang belajar. Lebih baik daripada mati dalam keadaan jahil tapi tak nak belajar. Lebih dahsyat lagi mati dalam keadaan tak nak belajar malah pulak benci kepada orang belajar dan majlis tempat orang-orang nak belajar.

Dengan sedikit ilmu yang Abah ada sekurang-kurangnya bolehlah Abah sampaikan kepada isteri dan anak-anak Abah. Biar anak-anak Abah lebih faham agama daripada faham benda-benda lain.

Kehidupan mendatang lebih mencabar. Abah tak mahu anak-anak Abah hanyut bersama gelombang kehidupan yang menggulung ganas tanpa mengenal erti kawan dan lawan.

Apa-apa pun ilmu itu lebih baik daripada harta. Dengan ilmu kita boleh menjaga harta sedangkan dengan harta kita tidak boleh menjaga ilmu.

Wallahhuaklam

Wednesday, April 1, 2009

kumpul jam

Bukanlah hobi Abah kumpul jam tetapi Abah dah banyak beli jam. Entah kenapa jam yang abah pakai selalunya hayat tak panjang. Banyak jam Abah dah mati. Ada yang layak mati tu, takpe la. Ada yang tak layak mati pun mati. Maksud abah, baru aje beli beberapa hari dah mati.

Isteri Abah kata mungkin bateri kong. Boleh tukar bateri. Masalahnya baru beli. Pulak tu, kos nak tukar bateri dengan beli jam baru sama aje. Jadi baiklah Abah beli jam baru.

Ada jam tu, Abah beli sama tarikh, sama kedai malah sama jenama dengan jam isteri Abah. Jam isteri Abah hidup sampai la ni. Jam abah dah lama mati.

Ada orang kata Abah ada masalah tangan. Tangan bermagnet. Ya ke? Letak besi tak lekat pun. Entahlah le... Ada la hikmahnya tu.

Apa yang Abah nampak mati tidak mengenal usia.

suaikenal

Salam ukhwah! Abah ni orang baru. Bukannya baru dilahirkan (dah tua dah) tapi baru cebur dunia blog-blog ni. Abah memang suka baca blog jadi teruja nak menulis blog pulak. Kalau ada yang tak kena tegurlah Abah. Anggaplah Abah macam abah anda sendiri.

Abah bukanlah orang yang berilmu. Sekolah taklah tinggi walaupun badan ala-ala galah. Tapi ada la pengalaman sikit. Kekadang pengalaman itu lebih mahal daripada ilmu itu sendiri. Nanti Abah cerita kemudian.

Kehidupan ini adalah sebuah perjalanan yang jauh. Destinasinya adalah negeri akhirat.
Dunia ini ibarat sebuah stesyen untuk kita singgah sebentar membeli makanan dan minuman sebagai bekalan untuk kita meneruskan perjalanan.

Dalam persinggahan ini jangan pula kita leka membeli-belah sehingga kita lupa tujuan asal kita. Kita harus bersegera dengan keperluan yang sepatutnya. Sebanyak mana bekalan yang dapat kita bawa, sebanyak itulah kesenangan kita di hari kemudian. InsyaAllah.

Kalau ada masa singgah-singgahlah di Stesyen Aman untuk berehat sebentar. Boleh kita berkenal-kenal, bertegur-tegur, bersembang-sembang, mendapat maklumat, bertukar fikiran dan sebagainya. Manalah tahu dengan persinggahan yang sekejap itu boleh mendatangkan manfaat yang berkekalan dalam hidup anda.

Wasallam.